mesyuarat malaysia 1992 - maulana ibrahim
17/08/1992
Apabila matahari terbit dan memancarkan cahayanya dengan terang, dapatlah kita lihat kerja-kerja yang baik dengan jelas. Bila matahari tenggelam di barat, malam pun tiba, alam menjadi gelap dan sunyi, segala kerja-kerja baik pun berhenti. Kerja-kerja yang jahat mula bermaharajalela.
Demikianlah apabila hati-hati manusia di masuki nurullah (nur hidayah), maka manusia dapat melihat dan mengenal kebaikan serta kebenaran seterusnya dapat melakukan kerja-kerja yang baik. Sebaliknya bila hati-hati manusia gelap (di sebabkan kejahilan, kelalaian, nifaq dan syirik) maka manusia tidak nampak kebenaran dan tidak mengenali kebaikan, lalu manusia membuat kerja-kerja yang salah dan mungkar.
Rasulullah s.a.w datang ke dunia di kala dunia di dalam kegelapan semenjak beratus-ratus tahun. Perkara pertama yang Baginda s.a.w usahakan ialah supaya manusia mengenal dan mentauhidkan Allah s.w.t serta hak ke atas diri sendiri diceritakan supaya manusia yakin kepada balasan-balasan terhadap kebaikan dan kejahatan di akhirat.
Baginda s.a.w menjalankan usaha supaya manusia betul-betul sentiasa berhubung dengan Allah s.w.t dan dengan itu hubungan dengan sesama manusia dapat diperbaiki dan diperelokkan. Apabila usaha dakwah diteruskan oleh Rasulullah s.a.w, iman masyarakat telah bertambah (meningkat). Walau di malam gelap-gelita pun manusia tidak sanggup membuat kejahatan (melanggar perintah Allah s.w.t).
Pada zaman Umar r.a menjadi khalifah, ada seorang ibu menyuruh anaknya mencampurkan susu dengan air (untuk dijual).
Anaknya berkata, “Bagaimana kalau khalifah Umar tahu?”
Jawab ibunya, “Khalifah Umar tidak lihat, bagaimana dia boleh tahu?”
Lalu anak itu berkata, “Tetapi Allah melihat”
Pada satu musim kemarau, ibnu Umar r.a di suruh membeli kambing untuk disembelih. Lalu dia berjumpa dengan seorang budak pengembala.
Budak pengembala itu berkata, “Ini bukan kambing saya”
Abdullah ibnu Umar r.a hendak menguji budak itu, katanya, “Tuan kamu tidak tengok, katakan sahaja kambing di makan serigala”
Jawab budak pengembala itu, “Tetapi Allah melihat saya”
(Ihsan telah sampai ke dalam hati ummat pada masa itu)
Abdullah ibnu Umar r.a mengajak budak itu makan bersamanya.
Kata budak itu, “Saya berpuasa” , masya’allah
Banyak lagi kisah-kisah seperti ini.
Apabila usaha ke atas iman di jalankan, manusia akan dapat mentaati perintah Allah. Apabila usaha dakwah dihentikan, kelemahan di dalam iman akan berlaku (hidayah tidak lagi tersebar), dengan itu manusia akan melakukan berbagai kejahatan dan meninggalkan amalan kebaikan. Dengan menjalankan usaha Rasulullah s.a.w, iman dibentuk. Kekuatan iman dan kewibawaan akan wujud di dalam diri hamba-hamba Allah, dan orang-orang mukmin akan mula bersuara dengan kebenaran. Sesungguhnya kehidupan bersuara (menyuarakan dakwah, penyebaran risalah Allah s.w.t serta menegak kebenaran dan keadilan) merupakan satu anugerah Allah s.w.t.
Apabila usaha dakwah ditinggalkan, akan wujudlah pecah-belah di antara satu sama lain. Malahan dengan kemajuan usaha dakwah, segala kegiatan hidup manusia (seperti perniagaan dan politik) akan berjalan dengan betul. Tetapi sebaliknya, jika usaha dakwah terhenti (ditinggalkan) akan berlakulah berbagai penipuan dan penyelewengan.
Dengan usaha dakwah yang di bawa oleh Baginda s.a.w telah wujudlah segala kebaikan, di antaranya:
1. Amanah
2. Sangka baik terhadap orang lain.
Asas usaha dakwah bukanlah kebendaan, pangkat atau kuasa pemerintahan, tetapi asas usaha dakwah ialah ikhlas. (Daripada ikhlas ini jugalah lahirnya taat dan mematuhi peraturan serta sikap yang baik terhadap manusia). Jika kita ikhlas, Allah s.w.t akan campakkan nur ke dalam hati kita. Orang yang ikhlas tidak bermaksud untuk mendapatkan apa-apa balasan, pangkat, harta, kemasyhuran, perempuan dan lain-lain, tetapi semata-mata kerana mengharap keredhaan Allah.
Orang-orang yang ikhlas di dalam dakwah adalah ibarat lampu :
“Dan menjadi pendakwah kepada agama Allah dengan izinNya dan menjadi cahaya yang menerangi” (Surah Al Ahzaab : ayat 46)
Apabila lampu menyala (hadir cahaya petunjuk), ramai orang akan dapat melihat kebaikan dan mereka akan mengerjakannya. Sebaliknya, jika lampu tidak menyala (yakni berada di dalam kegelapan), manusia tidak mengenal kebaikan dan banyak membuat kesalahan.
Ikhlas juga bermakna ikut tertib dan usul. Meninggalkan usul bermakna tidak ikhlas, akibatnya muncul berbagai-bagai kejahatan.
Seorang telah datang kepada Baginda s.a.w semasa persiapan untuk menuju ke Tabuk. (Tabuk ialah sempadan dengan Sham, iaitu kawasan Mediterranean )
Katanya kepada Rasulullah s.a.w, “Tuan jangan bawa saya ke sana , nanti timbul fitnah”
Baginda s.a.w bertanya, “Mengapa ?”
Jawab orang itu, “Di sana banyak perempuan-perempuan cantik”
Dengan itu turun wahyu yang menerangkan bahawa dia sudah pun berada di dalam fitnah.
Sebenarnya ke mana lagi hendak pergi dengan meninggalkan Rasulullah s.a.w dan kerja dakwah? Fitnah memang datang kepada kita di dalam suasana perempuan-perempuan cantik sekiranya hati kita gelap.
Kita hendaklah buat kerja ini mengikut usul-usulnya. Usul-usul yang ketat untuk diri kita sendiri dan usul-usul yang ringan untuk yang lain. Rasulullah s.a.w memanjangkan solatnya (dan membaca surah-surah yang panjang) bila seorang diri, tetapi semasa solat berjemaah bersama orang ramai Baginda s.a.w memendekkannya.
Syaitan selalu tunjuk kepada kita berbagai-bagai usul orang dan nafsu kita turut hanyut dengan bisikan-bisikan syaitan menyebabkan sikap diri kita juga hanyut dan merosakkan orang lain. Serentak dengan itu perasaan benci-membenci sesama sendiri juga turut berkembang. Ini tidak betul.
Oleh itu apabila kita melihat usul telah merosot, hendaklah segera kita perketatkan untuk diri kita sendiri dan longgarkan untuk orang lain. Apabila para sahabat r.a melihat kekurangan usul pada orang lain, mereka terus menyalahkan diri mereka sendiri. Ingatlah apabila kita berusaha ke atas iman, kita akan beroleh kemuliaan sebab ini adalah jaminan Allah s.w.t.
Apabila kita sudah ke depan, janganlah kita mula berasa diri kita besar dan orang lain tidak boleh cakap apa-apa (tentang kesilapan kita). Kalau demikian, diri kita juga tidak boleh cakap apa-apa terhadap orang lain. Asas usaha ini ialah ikhlas dan laksanakan pengorbanan, kemudian kita tidak boleh anggap diri kita besar, tetapi hendaklah dirasa sama taraf dengan orang lain.
Hendaklah kita ingat-mengingati di antara satu sama lain (dengan ikhlas, sopan santun dan kasih sayang) Seorang mukmin dan seorang mukmin yang lain ibarat cermin. Bila kita melihat seorang muslim yang lain bererti kita menilik diri sendiri pada orang lain.
Amalkan sikap dasar memandang ke dalam. Apabila kita melihat orang lain sama ada kita nampak kebaikan atau keburukan, hendaklah kita segera menilik diri sendiri - “Bagaimanakah diriku ?” Pandanglah orang lain untuk mencari dan mengutip segala kebaikan dan pandanglah diri sendiri untuk meneliti (menyemak) segala kekurangan dan cacat-cela.
Apabila kita melaksanakan tugas dakwah ini walau di dalam apa keadaan sekalipun, akan datanglah sifat taat pada diri kita. Dengan wujudnya sifat taat, akan bertambahlah nur dan hidayah di dalam hati kita. Malahan apabila kita didik diri kita dengan sifat taat, akan timbullah keelokan akhlak kita. Dengan itu tidaklah berlaku pecah-belah. Perkara yang tidak difahami hendaklah diberitahu dengan cara yang baik.
Hendaklah kita jalankan usaha dakwah di dalam suasana yang bersih, indah dan aman damai sebab itulah tujuan dakwah yang sebenarnya.
Comments
Post a Comment