mesyuarat malaysia 1992 - maulana umar (1)

17/08/1992

Allah s.w.t kurniakan upaya kepada manusia. Manusia perlu berusaha. Kaki berjalan, tangan bekerja, mata melihat, telinga mendengar, otak berfikir dan sebagainya. Allah beri pada semua orang sama ada kaya, miskin, pemerintah atau rakyat.

Maksud semua manusia berusaha ialah untuk kejayaan dan mengelak dari kegagalan. Tidak semua manusia berjaya tetapi usaha perlu betul. Kalau betul akan berjaya, kalau salah akan gagal. Apakah usaha yang betul? Iaitu sebagaimana yang Allah s.w.t telah sampaikan kepada Rasulullah s.a.w dan apa yang salah ialah manusia mengikut akal dan nafsu sendiri. Ingatlah! Manusia lemah, tidak akan dapat fikir jalan sendiri. Sesungguhnya kalau ikut petunjuk Allah manusia akan berjaya.

Manusia hanya nampak dan faham sedikit sahaja. Banyak perkara yang manusia tidak nampak, tidak tahu dan tidak faham. Malahan, natijah pada tiap-tiap perkara dan usaha sangat sedikit diketahui oleh manusia. Bila datang maut segala-galanya habis dan peluang untuk berusaha tiada lagi. Allah nampak segala-galanya. Ilmu Allah sempurna. Allah maha sempurna dalam segala aspek dan tiada had atau batasan.

Apabila manusia mengikut jalan-jalan yang diberitahu oleh para nabi, manusia akan berjaya jua akhirnya, tetapi mereka mesti korbankan kehendak dan perasaan sendiri untuk usaha di atas jalan yang diperintah oleh Allah. (Orang-orang yang tidak mengikut petunjuk para nabi akan berakhir dengan kegagalan).

Dalam pengorbanan, manusia akan beroleh kemajuan, tetapi natijahnya kita tidak nampak. Orang yang mahu mengikut jalan para nabi mesti korbankan perasaan dan nafsu mereka. Mereka akan diberkati dan dirahmati.

Orang-orang yang mengikut keinginan nafsu dan perasaan sendiri pada zahirnya mereka maju, bilangan mereka ramai dan mereka sangka sudah berjaya walhal di hujung perjalanan mereka, adalah kemurkaan Allah dan kegagalan. Ingatlah, kalau kamu mengikut kemahuan kamu dan melalui jalan yang dimurkai Allah, akhirnya kamu akan gagal dan sengsara. Tetapi semasa di dunia, walaupun kamu buat silap, Allah tidak segera tangkap dan hukum kamu secara serta-merta. Ini tanda kemurahan Allah. Kalau Allah sentiasa segera tangkap dan denda manusia, tentulah manusia tiada masa untuk berfikir dan mengubah diri.

Kita akan nampak natijah segala usaha kita apabila datangnya maut. Apabila datang maut, segala yang nyata sekarang akan ghaib dan apa yang ghaib sekarang akan jadi nyata.

Allah dan Rasul beritahu kita bahawa di dalam solat ada kejayaan.Tetapi manusia tidak nampak apa-apa yang dapat keluar daripada sembahyang. Malahan manusia meninggalkan perniagaan untuk datang sembahyang nampak rugi. Manusia yang tunggu kedai dan meninggalkan sembahyang nampak ada keuntungan. Inilah waham dan kesilapan kebanyakkan manusia di dunia ini.

Apa yang kita perlu ialah kita mesti taat segala perintah Allah. Bila Allah kata ada kejayaan tentu ada kejayaan. Allah maha berkuasa. Dengan satu perintah (kun), langit dan bumi boleh wujud dan dengan satu perintah semua boleh binasa dan lenyap. Allah boleh perintah sesuatu jadi dengan segera atau dengan lambat. Tetapi Allah perintahkan sesuatu jadi dengan lambat untuk memberi manusia peluang untuk berfikir. (Untuk menghidupkan akal fikiran manusia)   

Setiap perkara ada naik turun. Dalam perjuangan agama juga ada orang naik dan ada orang turun. Ada orang yang pada mulanya laju kemudian perlahan. Setiap orang akan mengalami begitu, tetapi jangan kita bimbang. Apa yang penting ialah kita sedar bahawa orang yang semasa perlahan dan semasa lajunya bila dia sentiasa mentaati perintah Allah s.w.t dan mengikut petunjuk Rasulullah s.a.w dia akan berjaya.

Pada mulanya baginda Rasulullah s.a.w menghadapi kesusahan dalam membuat kerja agama dan susah melihat keadaan manusia. Kita juga akan menerima bermacam-macam perkara dalam membuat kerja ini. Ada orang yang akan maki dan kritik kita. Kita perlu bersabar. Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Pertolongan Allah akan datang semasa mujahadah atau selepas mujahadah. Ada orang mahu pertolongan dengan segera tetapi Allah lebih mengetahui bilakah pertolongan ghaib itu layak diberi kepada manusia. Pertolongan ghaib adalah diluar dugaan dan kuasa manusia.

Nizam zahir (tertib alam nyata) membolehkan manusia berusaha dan berikhtiar. Misalnya jika manusia berusaha dengan betul di dalam perniagaan, ia akan maju. Tetapi nizam ghaib tidak membolehkan perkara sedemikian melainkan dengan amal (ibadat), mujahadah dan doa. Telah banyak kali pertolongan ghaib daripada Allah datang kepada manusia di dunia ini. Jika manusia tidak menghargai pertolongan Allah itu, itulah musibah yang paling besar.

Nabi Isa a.s. telah berdoa dan turun hidangan dari langit, tetapi manusia di zaman itu ada yang tidak ikut peraturan (usul) iaitu mereka sorok makanan itu (kerana kurang atau lemah iman dan tawakkal kepada Allah) menyebabkan turunnya bala bencana daripada Allah.

Jangan risau, buatlah kerja dakwah terus menerus, pertolongan Allah sentiasa bersama kita. Orang-orang Islam sentiasa tidak cukup kebendaan tetapi kerana kepatuhan kepada tertib dan usul, telah berapa banyak pertolongan Allah yang datang kepada hamba-hambaNya di dunia ini.

Di dalam peperangan Badar, Allah telah beri pertolongan tetapi setelah beberapa lama para sahabat bermujahadah memperbetul dan menyediakan diri. Orang-orang Islam yang terdahulu (awwalin) buat kerja dakwah serta mujahadah dan perbetulkan diri selama 13 tahun. Kisah nabi-nabi diberitahu melalui Al-Quran untuk menerangkan betapa pentingnya mentaati perintah Allah. Para sahabat telah mematuhinya, maka Allah telah menurunkan nusrah pertolongannya.

Dengan mujahadah, Allah tetap beri pertolongan. Apabila manusia menangis semasa di dalam mujahadah (dengan meletak pergantungan 100% kepada Allah) maka Allah beri pertolongan. Menangis di depan Allah juga akan mendatangkan kemajuan rohani. Setelah pertolongan diberi kepada rohani manusia, maka manusia akan menuju kepada kejayaan dan pertolongan luar biasa.

Orang yang keluar 4 bulan tanpa apa-apa perubahan akan merosakkan kerja Tabligh. Orang-orang yang sengaja meninggalkan program-program ijtima’i (berjemaah) adalah tidak baik.

Allah beritahu 3 perkara yang akan mendatangkan pertolongan daripadanya, iaitu :
1. Sabar
2. Takwa
3. Menangis di hadapanNya.

Ketiga-tiga perkara ini ada di dalam peperangan Badar.

Abu Jahal mengejek kerana melihat orang-oran Islam yang taat pada peringkat awal tidak mendapat pertolongan daripada Allah, tetapi Allah didik orang-orang Islam supaya yakin kepada pertolonganNya yang akan tiba melalui cerita para rasul. Allah menerangkan , “ Kalau kamu melanggar perintah Tuhan kamu, walau apa persediaan yang ada pada kamu, kamu tidak akan berjaya”.

Kehidupan dunia akan binasa tetapi kehidupan akhirat adalah kekal. Orang-orang Islam wajib yakin perkara ini kalau mahukan pertolongan Allah.

Allah telah beri hidayah kepada orang-orang yang berada di bawah naungan Firaun lalu mereka bangun mendakwah orang-orang lain secara terbuka dengan penuh yakin. Firaun naik marah dan mahu membunuh semua pengikut Nabi Musa a.s tetapi Allah telah binasakan Firaun dan segala tenteranya.

Allah tahu manusia lemah, tetapi Allah mahu manusia bermujahadah terlebih dahulu dan betul-betul menangis di depan Nya, barulah Dia beri pertolongan. Kalau Allah beri pertolongan awal-awal atau selalu segera memberikan pertolongan, tentu manusia akan rosak.

Manusia akan nampak kebenaran apabila masuk kubur. Orang yang hilang beribu ringgit kerana jaga sembahyang akan berjaya dan sembahyang akan datang menjaganya didalam kubur tetapi orang yang dapat beribu ringgit dengan cara meninggalkan sembahyang akan celaka nasibnya apabila berada dalam kubur.

Ahli neraka di bawa ke syurga dan dikatakan kepada mereka, “Kalau kamu telah mentaati perintah Allah, kamu dimasukkan ke sini”. Kemudian barulah mereka dimasukkan ke dalam neraka. Mereka rasa azab sebab melihat nikmat terlepas.

Ahli syurga pula di bawa ke neraka dan dikatakan kepada mereka, “Kalau kamu telah melanggar perintah Alah, kamu dimasukkan ke sini”. Kemudian baru dibawa ke syurga. Mereka gembira kerana selamat. Manusia tidak boleh jadi baik selagi tidak terpaut kepada akhirat.

Baki syurga yang di sediakan untuk ahli-ahli neraka di bahagi-bahagikan di antara ahli-ahli syurga dan baki neraka yang disediakan untuk ahli-ahli syurga di bahagi-bahagikan di kalangan ahli-ahli neraka.

Teori-teori dan andaian-andaian sains selalu berubah, tetapi bagi ajaran Allah dan Rasul tidak akan berlaku apa-apa perubahan.

Jangan sangka anggap orang yang langar perintah Allah akan di azab di dalam kubur dan neraka sahaja. Sebenarnya bayangan-bayangan azab ditunjukkan juga di dunia ini. Malahan bayangan-bayangan nikmat bagi orang-orang yang taat juga ditunjukkan sedikit di dunia ini.

Rasulullah s.a.w perintah supaya kita tunjukkan akhlak yang baik walau terhadap orang kafir, tetapi jangan lemah-lembut kerana takut. Di dalam kerja dakwah, kita berlembut dengan manusia ada untungnya. Terhadap orang dakwah yang langgar usul juga perlu ditunjukkan akhlak yang baik. Kemudian barulah di bawa kepada usul. (dengan hikmah).

Melanggar perintah Allah adalah lebih dahsyat daripada meruntuhkan langit dan bumi. Kita tidak patut lari daripada fitnah dan keburukan tetapi hendaklah kita mencegahnya - cegah tetapi jangan pula sampai menimbulkan fitnah.

Satukan hati diantara kamu. Berpecah-belah akan merugikan dan melemahkan kita. Bahkan juga kehebatan kerja dakwah akan keluar dari hati manusia. Bila kamu berpecah-belah, keberanian dan kehebatan kamu tidak ada lagi. Didalam keluarga juga perlu bersatu. Apabila tidak bersatu hati, manusia akan mementingkan diri sendiri dan merumitkan kehidupan orang lain.

Kalau Allah redha dengan kita, sedikit pun sudah besar ertinya bagi kita. Kalau kita buat kerja dakwah dengan bersatu hati, ia akan membawa berkat.

Tiga perkara akan membawa kepada bersatu hati iaitu :
1. Jangan sangka buruk pada orang lain.
2. Jangan cari keaiban orang lain.
3. Jangan ceritakan keaiban orang walaupun ternampak.

Kalau Allah tolong kita, kita selamat. Kalau Allah murka pada kita, kita tidak selamat. Menceritakan kelemahan dan keaiban orang lain adalah mengumpat dan memakan dagingnya. Kita mesti bertindak membetulkan keadaan tanpa menimbulkan fitnah dan sengketa. Kita mesti buat hubungan baik dengan manusia serta memberitahu perkara yang tidak betul secara diam-diam sama seorang.

Di dalam perhimpunan hendaklah di sebut kemungkaran itu secara umum supaya orang tidak tahu sama ada kemungkaran itu wujud atau tidak dan tidak tahu siapakah yang terlibat. Mencerca dan mengecam orang lain adalah ditegah oleh Al-Quran. Dari itu, jangan kita bayan dengan keras dan jangan sindir orang lain. Orang yang bayan hendaklah rasa dia ceramah untuk dirinya sendiri dan orang-orang yang mendengar hendaklah mencari kelemahan dalam diri masing-masing.

Selalulah menangis minta ampun dengan Allah s.w.t dan jangan berputus asa. Kalau ada orang datang beritahu tentang kesalahan kita, hendaklah rasakan teguran itu datang daripada Allah s.w.t.

Orang yang bercakap hendaklah fikir untuk dirinya sendiri. Kalau dia niat untuk betulkan orang lain, dia sendiri tidak dapat menafaat. Kalau dia asyik ceritakan keburukan orang lain dan anggap orang lain semuanya tidak betul, dia akan masuk neraka kerana takkabbur atau ujub.

Kalau seorang mendengar ceramah kemudian dia amalkan apa yang dia dengar, dia akan masuk syurga dan dia tanya penceramah, “Mengapa kamu masuk neraka sedangkan di dunia dulu kamulah yang telah memberi penerangan kepada kami ?”. Lalu dijawab oleh si penceramah, “Aku bercakap untuk membetulkan orang lain, bukan untuk diriku sendiri”.

Bercakap dengan ikhlas, sopan-santun, lemah-lembut, hikmah. Jangan keras dan kasar. Ikut cara Rasulullah s.a.w. Jika tidak kita akan buat dosa sahaja.

Cara Rasulullah s.a.w ialah :
1. Cakap mengenai Allah berulang-ulang kali .
2. Cakap mengenai iman.
3. Cakap mengenai akhirat.
4. Ajak manusia supaya ikut cara Rasulullah s.a.w.   

Waspada terhadap tipu daya syaitan. Syaitan akan bawa berbagai waham ke dalam hati kita, menyebabkan tauhid kita menjadi longgar dan lemah. Berbisik-bisik dan mengadakan mesyuarat-mesyuarat kecil di tengah-tengah majlis mesyuarat besar adalah sifat munafiqin. Berhati-hati.

Beberapa perkara yang boleh datang ke dalam diri manusia yang boleh merosakkan seluruh amalannya seperti nifaq, takkabbur, syirik khafi seperti riak, ujub, sum’ah dan bergantung dengan kemasyhuran (populariti) sambil-sambil mencari kepentingan dunia dan sebagainya.

Orang yang tahu tafsir Al-Quran mungkin faham mengenai orang-orang munafik, Jangan tiru perangai munafik. (Orang munafik adalah hipokrit dan bermuka dua). Mintalah perlindungan Allah daripadanya.

Para sahabat takut dengan balasan nikmat di dunia kerana bimbangkan kehilangan bahagian mereka di akhirat.

Kerjakan amalan-amalan sunnah dan bacalah doa-doa masnun. Walaupun ianya bukan wajib dan meninggalkannya tidak berdosa tetapi ia boleh menyelamatkan kita daripada tipu daya syaitan dan bida’ah. Ertinya, perkara-perkara sunnah memberi faedah yang besar dan meninggalkannya adalah merugikan.

Sunnah yang terbesar ialah dakwah. Bila kita buat kerja dakwah, amalan-amalan sunnah yang lain akan hidup. Setiap orang Islam dalam seumur hidupnya hendaklah buat kerja dakwah. Apabila kita buat kerja dakwah, syaitan menyerang dan meletakkan di depan kita berbagai halangan, tetapi syaitan takut kepada kita. Allah s.w.t akan hancurkan wakil-wakil syaitan.

Halangan-halangan itu adalah berfaedah. Melalui halangan-halangan, akan datang roh, kekuatan dan kematangan serta mutu di dalam diri dan perjuangan kita. Selepas mengadakan halangan, syaitan akan membawa berbagai waham supaya kita tidak keluar ke jalan Allah. Ingatlah, Allah tetap menunaikan janjinya.

Bagi orang-orang yang sudah istiqamah 3 hari setiap bulan, 40 hari setiap tahun, hendaklah gandakan, tingkatkan pengorbanan mereka (dengan mesyuarat).

Tingkat-tingkat pengorbanan itu ialah:             
1. Keluar 4 bulan
2. Keluar 4 bulan setiap tahun.
3. Keluar setahun atau lebih.
4. Keluar bergilir-gilir dalam satu keluarga.
5. Keluar ikut takazah

Seterusnya beri diri untuk seumur hidup murabbi.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir