mesyuarat malaysia 1992 - meiji mehrab

 17/08/1992

Al-Quran dan Hadith sudah cukup. Tiada lagi nasihat yang lain yang lebih baik daripada itu. Telah berkali-kali saya dengar daripada orang-orang tua di Nizamuddin ini bahawa usaha tabligh bukan ada maksud yang lain daripada hendak membawa ke dalam diri kita serta sekalian ummat manusia sebagaimana kehidupan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Kita telah mendengar berbagai masalah di dalam kubur dan akhirat. Kita diberitahu bagaimana kita perlu berusaha mengelak diri kita daripada diazab Allah s.w.t. Dan untuk maksud itu, tidak ada lagi cara lain daripada cara yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi s.a.w. Malah dengan niat dan tujuan inilah kita sedang meneruskan usaha kita sekarang.

Apabila kita mendengar orang memperkatakan tentang kebesaran Allah s.w.t dengan penuh perhatian, nescaya kebesaran Allah s.w.t akan masuk ke dalam hati kita. Demikian juga apabila kita mengerjakan sembahyang dengan betul, lebih-lebih lagi apabila kita keluar 4 bulan dengan sentiasa berada di dalam program-program dakwah dan suasana iman, maka kebesaran Allah s.w.t akan masuk ke dalam hati kita.

Maksud hidup ummat akhir zaman ialah menjalankan tugas-tugas dakwah atau menyambung kerja-kerja Rasulullah s.a.w di atas muka bumi ini. Oleh itu kita perlu belajar usul-usul dan tertib-tertibnya.

Orang-orang yang tidak dapat keluar 4 bulan tiap-tiap tahun, hendaklah istiqamah dengan 40 hari. Kita perlu menyediakan orang lain dan diri kita untuk keluar di dalam jemaah daripada kampung kita sendiri. Soal berapa lama kita boleh keluar adalah bergantung pada taufiq dan pilihan Allah.

Untuk jaulah (gasht) ke atas masyarakat, berjalan dari rumah ke rumah, lorong ke lorong, carilah masa yang baik di mana semua orang ada di rumah. Bawa mereka keluar dari kesibukan dunia dan dengar berita-berita akhirat (supaya dunia mereka menjadi bersih dan mendatangkan kebaikan)

Ajak orang-orang kampung kita keluar membuat kerja-kerja jemaah masjid di sekitar kampung kita. Pandai-pandailah mengajak orang ramai supaya mereka tidak menolak kerja dakwah. Menolak kerja dakwah boleh membahayakan iman mereka.

Semasa jaulah tiba-tiba kita dapati ada orang yang tergesa-gesa tidak dapat tunggu untuk dengar cakap kita, janganlah dia dipegang, tetapi suruh dia beritahu supaya orang-orang lain di tengah jalan datang ke masjid untuk mengikuti program-program yang sedang dijalankan.

Sebaik-baik jaulah umumi ialah 10 orang satu jemaah. Kalau tiada rakan, 2 atau 3 orang pun bolehlah. Orang yang hendak dilantik menjadi Amer dalam jaulah umumi hendaklah orang yang lebih tua yang faham perasaan orang lain, dan jurucakap (mutakallim) mestilah orang yang lebih tahu keadaan di tempat berkenaan. Mutakallim mestilah bercakap dengan baik dan lemah lembut. Kita mesti bawa manusia daripada suasana-suasana lain kepada suasana masjid. (Akhlak yang mulia akan terbina)

Bila kebesaran kerja dakwah sudah masuk ke dalam diri seseorang barulah dia akan ambil kerja ini dengan penuh tanggungjawab. Oleh itu kita perlu targhib perlahan-lahan. Kita perlu beritahu bahawa dengan agama sahaja kita akan selamat. Kalau kita bercakap macam ini, orang alim besar pun tidak akan menentang kita. Jalan untuk menuju ke syurga hanya jalan agama (bukan jalan-jalan yang lain). Masa yang Allah s.w.t beri untuk kita hidup mengikut agama hanya sekejap sahaja iaitu di dunia ini sebelum maut datang.

Kalau seseorang itu ada masa lapang hanya pada waktu malam untuk buat program harian 2½ jam, boleh juga datang ke masjid untuk membuat amalan-amalan sunnat. Bagi orang-orang yang ada kelapangan pada siang hari, bolehlah buat ta’alim sekejap, berbincang dan bermesyuarat mengenai kedudukan kampung dan keluar jumpa manusia, ulamak dan orang-orang soleh. Selain daripada itu, boleh juga kita mengajar orang lain, ziarah keluarga karkun yang keluar di jalan Allah, nusrah jemaah yang datang ke kampung kita.

Kita perlu bentuk jemaah masjid di masjid kita (untuk menjalankan kerja-kerja dakwah) dan wujudkan jemaah masjid di masjid-masjid lain. Hendaklah fikir dan berusaha supaya setiap mukallaf di dalam kampung kita dapat ditanamkan dengan fikir agama dan kerja dakwah, kemudian mereka dididik supaya dapat berusaha untuk menanam fikir agama dan kerja dakwah ke atas orang lain pula.

Kalau tuan-tuan buat usaha (dakwah) ini dengan istiqamah, lama-kelamaan orang akan faham tujuan kita. Hari ini kebanyakan manusia berusaha untuk kehidupan dunia mereka sahaja. Apabila manusia faham, mereka akan berusaha ke atas dunia mereka untuk kepentingan akhirat (dan usaha itu menjadi baik dan bersih). Apabila tuan-tuan meningkat maju, tuan-tuan dapat laksanakan kerja dakwah ini untuk seluruh dunia. Orang-orang Malaysia berbakat untuk tujuan ini.

Satu daripada tujuan jemaah 3 hari dikeluarkan di kawasan kita ialah supaya jemaah 3 hari daripada tempat-tempat lain juga dapat dikeluarkan, dan supaya setiap mukallaf lelaki dan perempuan ada fikir akhirat.

Sesiapa yang dikurniakan harta kekayaan, kuasa pemerintahan dan pangkat perlulah disedari bahawa itu bukanlah satu pemberian yang besar. Itu adalah perkara umum yang Allah berikan kepada sesiapa sahaja sama ada kepada orang yang beriman mahupun orang kafir. Kurniaan Allah s.w.t yang paling berharga ialah taufiq ma’unah. Perkara ini dikurniakan kepada orang beriman atau orang yang Allah s.w.t kasihi sahaja.

Apabila manusia mati, segala harta, pangkat dan negara semuanya ditinggalkan, hanya iman dan amal sahaja yang ikut bersama. Iman akan membantu manusia di dalam kubur, di mahsyar, di titian sirat dan menjamin manusia ke syurga. Sedangkan yang lain-lain semuanya tidak boleh.

Di kalangan orang-orang beriman pula ada yang dikurniakan pemberian yang khusus dan istimewa, iaitu kerja nabuwwah yang dilaksanakan dengan ikhlas tanpa mencari apa-apa kepentingan duniawi bagi diri sendiri, tetapi semata-mata bertujuan supaya manusia beroleh keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Setiap orang yang buat kerja nabi-nabi yang sebenar tentu bertujuan untuk menjaga diri dan mendapat rahmat Allah s.w.t serta mengelak daripada azab kemurkaanNya.

Maulana Ilyas rah. (yang menghidupkan kembali kerja ini) tidak pernah keluar ke seluruh dunia atau keluar negeri. Beliau hanya sampai di Lucknow dan Mewat sahaja, tetapi beliau menanam semangat supaya meneruskan usaha ini sama ada orang mahu ikut atau tidak, dan suatu masa kelak orang daripada seluruh dunia akan datang ke negeri kita untuk belajar usaha kenabian ini.

Walaupun kerja yang kamu laksanakan sedikit tetapi (jika ikhlas dan mengikut peraturan) faedahnya sangat besar. Maulana Ilyas rah. sentiasa menanam ke dalam diri kami supaya istiqamah dan beliau banyak menyampaikan berita gembira mengenai masa depan kerja ini. Beliau mahu supaya setiap orang sekurang-kurangnya keluar 4 bulan sekali untuk seumur hidup, 40 hari setiap tahun, 3 hari setiap bulan dan 2 jaulah setiap minggu.

Disamping itu setiap wanita perlu solat pada awal waktu di rumah masing-masing dan dapat jaga zikir pagi petang. Kaum lelaki pula dapat jaga solat fardhu berjemaah, zikir pagi petang, tilawah Quran dan ta’alim harian masing-masing.

Perkara yang paling penting disedari ialah agama sudah sempurna sebagaimana yang Allah s.w.t isytiharkan : “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmatKu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagi kamu”. (Surah Al-Maidah : ayat 3)  

Allah s.w.t telah ikatkan (syaratkan) keredhaanNya hanya dengan agama yang betul, asli dan sempurna sebagaimana yang dibawa oleh Baginda Nabi s.a.w. Sebanyak mana manusia dapat amalkan agama yang sempurna maka sebanyak itulah rahmat Allah s.w.t akan datang ke atas dirinya. Sebaliknya sebanyak mana manusia meninggal atau menyeleweng daripada agama yang sempurna itu, maka sebanyak itulah pula laknat dan azab Allah s.w.t akan menimpa dirinya.

Segala tertib yang diajar adalah untuk membolehkan kita membawa agama yang sempurna ini ke dalam diri dan kehidupan kita dan inilah tujuan enam sifat yang sebenarnya.

Maulana Ilyas rah. telah menerangkan supaya keyakinan pd kalimah mesti diusaha bila sesiapa meningkat baligh (mukallaf), dan beliau sendiri meninggal dunia ketika sedang mengusahakan perkara ini untuk dirinya sendiri.

Iman sentiasa bergerak sama ada semakin turun atau semakin naik. Sesiapa yang berusaha (mujahadah) untuk mempertingkatkan imannya, maka imannya akan meningkat. Tetapi bila kita berhenti daripada berusaha, mahu tidak mahu iman kita akan turun dan terus turun.

Hari ini rata-rata manusia sentiasa bercakap tentang kelebihan dan juga kebesaran makhluk, tetapi usaha kita bertentangan dengan itu , iaitu kita bercakap tentang kebesaran Allah s.w.t. Sesiapa yang mendengar mendapat menafaat dan sesiapa yang bercakap mengenainya (kebesaran Allah s.w.t) juga mendapat menafaat. Apabila kita mendengar perkara-perkara yang benar hendaklah kita tasdiqkan di dalam hati kita.

Orang-orang yang beriman sepatutnya berasa perlu kepada iman dan ingin tingkatkan keimanan. Pohonlah supaya Allah s.w.t tambahkan keimanan dan berikan kekuatan di dalam diri supaya dapat tunaikan perintah Allah dan tinggalkan laranganNya.

Untuk mengetahui kedudukan iman kita, tanyalah hati-hati kita sendiri. Hati kita akan beritahu kita sama ada kebesaran Allah di dalam hati kita telah bertambah , cinta kepada syurga dan takut pada neraka juga bertambah, fikir akhirat bertambah, fikir dunia kian berkurangan dan sebagainya. Apa yang penting yang mesti wujud dan sentiasa bertambah ialah cinta akhirat di dalam diri kita.

Satu perkara penting ialah, hal-hal lain Allah s.w.t sampaikan melalui Jibrail a.s tetapi untuk solat, Baginda s.a.w di mikrajkan sendiri oleh Allah s.w.t. Malah Jibrail a.s pun tidak dibenarkan berada di situ. Allah s.w.t hadiahkan solat kepada Baginda Nabi s.a.w dan sekalian ummat akhir zaman.

Ada tiga cara untuk tingkatkan solat kita yang akan menghentikan kita daripada segala kejahatan dan kemungkaran:
1. Jangan anggap sesiapa yang meninggalkan solat sebagai satu perkara ringan, tetapi hendaklah fikir serta kasihan ke atasnya dan usahakan supaya orang itu dapat menjaga sembahyangnya. (Sesiapa yang dapat mulakan solat mereka melalui usaha kita Allah s.w.t akan tanamkan roh ke dalam solat kita dan memberi saham yang banyak kepada kita di akhirat)
2. Kita yang sedang mengerjakan solat hendaklah:
i.  Perbetulkan zahir solat kita (toharah, bacaan & toma’ninah)
ii. Perbetulkan batin solat kita (muraqabah, tawajjuh & tadabbur)

Untuk mencapai maksud ini kenalah pelajari ilmu Al-Quran serta masa’il dan segala gerak-geri melalui orang-orang yang tahu atau alim ulamak.

Rasulullah s.a.w menerangkan iaitu solat yang baik adalah seolah-olah kita nampak Allah atau merasakan yang Allah s.w.t sedang melihat kita zahir dan batin. Ini dinamakan Ihsan. “(Ihsan itu ialah) engkau mengerjakan ibadat kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya (memerhatikan keadaan mu). Kiranya engkau tidak dapat melakukan yang demikian, (maka ingatlah bahawa) Allah tetap melihat kamu (memerhatikan keadaan mu)” 
(Hadith riwayat Muslim)

iii. Apabila selesai solat, hendaklah bersyukur terhadap kurniaan Allah s.w.t kepada kita walau apa kekurangan - dengan syukur, Allah s.w.t akan tambah nikmatnya.Di samping itu kita perlu beristighfar kerana banyak lagi keperluan dan hak-hak solat yang tidak tertunai. Doakan supaya Allah s.w.t tambahkan pimpinan (taufiq) dan perelokkan sembahyang kita.

Apabila sembahyang kita betul, kita akan dapat buat amalan-amalan lain dengan betul. Kita dapat jaga haram-halal dan dapat mengelak daripada dosa. Malah apabila sembahyang kita baik, maka lima rukun Islam pun menjadi baik (elok)

Di samping ilmu-ilmu masa’il (masalah) untuk menentukan sah-batal, halal-haram kita mesti menambahkan ilmu fadhail (fadhilat) supaya menambahkan keseronokan untuk beramal dengan amalan-amalan yang baik dan menyedari betapa ruginya meninggalkan mana-mana amal. Untuk maksud ini juga kita mesti targhibkan orang lain supaya kita dapat tahu dan rasa betapa bermenafaat satu-satu amalan yang diperintahkan dan betapa ruginya melakukan satu-satu kemungkaran. Dengan tarbiyah ini manusia akan cinta kepada amal dan benci kepada perkara-perkara yang dilarang.

Hadzratji Maulana Inamul Hasan telah memberitahu bahawa ilmu-ilmu fadhail  ada kaitan secara langsung dengan iman kita, iaitu suka kepada amalan yang baik dan benci kepada amalan-amalan yang buruk.

Kesan amalan-amalan dunia boleh membawa kepada kelalaian walaupun halal. Untuk mengelakkan kelalaian ialah melapangkan masa untuk berzikir dan itulah amalan seluruh para ahlullahambiya dan auliya.

Ada tiga jalan untuk membetulkan zikir kita kepada Allah s.w.t iaitu:
1. Hendaklah selalu dakwah dan targhib orang lain tentang zikrullah.
2. Hendaklah jaga dan istiqamah dengan amalan-amalan zikir kita.
3. Doa kepada Allah s.w.t supaya kita sentiasa ingat kepadaNya dengan sebenar (tadharru’ dan khusyu’).

Melaui ikram, kita dapat betulkan akhlak kita. Untuk melengkapi kehendak ikram, kita mesti menambahkan fikir untuk menunai dan mempertingkatkan perlaksanaan tugas terhadap hak orang lain ke atas diri kita.

Melalui pembetulan akhlak kita ke arah yang lebih baik, ummat yang berpecah akan dapat bersatu kembali dan orang-orang kafir yang liar akan datang kepada Islam. Pergaulan yang sempit dan sikap sombong adalah berlawanan dengan maksud ini.

Kita dapat berakhlak dan menunaikan hak orang lain melalui kesedaran di dalam diri kita tentang sifat-sifat orang beriman. Orang-orang yang mempunyai iman yang paling kecil atau paling sedikit, Allah s.w.t akan beri syurga 10 kali ganda lebih besar daripada dunia ini.

Cara-cara untuk memenuhi dan membetulkan diri kita terhadap tuntutan ini ialah:
1. Targhib dan tarbiyah orang lain tentang sifat-sifat orang beriman (walau dia jahil, dia ada harga) - dakwah kepada perpaduan.
2. Kerana sedar setiap orang yang ada kalimah di dalam dirinya adalah berharga, maka kita muliakan dia.
3. Berdoa supaya Allah s.w.t letakkan rasa cinta di dalam hati kita terhadap orang- orang Islam.

Ikhlas adalah perkara yang amat penting, ianya cabang iman. Perkara-perkara lain yang diperintahkan dan dilarang sudah diberitahu oleh Baginda s.a.w daripada Allah s.w.t tetapi ikhlas adalah rahsia yang tidak diberitahu kepada sesiapa walau Nabi s.a.w dan Jbrail a.s sendiri. Niat yang betul dan bersih diperintahkan Allah s.w.t  Allah s.w.t akan beritahu kita semua di akhirat kelak. Masa itu baru kita akan mengerti.

Satu amal yang kecil, jika dibuat dengan ikhlas dan diterima oleh Allah s.w.t boleh menghapuskan semua dosa dan kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Ingatlah! Rahmat Allah s.w.t itu luas. Contohnya, seorang perempuan lacur yang memberi minum kepada anjing yang dahaga dengan ikhlas telah menyebabkan dosanya diampun dan dia dijamin syurga.

Sebaliknya, amal sebesar dan sebanyak mana sekalipun jika tanpa ikhlas boleh menyebabkan seseorang itu dihumban ke dalam neraka.

Untuk berusaha ke atas ikhlas, supaya kita mencapai hakikat ikhlas ialah:
1. Dakwah orang lain tentang ikhlas, dan tarbiyah orang lain supaya bersikap ikhlas.
2. Laksanakan segala amal dengan ikhlas.
3. Doa kepada Allah supaya dia kurniakan keikhlasan kepada kita.

Sebelum kita laksanakan sesuatu perkara hendaklah semak hati dan perbetulkan niat kita.

Maulana Yusuf rah. menerangkan bahawa semua manusia perlu dikeluarkan (diselamatkan) daripada salah faham terhadap diri dan harta benda mereka. Salah faham yang paling ketara ialah manusia berasa diri dan harta mereka itu adalah kepunyaan mereka, sedangkan Allah s.w.t memberitahu bahawa Dia telah membeli seluruh harta dan diri orang-orang beriman untuk dibayar dengan syurga supaya dipergunakan bagi mendakwah dan memperjuangkan agamaNya di dunia, walau sampai peringkat berperang dan mati kerana itu. Harta dan diri kita adalah amanah Allah s.w.t kepada kita.

FirmanNya:
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau dibunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran”.  (Surah At Taubah : ayat 111)

Harta dan diri kita sudah dijual kepada Allah dan diamanah untuk digunakan di dalam urusan agamaNya. Allah s.w.t Maha kaya. Dia tidak perlukan harta dan diri kita. Dia menjadikan kita dan mengurniakan harta kepada kita, kemudian Dia membelinya (diri dan harta kita) dan dijanjikan bayarannya dengan syurga, tetapi diri dan harta itu diamanahkan supaya kita mempergunakannya mengikut kehendak-kehendakNya. Ini kemurahan Nya.

Tujuan penggunaan harta dan diri ialah:
1. Mendakwah manusia supaya faham dan berpegang dengan kalimah ‘Lailahaillallah-Muhammadurrasulullah’
2. Digunakan untuk berkhidmat dan membantu anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang melarat, masjid-masjid dan madrasah-madrasah.
3. Digunakan ke atas diri dan keluarga secara halal.

Pada hari ini ramai orang yang mencari harta dan berbelanja dengan cara yang salah. Kita mesti mencari dan menggunakan harta mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Seterusnya hendaklah kita buat kerja dakwah dengan kasih sayang di antara satu sama lain dan hormat-menghormati. Tingkatkan kasih-sayang di antara kita. Mintalah nasihat daripada orang-orang lama kita, kemudia barulah kita laksanakan kerja ini. Dengan cara itu barulah tidak timbul pecah belah. Kesatuan hati dan kasih-sayang di antara kita adalah penting. Buatlah kerja ini dengan mesyuarat dan rujuklah kepada orang-orang lama kita. Jangan kita buat silap sampai berpecah dengan kawan-kawan.

Pada zaman Hadzratji Maulana Yusuf  rah. ada jemaah-jemaah yang dibentuk untuk buat jaulah umumi, tetapi mereka tidak dapat keluar kerana hujan lebat. Apabila Maulana Yusuf rah. bertanya mengapa mereka tidak dapat keluar, lalu mereka menjawab - kerana hujan. Maka Maulana Yusuf rah. telah menunjuk ke arah orang-orang yang sedang berbasikal ke pejabat, ke kedai dan lain-lain lagi di dalam hujan itu. Ini bererti bahawa kerja dakwah mesti dijalankan walau di dalam apa keadaan sekalipun.

Seorang pekedai sanggup tinggalkan hidangan bila pelanggannya datang. Kita juga mesti menjaga kerja dakwah dan solat bila sampai masanya. Jangan lagi mengutamakan kerja-kerja lain. Apabila datang qiamat semua makhluk akan binasa, tetapi iman dan amal tidak binasa.

Semua kerja dapat diselesaikan dengan (pertolongan) kuasa Allah s.w.t, bukannya dengan wang atau kepandaian kita. Oleh itu kita mesti letakkan kebesaran Allah di dalam hati kita dan buangkan kebesaran makhluk. Patung berhala yang diperbuat daripada emas tidak dapat berbuat apa-apa tetapi bila dipecahkan menjadi wang ia boleh buat apa sahaja. Maka manusia yang yakin kepada wang (kertas dan logam) sama seperti manusia yang yakin kepada berhala. Manusia tidak nampak kekuasaan Allah s.w.t.

Allah s.w.t yang menyelesaikan masalah kita, bukannya dengan yang lain dan bukan juga wang. Rezeki bukan daripada kedai, pejabat atau kebun kita (pada hakikatnya) Segala apa yang berlaku semuanya datang daripada Allah s.w.t.

Satu daripada keyakinan yang rosak ialah walau kita tidak yakin kepada wang di dalam saku orang lain, kita yakin kepada wang di dalam saku sendiri. Bila waham datang, iman pun kabur, iaitu hati senang bila ada wang, dan hati susah bila wang tiada, sama dengan keyakinan sebahagian tentera-tentera Islam di dalam peperangan Hunain, yang berasa senang melihat tentera-tentera kafir sedikit dan tentera Islam ramai, lalu Allah kalahkan pihak tentera Islam - Allah tidak tolong.

Kita mesti yakin bahawa segala sesuatu datang daripada Allah s.w.t. Pohonlah sesuatu daripada khazanahNya. Bila keyakinan kepada makhluk keluar daripada hati kita barulah iman (keyakinan kepada khaliq) akan masuk ke dalam hati kita.

Para sahabat r.a tidak balik ke rumah selagi tugas-tugas belum diselesaikan dengan sempurna. Allah s.w.t telah beri pertolongan yang luar biasa kepada para sahabat r.a, tetapi lihatlah pengorbanan mereka. Kadang-kadang mereka terpaksa berlapar kerana agama. Seorang yang terpaksa berlapar kerana agama Allah, Allah s.w.t memandangnya dengan pandangan rahmat.

Manusia tidak mati kerana lapar tetapi manusia mati kerana habis umur (sampai ajal) dan kita tidak akan mati sebelum rezeki kita habis.  

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir