1999 - jemaah masjid : hafiz iqbal (1)

06/07/1999 - sri petaling

Tuan-tuan yang mulia, di syurga hanya dengan iradah sahaja semua akan berlaku, semua akan terbentuk dan terjadi tetapi di dunia ini hanya akan berlaku dengan iradah dan usaha. Untuk wujudkan sesuatu hendaklah kita betul-betul niat dan betul-betul yakin dengan Allah s.w.t dan kita kena buat usaha yang sungguh-sungguh. Diberitakan bahawa Abdullah bin Zubair r.a, bila dia hendak buat sesuatu, dia akan buat usaha dengan bersungguh-sungguh seolah-olah dia yang melakukan segala-galanya tetapi bila dia sembahyang, lakukan perintah Allah s.w.t, dia lupa dia bukan segala-galanya.

Kita sebagai umat Baginda Nabi s.a.w, sebagai naib Baginda s.a.w, kita bertanggungjawab untuk buat usaha Baginda s.a.w. Nabi s.a.w sebagai rahabah untuk seluruh umat manusia dan Nabi s.a.w telah dilantik oleh Allah s.w.t untuk seluruh manusia. Usaha Nabi s.a.w dan usaha sebagai umat Nabi s.a.w, masanya adalah sampai hari qiamat. Masa tugas nabuwwat ialah sampai hari qiamat. Kita sebagai umat Nabi s.a.w adalah termasuk juga dalam kerja Baginda s.a.w. Niat kita adalah untuk seluruh alam. Kita kena niat macam mana hendak buat usaha atas seluruh manusia di seluruh dunia. Oleh itu, untuk seluruh alam ini, kita kena buat usaha di marhallah kita. Di marhallah, kita bentuk kerja supaya dari marhallah kita, kita dapat sempurnakan takazah untuk seluruh alam dan kita doa untuk seluruh manusia supaya dapat hidayat.

Alhamdulillah, tuan-tuan semua telah niat untuk 5 amal. Adakah tuan-tuan telah fikir bagaimana tuan-tuan hendak kumpul semua ahli marhallah tuan-tuan supaya dapat lakukan 5 amal ini? Jika tuan-tuan belum fikir lagi, sekarang tuan-tuan fikir. Kita kena niat macam mana hendak kumpulkan seluruh marhallah kita untuk 5 amal. Adakah di antara masjid/surau tuan-tuan yang ada di sini, semua penduduknya telah ambil bahagian dalam 5 amal? atau adakah di antara masjid/surau tuan-tuan yang ada di sini, separuh daripada penduduknya telah ambil bahagian dalam 5 amal?  Walaupun sekarang tidak ada lagi, jangan kita putus asa. Apabila kita niat, kita doa dan kita usaha, insya’Allah, 50% akan datang, 100% pun akan datang. Kita kena niat di marhallah kita, 100%, tua-muda-kecil-besar, macam mana kita hendak usahakan mereka supaya kita dapat kumpulkan mereka untuk melakukan 5 amal ini. Semua sedia?

Macam mana kita hendak buat agar 100% ahli marhallah kita bersama dalam 5 amal ini dan 100% ahli marhallah kita dapat sembahyang jemaah? Kita kena fikirkan.

Adakah dari masjid tuan-tuan di sini bawa jemaah 3 hari sendiri? Berapa jemaah 3 hari keluar dari masjid tuan? Sudah berapa lama satu jemaah ini berjalan? Berapa jumlah orang dalam satu jemaah? Ada berapa buah rumah di marhallah tuan? Jika ada 400 atau 500 buah rumah orang Islam, maknanya ada lebih kurang 1000 orang yang baligh dan jika satu jemaah ada 10 orang maka jemaah 3 hari yang dapat dibentuk ialah 100 jemaah. Ini tidak mustahil. Memang di masjid tuan ada kemampuan dan kebolehan untuk keluarkan 100 jemaah 3 hari setiap bulan. Semua masjid-masjid berkemampuan untuk buat perkara yang sama.

Selalunya bila kita balik dari 3 hari, apa yang kita risaukan ialah duit baki jemaah dan kita akan bahagi-bahagikan duit tersebut, kita kata masalah akhirat terlalu berat, maka di dunia ini kita selesaikan masalah. Kita bermaaf-maafan antara satu sama lain sekiranya ada terkasar semasa keluar dan kita akan beritahu, insya’Allah, pada hari Sabtu nanti kita jumpa di masjid Sri Petaling, malam markaz. Jika Allah s.w.t bagi keizinan dan masa, kita akan keluar lagi 3 hari selepas ini. Lepas itu, kita bagi salam dan balik rumah masing-masing. Sebab itulah bilangan orang tidak bertambah dalam masjid kita. Untuk kita bawa 100% orang-orang di marhallah kita sembahyang jemaah, kita kena bawa mereka 100% keluar 3 hari.

Apabila kita pergi ke rumah seseorang dan ajak dia datang sembahyang, maka dia akan buat niat untuk datang tetapi syaitan akan usaha supaya dia tidak boleh datang walaupun dia ada niat. Bila kita jumpa dia lagi, dia akan kata saya tidak dapat buat lagi hari ini, insya’Allah, esok saya akan datang untuk sembahyang. Bila kita bawa orang itu keluar 3 hari, adakah orang itu akan sembahyang atau tidak sembahyang? Adakah kita perlu beritahu dia untuk sembahyang atau tidak perlu beritahu?

Dalam 3 hari dia akan dapat sembahyang 15 waktu dengan berjemaah dan dia juga akan sembahyang tahiyatul masjid, isyrak, dhuha dll. Bila dia balik ke rumah nanti sudah tentu untuk beberapa masa yang tertentu, satu bulan atau dua bulan, dia akan mneruskan perbuatan yang sama iaitu dapat jaga sembahyangnya. Bila kita bawa dia keluar 3 hari bulan depan, maka sembahyang dia akan bertambah baik. Kita bawa dia keluar 3 hari dua-tiga kali berturut-turut, maka insya’Allah dia akan jadi satu orang betul-betul sembahyang.

Jemaah 3 hari yang  dibentuk, selalunya ada lebih kurang 10 orang dan 5 atau 6 orang dalam jemaah itu adalah orang bulan lepas dan 5 atau 6 orang lagi adalah orang baru. Adakah tuan-tuan buat macam ini setiap kali keluar 3 hari? Adakah tuan-tuan bawa orang yang sama tiap-tiap bulan keluar 3 hari? ataupun bertukar? Hadzratji rah. pesan untuk orang-orang lama dalam usaha ini, setiap 2 orang lama, mesti bawa 8 atau 9 orang baru. Kita bawa orang baru dan usaha atas orang itu supaya dia sibuk dengan amal dan supaya dia dapat bersama dengan kerja ini.

Bila kita bawa semua orang lama dalam jemaah 3 hari, maka kita tidak akan rasa tanggungjawab. 3 hari kita jadi macam picnic sahaja. Ia jadi sebagai satu rutin. Macam mana kita hendak usaha supaya 100% penduduk kampung kita dapat keluar 3 hari? Orang-orang lama di marhallah kita, 8 atau 10 orang, kita bentuk jemaah 2 atau 3 orang dan kita bagi lorong-lorong. 2 atau 3 orang itu kena sediakan dari setiap lorong 7 atau 8 orang baru untuk bersama kita keluar 3 hari. Kalau kita buat macam ini, kita akan dapati dalam satu jemaah akan ada 5 atau 6 orang baru setiap bulan dan dari satu jemaah akan menghasilkan 5 atau 6 jemaah yang lain.

Kalau di marhallah kita ada 1000 orang, maka dalam fikiran kita, kita kena fikirkan macam mana hendak keluarkan 100 jemaah. Ini mesti ada dalam fikiran kita semua. Kita buat muzakarah dengan ahli masjid kita, bentuk zihin, supaya semua orang ada fikir yang sama. Bila 2 orang lama bawa 8 orang baru, maka barulah akan ada rasa tanggungjawab. Tanggungjawab itu akan rasa berat. Bila dia rasa berat, maka barulah hakikat usaha ini akan dirasai. Dan orang baru yang dibawa bersama, dia akan balik dan buat kerja bersama.

Jangan kita lari dari tanggungjawab. Orang macam ini adalah pengecut. Jangan kita kata saya tidak boleh jadi amer. Tanda-tanda dekatnya hari qiamat ialah orang tidak sedia jadi imam. Semua akan kata saya tidak layak jadi imam dan ini bukan satu kebaikan. Walaupun ramai orang yang datang ke masjid, tetapi tidak ada satu orang pun yang layak jadi imam dan tidak ada orang yang sanggup. Semua akan tunggu sehinggalah waktu sembahyang hendak habis dan semua orang sembahyang sendiri-sendiri. Kita anggap ini satu kebaikan yang  besar bahawa saya tidak boleh jadi amer. Ini adalah keburukan dari nafsu kita yang mana ia akan larikan kita dari tanggungjawab. Kita buat keputusan sekarang ini bahawa semua kita akan bawa jemaah dengan penuh tanggungjawab. Tuan-tuan akan bentuk jemaah sendiri dan bawa jemaah tersebut. Dengan penuh tanggungjawab kita jalankan tugas ini.

Orang-orang yang bersama kita 3 hari, kita bawa mereka bersama dalam ta’alim, kita jaga dia betul-betul, kita bawa dia dalam khususi gasht, ummumi gasht dan 24 jam amal. Orang-orang yang kita tashkil, kita gunakan mereka untuk usuli. Bila kita buat muzakarah jemaah masjid di tempat kita keluar 3 hari, kita bawa semua ahli jemaah turut serta dalam muzakarah itu. Supaya semua orang, orang di tempat kita keluar dan ahli jemaah kita, dapat menafaat dari muzakarah tersebut dan dengar berulang-ulang kali tentang perkara itu. Pada hari ketiga, kita kumpulkan semua ahli jemaah kita dan kita perdengarkan kisah-kisah pengorbanan sahabat, macam mana sahabat korbankan nyawa mereka untuk agama, supaya semangat mereka bertambah. Kita cuma minta mereka lapangkan masa 4 bulan. Sekurang-kurangnya setiap daripada kita kena ada niat untuk keluar 4 bulan. Supaya orang baru yang bersama kita, mereka kembali dengan niat untuk keluar 4 bulan. Apabila orang-orang baru tadi telah niat 4 bulan, kita tanya dia bila dia hendak keluar. Bila dia telah sanggup untuk buat perkara itu, kita tulis namanya dan bulan bila dia hendak pergi. Mereka mungkin akan kata, 2 bulan lagi, 4 bulan lagi, 6 bulan lagi, kita tulis mengikut apa yang dia telah niat. Bila dia sudah niat, maka kita cuma memperingatkan dia, insya’Allah, satu masa dia akan keluar. Kita sediakan dia untuk buat kerja 5 amal masjid. Untuk kerja ini, kita tidak perlu ambil cuti, kita tidak perlu belanjakan wang, kita tidak perlu safar. 

Orang-orang baru yang keluar 3 hari, kita tanya mereka, “Macam mana tuan rasa 3 hari ini?” Dia akan jawab, “Masya’allah, bagus” Kita akan kata, “Kalau bagus, tuan sedia tak untuk keluar dengan kita 3 hari setiap bulan?” Maka dia akan jawab, “Insya’Allah saya akan cuba”. Apabila dia telah sedia, kita mesyuarat dan tetapkan tarikh untuk kita keluar 3 hari bulan depan. Minta syor dari semua orang bila tarikh hendak keluar. Tulis semua nama yang hendak keluar 3 hari bulan depan. Kita akan cakap pada mereka yang sedia, “Mungkin tuan ada kawan-kawan yang lain . Kita ada masa sebulan lamanya sebelum kita keluar 3 hari. Satu masa yang lama untuk sediakan kawan-kawan tuan yang lain”. Ada orang akan sediakan 5 orang, ada orang akan sediakan 4 orang, ada orang akan sediakan 2 orang dsbnya. Tulis nama-nama orang yang hendak disediakan itu. Kita buat satu senarai. Satu orang lama bawa beberapa orang baru. Untuk mereka yang hendak sediakan orang, kita jangan tanya dia, “Tuan hendak keluar ke atau tidak mahu keluar?” kerana dengan ini kita telah bagi dia peluang untuk keluar atau tidak keluar. Kita beritahu dia tentang tanggungjawab, “Tuan akan bawa bersama tuan 4 orang”. Oleh itu dengan sendirinya dia akan keluar. Selepas jangkamasa tertentu, kita akan tanya dia, “Adakah tuan telah sediakan 4 orang tersebut yang akan keluar bersama tuan?”. Kita suruh dia bawa kita pergi berjumpa dengan keempat-empat orang itu supaya mereka mempunyai niat yang kuat untuk keluar, insya’Allah mereka pun akan keluar. Kita gunakan dia sebagai rahabah untuk jumpa/khususi 4 orang tersebut. Jika dia kata dia lupa tentang 4 orang itu, kita beritahu dia kita masih ada masa seminggu lagi. Kita beritahu dia, “Jika tuan tidak boleh cakap dengan mereka, tuan gunakan kami, kami akan sediakan 4 orang tersebut”.

Bula kita pergi jumpa dengan kawan dia tadi, kita cakap tentang iman. Kita beritahu mereka betapa pentingnya untuk keluar di jalan Allah s.w.t. Kita akan kata, “Bulan lepas, saya dan dia telah keluar 3 hari dan kami rasa sangat bagus sekali”. Kita beritahu tarikh hendak keluar 3 hari. Kita beritahu dia, “Tuan sebagai sahabat dia, tuan juga boleh bersama keluar dengan kami dan begitu banyak sekali menafaat yang kita semua akan perolehi dalam jemaah ini”. Jika kita kata begini, maka rahabah yang kita bawa tadi tidak boleh ingkar lagi, dia mesti kena keluar juga. 

Jika kita ada 10 orang dan setiap satu orang lama sediakan 2 orang baru, maka kita akan ada sekurang-kurangnya 30 orang dan bulan depan kita akan ada sekurang-kurangnya 3 jemaah. Jika satu orang lama sediakan satu orang sahaja, maka kita akan ada sekurang-kurangnya 20 orang dan dapat bentuk sekurang-kurangnya 2 jemaah.

Oleh itu, untuk kita sediakan orang untuk keluar bulan depan maka kita gunakan orang-orang yang keluar 3 hari bersama kita bulan lepas. Kita sediakan dia untuk buat gasht setiap minggu. Begitu juga dengan 2 ½ jam, kita pergi rumah ke rumah, yang mana dengan cara ini kita akan dapat orang yang bersedia untuk keluar 3 hari, maka bilangan orang akan bertambah. Sepatutnya, bulan ini kita keluar 2 jemaah, bulan depan bilangan jemaah akan bertambah. Bila kita dapati jemaah tidak bertambah, ingatlah bahawa 3 hari kita tidak betul lagi. Bila kita keluar jemaah 3 hari dengan betul, maka bulan depan, natijahnya kita akan dapat beranak jemaah baru. Orang yang bersama dengan kita 3 hari, kita gunakan mereka untuk ambil bahagian dalam amalan-amalan lain. Sekali orang datang pada kita, jangan kita lepaskan dia seperti seorang nelayan, dia akan tebarkan jalanya dan bila ikan masuk dalam jala, dia akan tarik dan dapat ikan dan tebarkan jalanya lagi untuk dapatkan ikan yang seterusnya. Jika semua ikan yang ditangkap itu dilepaskan kembali, maka bila jala ditebarkan untuk kali kedua, ada ikan yang masuk, ada ikan tidak masuk, cuma sebahagian sahaja yang masuk jala.

Jemaah masjid kita, ada 10 orang dan 10 orang itulah sampai bila-bila pun. Ini tidak betul. Kita kena fikirkan sebanyak mana yang baligh, mereka juga berada dalam jemaah masjid kita. Ada setengah-setengah masjid, tiap-tiap hari lebih kurang 200 orang duduk dalam mesyuarat. Semasa safar di South Africa bersama Maulana Yunus, kata Maulana Yunus, di Bombay ada masjid yang keluarkan 30 jemaah 3 hari setiap bulan, ada setengah masjid 50 jemaah setiap bulan. Jika tuan-tuan sedia untuk buat kerja, besar kemungkinan dari masjid tuan-tuan akan dapat keluarkan 50 hingga 100 jemaah setiap bulan.

Sebab itulah kita berterusan dengan usaha kita dan kita sentiasa berdoa. Kita kumpulkan semua ahli-ahli jemaah masjid kita dengan kasih dan sayang. Kita tambahkan kerja kita. Bila kerja kita tidak bertambah, kita mesyuarat dengan orang tanggungjawab bagaimana hendak tambahkan kerja.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir