1999 - jemaah masjid : hafiz iqbal (2)

06/07/1999 - sri petaling

Pada permulaan zaman, Nabi s.a.w mulakan usaha agama. Usaha yang Baginda s.a.w buat berterusan dan begitu juga dengan usaha orang-orang di Mekah yang menentang Baginda s.a.w. Satu ketika, Baginda s.a.w nampak satu perempuan tua yang sedang membawa satu benda yang berat. Baginda s.a.w pun tolong angkat barang tersebut. Baginda s.a.w letak barang itu di atas bahu dan tanya ke mana dia hendak pergi. Dia kata, “Ke hujung pekan ini”. Kota Mekah ialah satu bandar yang dikelilingi oleh bukit-bukau. Hendak pergi ke mana-mana pun kena naik bukit turun bukit, barulah akan sampai ke tempat yang dituju. Maka Baginda s.a.w pun bawa barang itu melepasi bukit dan sampai ke rumah perempuan tua tersebut. Perempuan tua itu sangat suka dan gembira. Dia kata, “Wahai anak, engkau cukup baik/bagus, aku seorang tua dan tidak ada apa-apa cara untuk balas jasa baik engkau. Aku tidak ada apa-apa yang hendak diberi pada engkau, tetapi aku boleh beri satu nasihat yang akan membantu engkau”. Nabi s.a.w tanya, “Apa nasihat itu?”. Dia kata, “Saya dengar dibandar kita ini ada seorang pemuda yang bernama Muhammad, dia pandai sihir. Kamu jagalah diri kamu daripada orang itu”. Baginda s.a.w beritahu, “Sebenarnya sayalah Muhammad itu”. Bila dia dengar jawapan Baginda s.a.w yang mana jawapan itu datang selepas satu amalan yang merupakan amalan khidmat, yang dirasai dan dilihat oleh perempuan tua itu, maka segala apa juga yang pernah dia dengar tentang Rasulullah s.a.w , segala kesan-kesan buruk itu, semuanya telah dilupakan dan amalan Baginda itu telah menjadi asbab untuk perempuan tua itu diberi hidayat oleh Allah s.w.t.

Setiap hari Baginda s.a.w akan melalui satu jalan dan ada seorang perempuan yang akan menyapu rumah dia setiap hari dan segala kekotoran tersebut akan dibuang ke atas Baginda s.a.w. Perkara ini berlaku setiap hari. Pada satu hari, seperti biasa Nabi s.a.w lalu di situ tetapi tidak ada kekotoran dibuang ke atas beliau. Baginda s.a.w pun pergi ke rumah perempuan itu dan bertanya pada ahli rumahnya, “Kenapa hari ini kekotoran tidak dibuang ke atas saya?”. Sebabnya ialah perempuan itu sakit dan tidak terdaya untuk menyapu rumah. Bila Baginda s.a.w dapat tahu hal itu, beliau pun pergi menziarahi perempuan itu dan bertanya khabar. Amalan Baginda s.a.w ini iaitu amalan ziarah, dalam keadaan dia sakit maka permusuhan yang bertahun-tahun dan perasaan buruk perempuan itu terhadap Baginda s.a.w, semuanya telah hilang.

Pada malam Baginda s.a.w hendak berhijrah dari Kota Mekah ke Madinah, maka 50 kabilah telah buat keputusan yang mana setiap kabilah akan menghantar seorang wakil yang akan menunggu pada malam itu dan mereka serentak akan serbu dan serang Baginda s.a.w dan menghabiskan riwayat Baginda s.a.w. Baginda s.a.w telah pun diberitahu oleh Allah s.w.t untuk berhijrah, maka beliau telah panggil Ali r.a dan beritahu pada dia, “Wahai Ali, malam ini saya telah diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah, kamu gantilah tempat saya, tidurlah atas katil saya dan ada beberapa orang punya amanat, barang-barang yang disimpan pada saya sebagai amanah, kamu pulangkanlah barang-barang itu kepada mereka nanti.

Soalannya ialah amanat, barang-barang yang disimpan pada Baginda s.a.w, siapa punya barang? Barang-barang ini ialah kepunyaan orang-orang mushrikin Mekah. Orang-orang seperti Abu Jahal, musuh yang paling ketat dengan Rasulullah s.a.w, bila mereka hendak bermusafir, maka barang-barang yang berharga akan disimpan dengan Baginda s.a.w. Mereka tidak ada kepercayaan terhadap sesiapapun walaupun saudara mereka yang paling rapat. Mereka hanya percaya pada Rasulullah s.a.w untuk menyimpan barangan mereka.

Alhamdulillah, kita sedang buat usaha masjid di marhallah kita tetapi ada beberapa tanggungjawab atas diri kita tentang usaha agama. Di atas bahu Baginda s.a.w pun ada satu tanggungjawab yang sangat besar yang diletakkan oleh Allah s.w.t. Adakah kita memikuli tanggungjawab yang sama dengan Baginda s.a.w? Sebenarnya 1/100 pun tidak ada pada kita, 1/1000 pun tidak ada pada kita, 1/100,000 pun tidak ada pada kita.

Tanggungjawab yang dipikul oleh Baginda s.a.w amatlah berat sehingga Allah s.w.t sendiri beritahu pada Baginda s.a.w, “Tanggungjawab yang Kami beri pada tuan sedang membongkokkan/membengkokkan tulang belakang tuan”. Begitu punya tanggungjawab atas Nabi s.a.w dan begitu punya kesibukan yang beliau hadapi tetapi masih beliau ada masa untuk menolong orang tua dan ziarah orang sakit. Baginda s.a.w ada masa untuk bawa beban seorang tua, naik bukit atau gunung tetapi kita tidak ada masa untuk sedikitpun beri bantuan pada ahli mahallah kita ? Baginda s.a.w dapat cari masa untuk ziarah seorang perempuan yang masih mushrik yang buang sampah tiap-tiap hari atas Baginda s.a.w. Tidak ada masa pada kitakah untuk ziarah saudara Islam kita? Muasyarat Baginda s.a.w, hubungan beliau dengan orang-orang lain begitu bersih, begitu beramanah sehingga orang-orang mushrik, orang-orang yang tuduh Baginda s.a.w seorang sihir dsbnya, masih mereka menyimpan barangan mereka dengan Baginda s.a.w untuk keselamatan.

Kalau kita hendak berjaya dalam usaha tempatan kita, kita kena bersihkan diri kita dan hubungan kita dengan orang-orang tempatan supaya setiap orang boleh percaya dengan kita. Kita kena jadikan diri kita orang yang berakhlak, orang yang ada sifat simpati supaya setiap orang dapat merasai bahawa kitalah orang yang sentiasa dapat membantu mereka. Baginda s.a.w tidak pernah beritahu pada orang-orang mushrikin, “Kamu tidak ikut cakap saya, apa yang saya bentangkan dihadapan kamu, kamu sentiasa menolak, sekarang saya enggan untuk menyimpan barang-barang kamu”. Oleh itu, sesiapa sahaja samada orang bantu kita atau orang yang sentiasa memusuhi kita, bila ada apa-apa hajat, apa-apa kerja, kita akan bantu kedua-dua golongan itu.

Setiap orang dalam marhallah kita, semuanya adalah orang-orang kita. Dalam marhallah kita, setiap orang harus suka dengan kita. Setiap orang dapat kesenangan melalui kita, setiap orang dapat kemuliaan daripada kita, setiap orang dapat merasa kitalah orang yang bersimpati dan sentiasa bantu mereka. Sekiranya orang-orang dimarhallah kita perlu bantuan, kita akan bantu mereka dan sekiranya masjid kita perlu bantuan, kita juga akan bantu orang-orang tanggungjawab dalam masjid untuk bersihkan masjid kita. Jika masjid dibina dikawasan kita, ikut kemampuan kita, kita pun ambil bahagian dalam pembinaannya.

Orang-orang yang mengendalikan urusan masjid, madrasah dsbnya, tidak harus mereka rasa, orang-orang tabligh adalah asing dan mereka adalah asing (dua kumpulan). Orang-orang yang mengendalikan masjid sebenarnya mereka sedang membuat kerja kita. Tanggungjawab kita dan kerja kita adalah untuk memakmurkan masjid dan untuk itu kita kena ada masjid. Kita sepatutnya bina masjid tetapi, alhamdulillah,  telah ada orang lain bina masjid untuk kita, jadi mereka sedang buat kerja kita. Usaha atas kitab suci Allah s.w.t, Al-Quran, adalah kerja yang berterusan yang Allah s.w.t beri pada kita. Ilmu adalah sebahagian daripada 6 prinsip kita, jadi orang-orang yang sedang mengendalikan madrasah, mereka pun sedang buat kerja kita.

Oleh itu, siapa sahaja, dimana sahaja dan dengan apa rupa pun, yang buat apa-apa bantuan/khidmat kepada deen/agama Allah s.w.t, kita sentiasa akan membantu mereka dan kita akan menghargai dan memuji mereka. Dalam doa kita, kita mohon perkara yang baik untuk mereka. Kita sentiasa harus bersama dengan mereka dengan diri dan harta kita. Dalam marhallah kita, kita kena sentiasa wujudkan suasana dakwah dan kita juga kena sentiasa wujudkan suasana kasih sayang. Setiap orang Islam di sesuatu tempat mestilah bersatu padu dalam usaha agama dan ini adalah satu perkara yang amat penting sekali.

Melalui bersatu padu, ijtima’iyat, kita akan dapat kekuatan. Melalui ijtima’iyat inilah kita dapat mengalahkan sifat kesyaitanan dan dapat mengalahkan musuh-musuh kita. Sifat ijtima’iyat ini akan wujud bila kita sanggup korbankan perasaan nafsu kita. Simen digunakan untuk mencantumkan batu-bata dan bila ia ditekan di antara dua batu bata, maka ia akan jadi bahan untuk lekatkan dua batu bata menjadi satu. Untuk wujudkan sifat persatuan atau satu padu dalam umat, kita kena beri pengorbanan diri kita. Kita juga kena ada sifat rendah diri dengan orang-orang lain.

Hadzrat Umar r.a sentiasa akan memperingatkan dan sebut hadith ini dengan gerak-geri tangan beliau, “Barang siapa yang merendahkan diri dia untuk agama Allah s.w.t, maka Allah s.w.t akan muliakan dia”. Untuk wujudkan perkara ini, kita kena sentiasa ada hubungan dengan akhlak yang baik dengan orang-orang di marhallah kita.

Satu ketika, ada satu jemaah daripada Aligarh Muslim Universiti pergi ke Saudi. Maulana Syed Ahmad Khan rah. datang menziarahi jemaah tersebut dan tanya mereka, “Wahai kawan-kawan, beritahulah apa patut kita buat supaya musuh kita akan jadi kawan kita?” Jemaah kata, “Tuan, eloklah tuan yang beritahu pada kami”. Beliau kata, “Pertama, dalam memberi salam kepada orang hendaklah dipercepatkan iaitu bila jumpa musuh, sebelum dia beri salam, kita beri salam dahulu. Kedua, bila dia tidak ada, kita doa untuk dia. Ketiga, bila kita bersama-sama dengan kawan-kawan kita, jangan cerita keburukan dia tetapi hendaklah cerita kebaikan dia. Keempat, kalau mampu, berilah hadiah pada orang itu. Kalau kamu amalkan keempat-empat perkara ini, musuh pun akan jadi kawan”.

Bila kita pergi dari rumah ke rumah, jangan kita tashkil sahaja. Kita juga kena pergi dan tanya khabar mereka, bagaimana keadaan mereka. Janganlah kita anggap bila orang sudah sedia untuk 40 hari atau 4 bulan, barulah kita hendak buat kerja. Jika ada orang yang sanggup dengar pada kita dengan baik, itupun kita anggap ada kerja sedang dibuat.

Bila kita ziarah rumah ke rumah dalam 2 ½ jam kita, janganlah mereka rasa kita buat sepertimana pegawai-pegawai daripada mana-mana jabatan datang dan buat perangkaan. Janganlah nampak macam orang datang seperti orang TNB atau orang Telekom, yang datang untuk hasil mereka atau datang sebagai jurujual. Apa yang dikehendaki ialah bila kita ziarah sesiapa pun, maka dia akan rasa, “Kawan saya atau saudara saya sudah sampai”. Kita cakap dengan mereka dengan keadaan tidak rasmi. Kita cakap dengan mereka untuk wujudkan perasaan kasih sayang, untuk wujudkan persaudaraan dengan mereka. Dalam percakapan atau perbualan kita, Allah s.w.t akan beri kita peluang untuk sampaikan tentang agama dan usaha agama kepada mereka.

Satu ketika, satu jemaah pergi ke Hong Kong dan tinggal di satu tempat di satu bangunan yang tinggi, 8 atau 9 tingkat. Amer jemaah beritahu, “Hari ini kita akan ziarah orang-orang yang tinggal dalam bangunan ini termasuk imam yang tinggal di sini”. Bila mereka ziarah imam, mereka beritahu dia, “Kami datang dari Hindustan dengan niat untuk belajar agama. Biasanya jemaah-jemaah kami keluar untuk 40 hari, 4 bulan dsbnya dan antara perkara-perkara yang kami buat untuk pelajaran kami ialah kami ziarah alim ulamak kerana hati-hati mereka ada nur iman dan agama. Jadi, tuan pun seorang ulamak, kami datang kepada tuan supaya tuan dapat doakan untuk kami supaya kami dapat sebahagian daripada kebaikan nur iman tuan dan dapat masuk ke dalam hati kami”. Amer jemaah pun beritahu, “Sekiranya tuan dapat beri sedikit nasihat kepada jemaah saya, itu merupakan satu ehsan yang besar terhadap kami”. Imam kata, “Tidak, tidak, sebenarnya kamu semua orang alim”. Setelah amer jemaah pujuk imam tersebut, maka dia pun setuju untuk duduk dengan jemaah selepas sembahyang Asar. Selepas sembahyang Asar, ahli jemaah buat halaqah dan duduk dengan imam. Beliau beri beberapa nasihat yang baik tentang macam mana hendak bawa kebaikan kepada orang-orang Islam. Selepas itu, beliau berjabat tangan dengan semua ahli jemaah dan beliau cukup gembira. Beliau kata “Sampai sekarang ini, setiap yang datang dari golongan kamu, mereka datang hanya untuk memperdengarkan cakap mereka sahaja. Kamulah orang pertama yang datang untuk dengar saya bercakap”. Bila beliau hendak keluar, satu jemaah bawa beliau ke pintu masjid, sebelum sampai ke pintu masjid, beliau duduk lagi sekali bersama dengan jemaah dan beri beberapa nasihat yang baik. Selepas itu, untuk beberapa hari jemaah kami berada di sana, setiap kali selepas sembahyang, beliau akan datang dan berjabat tangan dengan setiap ahli jemaah kami.

Bila tuan-tuan menghargai orang, mereka akan menghargai tuan. Bila mereka menghargai tuan, dengan itu mereka juga akan menghargai usaha-usaha tuan.

Di Filipina, di satu Bandar bernama Kota Batu, jemaah kami sampai di sana sebelum sembahyang Jumaat, masjid penuh dengan orang. Kami juga sembahyang Asar di situ. Selepas sembahyang Asar, masjid itu mulai kosong dan tinggal 5 orang sahaja. Selepas sembahyang Asar, kami buat gasht dan pujuk rayu. Kami dapat bawa bersama kami lebih kurang 20 - 25 orang ke masjid. Selepas sembahyang maghrib, kami buat iklan. Selepas itu, imam bawa satu kerusi dan letak di depan, duduk dan buka satu kitab dan mula mengajar.  Seorang kawan Filipina yang nusrah kami begitu josh/semangat, dia marah kerana mereka yang penat-penat kumpul orang. Saya pun terus tekan tangan dia dan dia diam.

Kenapa perasaan dia begitu? Kami yang susah payah bawa orang ke masjid dan dia pula sekarang hendak mengajar kitab. Saya beritahu pada dia, “Beliau seorang alim dan menghormati seorang alim adalah perkara yang sangat penting” . Beliau membaca hadith-hadith tentang sembahyang sehinggalah waktu Isyak. Selepas Isyak, kami duduk dalam satu halaqah dan muzakarah bagaimana kita hendak ikram/muliakan alim ulamak. Bila Imam datang pada waktu subuh keesokan harinya, orang yang geram tadi terus pergi jumpa Imam itu dan salam dengannya dan berkata, “ Kalau pagi ini tuan dapat luangkan sedikit masa untuk memberi nasihat pada kami, kami sangat suka”. Imam pun datang bawa kerusi dan duduk. Dia pun mula mengajar. Imam membaca ayat-ayat Al-Quran yang dapat membantu Tabligh. Beliau baca dan terangkan. Pada hari yang sama di waktu petang, kami buat gasht di masjid yang lain. Esoknya selepas sembahyang subuh, kawan tadi minta pada Imam, “Berilah nasihat pada kami” . Imam itu beritahu, “Saya ada hal dan kena pergi”. Beliau pegang tangan kawan tadi dan dudukkan dia atas kerusi dan beritahu pada semua orang, “Tuan-tuan semua dengar apa yang dia hendak cakap sekarang”.

Pada keesokkan harinya kami hendak pindah ke masjid yang lain dan kami pun beritahu Imam, “Kami hendak pindah ke masjid lain”. Dia kata, “Tidak boleh, selagi kamu semua tidak makan di rumah saya, kamu tidak boleh pindah dari sini” . Sebelum Zohor datanglah makanan, satu jemaah bawa makanan dengan junjung di atas kepala mereka, dulang demi dulang yang berisi makanan. Selepas Zohor imam iklan, “Satu jemaah telah datang ke masjid kita dan untuk memuliakan jemaah ini, saya jemput mereka makan. Makanan yang disediakan ini cukup untuk semua orang, kamu semua makanlah bersama dengan jemaah ini. Selepas itu barulah jemaah boleh pindah ke masjid lain”.

Selepas satu atau dua tahun, datang karguzari dari Filipina ke Nizamuddin iaitu akan diadakan satu Jor di Filipina dan dalam aturcara Jor itu ada satu bayan yang akan diberikan oleh Ustaz Bajunid. Dialah imam yang diceritakan tadi. Saya tanya orang-orang Filipina, “Kenapa dalam ijtimak kamu suruh dia bagi bayan”. Mereka kata, “Boleh, dia sudah keluar 4 bulan dalam negeri, memanglah dia boleh bagi bayan dan dia seorang alim”.  Beliau sudah meninggal dunia dan di masjid beliau, usaha agama begitu maju dan dari keluarga beliau begitu ramai yang sedang buat usaha agama.

Kita kena sentiasa usaha untuk mengawal nafsu kita, mengawal dan menekan nafsu kita dalam apa juga keadaan. Kita kena muliakan alim ulamak walaupun pada masa itu tidak nampak manafaat pada dia tetapi satu masa akan datang, atas amalan kita ini, manafaat akan datang daripada Allah s.w.t.

Intipati daripada apa yang dicakapkan tadi ialah untuk wujudkan usaha di marhallah kita dan untuk meningkatkan serta memajukan usaha agama. Kita kena usaha untuk wujudkan kasih sayang antara kita. Bersama-sama dengan kita buat usaha dakwah, kita kena usaha supaya kita dapat membantu dan menolong orang-orang lain di marhallah kita supaya setiap orang dalam marhallah kita akan anggap kita ini orang dia dan kita pun kena anggap setiap daripada ahli marhallah adalah orang kita. Bersama-sama dengan itu, rakan-rakan seusaha yang sedia ada, dengan kasih saying, dengan ikram dan muliakan mereka, kita kena satu padukan, kita kena wujudkan sifat kasih sayang, barulah kita boleh buat usaha.

Bila tuan-tuan balik ke tempat tuan-tuan, tuan-tuan kena duduk bersama-sama dengan jemaah masjid tuan-tuan dan tuan-tuan kena fikir dan renung dan aturkan sepertimana yang telah diceritakan dan tuan-tuan buat azam berapa banyak jemaah akan keluar daripada masjid tuan-tuan.

Sekirnya ada 1000 orang baligh dalam marhallah kita, maka 100 jemaah mampu dikeluarkan. Setiap daripada kita harus ada keazaman, insya’allah, 100 jemaah akan keluar tetapi perkara ini tidak akan wujud serta merta. Peningkatan dan kemajuan akan datang perlahan-lahan, mungkin akan dapat dicapai dalam masa 6 bulan atau mungkin dalam masa satu tahun atau mungkin akan ambil masa lebih daripada itu.

Kita mesyuarat dengan jemaah masjid kita dan selepas itu kita buat azam untuk sediakan beberapa jemaah untuk bulan ini. Sebagai contoh, sekiranya ada 2 jemaah, dan kita azam untuk keluarkan 3 jemaah atau 4 jemaah, maka kita bahagikan karkun-karkun kepada 3 atau 4 kumpulan. Sekiranya ada 12 orang karkun dalam marhallah kita dan kita hendak keluarkan 3 jemaah, maka kita akan dapat 4 orang dalam satu kumpulan iaitu sebanyak 3 kumpulan. Setiap kumpulan akan usahakan untuk bentuk jemaah masing-masing.

Sekiranya kita azam untuk keluarkan 4 jemaah, maka kita boleh bentuk 4 kumpulan dan dalam setiap kumpulan akan ada 3 orang yang akan usahakan jemaah masing-masing. Seimbangkan orang lama dengan orang baru. 4 kumpulan ini akan usaha dan mesyuarat untuk tetapkan minggu mana yang mereka hendak keluar. Mereka akan usaha untuk keluarkan jemaah yang sempurna sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini.

Satu perkara lagi iaitu tidak semestinya keempat-empat jemaah keluar pada minggu-minggu yang berlainan. Bergantung kepada keadaan dan situasi jemaah yang telah dibentuk, iaitu berkemungkinan pada minggu yang sama mungkin ada lebih daripada satu jemaah dikeluarkan.

Apa yang diterangkan selepas Maghrib tadi iaitu bagaimana kita buat usaha untuk keluarkan jemaah, bagaimana kita buat usaha selama 3 hari dan bila kita balik apa yang kita hendak mesyuarat dan muzakarahkan. Bila tuan-tuan balik nanti tuan-tuan kena muzakarahkan perkara yang telah diceritakan tadi dengan jemaah masjid tuan-tuan. Jangan tuan-tuan balik dan diam/bisu sahaja. Apa yang tuan-tuan dengar, jangan tuan-tuan simpan, tuan-tuan kena ceritakan pada jemaah. Muzakarah dan amalkan perkara itu, dalam 3 bulan, 4 bulan, 5 bulan, insya’allah  bukan sahaja jemaah 3 hari akan meningkat, mungkin juga dapat mengeluarkan jemaah-jemaah sempurna untuk 40 hari, 4 bulan. Setiap bulan bila kita keluar, dan sebelum kita tangguh, kita buat target untuk bulan yang akan datang, sentiasa kita buat target yang lebih tinggi. Kalau bulan ini keluar 3 jemaah, maka kalau ada kemampuan bulan depan azam 6 jemaah dan sebagainya. Untuk setiap bulan kita tambahkan target kita dan usaha mengikut apa yang telah diceritakan tadi, insya’allah akan berterusan ada peningkatan dalam jemaah.

Bila kita keluar 3 hari dan usaha atas setiap orang untuk keluar 3 hari, seperti yang diceritakan selepas Maghrib tadi, insya’allah, di marhallah kita akan berterusan ada orang-orang yang buat kerja. Karkun-karkun akan bertambah dan boleh buat kerja dan seberapa banyak orang yang buat kerja bertambah, sebanyak itulah usaha mereka akan bertambah. Peratusan usaha akan bertambah.

Melalui usaha, bilangan akan meningkat 100 orang, 150 orang, 200 orang akan keluar 3 hari tiap-tiap minggu. Maka dalam 2 ½ jam begitu banyak rumah-rumah dapat diziarahi, melalui mereka juga kita dapat hidupkan amalan-amalan dalam masjid. Dan dengan cara itulah masjid dapat dimakmurkan sepanjang hari. Inilah cara yang paling ‘natural’ sekali untuk memakmurkan masjid. Sepertimana satu pokok yang kita tanam, pada mulanya kecil sahaja, kita akan siram, kita akan baja, kita akan jaga, lama-kelamaan ia akan membesar, dahan besar, cabang besar. Bayang-bayang pun akan besar dan dapat teduhkan kawasan yang lebih besar. Inilah cara untuk memakmurkan masjid, dan sekiranya kita tidak dapat amalkan cara yang natural’ ini, dan kita buat peraturan-peraturan dengan orang yang sedia ada, putus 2 orang untuk buat ta’alim dari pukul 8.00 hingga 10.00 dan kemudian putus lagi 2 orang untuk masa yang seterusnya, kita aturkan masa untuk sepanjang hari dan kita rasa dapat makmurkan masjid tetapi cara ini seolah-olah kita telah potong dahan yang besar pada pokok ke tanah yang mana nampak hijau dan subur tetapi untuk beberapa hari sahaja, selepas itu akan layu dan kering.

Satu tamsilan, kalaulah kita hendak daki satu gunung dan kita beritahu pada orang ramai, “Kamu dakilah gunung ini”. Nescaya tidak ada sesiapa pun yang hendak daki kerana tinggi sangat atau kita satu orang daki gunung tersebut dan beritahu semua orang, “Saya sudah daki gunung ini, sekarang kamu semua dakilah”, mungkin ada beberapa orang yang cuba hendak daki tetapi sebilangan besar tidak akan daki. Kalau kita daki bersama-sama, bilangan yang besar akan cuba daki bersama-sama dengan kita. Maksudnya ialah bila kita tidak buat kerja dan kita suruh orang buat kerja, maka sudah tentu orang tidak akan buat kerja. Kalau kita buat kerja dengan pengorbanan yang besar seperti serta-merta kita daki bukit sehingga ke puncak dan kemudian suruh orang ikut macam kita, akan ada beberapa orang sahaja yang larat. Oleh itu, caranya ialah kita kena sentiasa bersama-sama dengan kawan-kawan kita, dengan pujuk rayu dan kasih sayang, bersama-sama kita meningkat sedikit demi sedikit menjadi bilangan yang besar.

Sebelum kita balik kita niat, kita hendak buat usaha dalam marhallah kita, kita hendak buat usaha untuk 3 hari di kawasan sekitar bandar kita dengan satu tertib dan cara yang akan menyebabkan usaha akan meningkat supaya Kuala Lumpur akan menjadi contoh dan tauladan untuk seluruh dunia.

Orang-orang yang berani, mereka sentiasa buat azam dengan penuh keberanian dan bila buat azam dengan penuh keberanian barulah mereka dapat maju dan dapat sempurnakan azam-azam mereka. Tuan-tuan adalah orang-orang lama dalam usaha ini, tuan-tuan buatlah azam dengan penuh keberanian iaitu, “Kami tidak akan duduk bersenang-lenang dan tenteram selagi kami tidak dapat jadikan Kuala Lumpur ini sebagai contoh dan tauladan dalam usaha agama untuk seluruh alam”.

Tuan-tuan semua sanggup untuk buat perkara ini? Bila tuan-tuan hendak mula buat usaha? Malam ini tuan-tuan balik rumah dan mulakan usaha esok hari. Malam ini mula dengan doa, minta pada Allah s.w.t.

Semoga Allah s.w.t kabulkan kita semua. Semoga Allah s.w.t beri nusrah dan segala bantuanNya kepada kita. Semoga Allah s.w.t jauhkan segala halangan dan rintangan daripada kita dengan kudratNya. Semoga Allah s.w.t beri pada kita taufiq untuk dapat buat usaha ini dengan cara dan tarekat yang betul. Semoga Allah s.w.t masukkan ke dalam setiap hati manusia tentang kepentingan dan kebesaran usaha ini. Semoga Allah s.w.t, melalui usaha ini, dapat hidupkan kembali agama dan usaha agama di seluruh alam. Semoga Allah s.w.t, melalui usaha ini, cantumkan dan satu padukan hati-hati umat Baginda s.a.w. Semoga Allah s.w.t terima kita semua. Amin…

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir