mesyuarat malaysia 1992 - maulana umar (2)

19/08/1992


Kata-kata Johrnawala :
Para ambiya adalah insan yang di bangkitkan oleh Allah s.w.t. Mereka makan, minum dan berkahwin seperti kita juga. Tetapi itu bukan maksud hidup mereka. Maksud hidup mereka ialah mendakwah, menyebar serta menghidup dan menegakkan agama Allah s.w.t. Kita adalah ummat yang dibangkitkan untuk manusia pada akhir zaman ini dan maksud hidup kita ialah menyambung tugas-tugas para ambiya”.

Bayan :
Segala-gala yang berlaku di seluruh alam adalah perbuatan Allah s.w.t. Semuanya berjalan atau bergerak dan diam dengan kudrat dan iradahNya. Allah tidak berhajat kepada sesiapa dan apa-apa dan cara Allah gunakan kudratNya adalah berbagai-bagai mengikut masa, tempat dan hal.

Kita tidak nampak kudrat dan perbuatan Allah, tetapi tanda-tanda dan kesannya dapat dilihat seperti langit dan bumi, kejadian manusia, burung-burung yang terbang di udara, kapal-kapal yang berlayar di lautan, sejuk dan panas, gelap dan terang, angin yang bertiup, air yang mengalir dan lain-lain. (Ini semua kita nampak jika kita memandang dengan hakikat)

Sesiapa yang melihat perkara ini dengan basirah (mata hati) dan akal nuraninya atau dengan pandangan dalam, dia akan beroleh makrifat. Tetapi kalau manusia melihat dengan mata dan akal zahir tentu dia tidak ada apa-apa hubungan (buta) dengan Allah s.w.t dan tidak ada kemahuan untuk mencari keredhaanNya. Kalau demikian keadaan seseorang manusia tiadalah berguna walaupun dia mendapat segala-galanya di dunia ini. Akibat daripada sikap dan nilai hidup yang demikian akan di ketahui di akhirat kelak.

Bagaimanakah kita dapat berhubung dengan Allah s.w.t? Pokoknya kita perlu menyedari bahawa selepas Baginda Muhammad s.a.w, tidak ada lagi nabi yang akan dibangkitkan. Kita perlu buat kerja nabi-nabi. Ini adalah suatu amanah Allah kepada kita. Kita hendaklah hubungkan diri kita dengan Allah dan hubungkan orang lain dengan Allah. Inilah tugas ummat akhir zaman walaupun dia seorang yang berdosa sebab seorang yang berdosa pun apabila dia membuat kerja dakwah dengan betul. Insya’allah , lama-lama dia akan menjadi baik.

Kita dapat melihat tanda-tanda kudrat Allah dengan mata dan dapat mendengarnya dengan telinga kita. Allah s.w.t menerangkan juga perkara ini melalui Al-Quran kepada kita. Banyak kejadian Allah yang kita tidak dapat lihat seperti pengaliran elektrik, kuasa magnet, malaikat, syaitan, jin, roh, rahmat, bala, akal dan lain-lain.

Allah s.w.t bertindak membinasakan harta riba dan memberkati harta sedekah. Melalui sedekah, Allah s.w.t tambah harta kita. Ini sudah pun diterangkan kepada kita tetapi kita nampak Allah s.w.t mengenakan bebanan ke atas orang-orang mukmin. Kita hanya nampak longgokkan wang-wang kertas, emas dan perak yang didapati oleh orang-orang yang dimurkai dan disesatkan oleh Allah s.w.t.

Apa yang patut kita dengar (dan menerimanya tanpa sebarang tapisan) ialah Al-Quran dan Hadith. Apa yang di beritahu oleh Baginda s.a.w semuanya daripada Allah s.w.t, bukannya daripada fikiran dan nafsunya sendiri. Kita hendaklah mendengar Al-Quran dan Hadith dengan ta’azim dan tasdiq. (membesarkan dan membenarkan)

Hati kita juga dihidupkan melalui nur ta’alim. Melalui ta’alim kita dengar fadhilat amal yang menimbulkan keghairahan untuk beramal. Malahan di dalam Al-Quran dan Hadith ada khabar tentang akhirat serta kelebihan-kelebihan syurga dan neraka. Allah s.w.t perintahkan kita sembahyang dan caranya Rasulullah telah beritahu kita. (“Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang”). Baginda s.a.w mengajar kita dengan cara yang mudah. Kalau Baginda s.a.w mengatakan, “Sembahyang sebagaimana aku sembahyang” tentulah susah kerana ia melibatkan muraqabah dan tadabbur yang dalam, seni dan makam rohaniah yang tinggi. Baginda s.a.w sembahyang di hadratillah. Tiada seorang pun di dunia ini yang dapat mencapai sembahyang seperti Rasulullah s.a.w.

Ada berbagai riwayat mengenai zahir sembahyang Rasulullah s.a.w. Walaupun riwayat-riwayat itu berlawanan tetapi ada hadith-hadithnya. Hal ini bukan untuk kita bergaduh. Ada masanya Rasulullah s.a.w buat satu-satu perkara dengan satu cara dan ada masa dengan cara lain pula.

Imam Bukhari rah. telah mengumpulkan hadith-hadith dengan bersusah payah. Ramai orang-orang Bukhara serupa bentuk wajahnya dengan orang-orang ChinaVietnam, Kemboja, Jepun, FilipinaIndonesia dan Malaysia. Saya nampak wajah Imam Bukhari pada wajah-wajah mereka ini.

Allah s.w.t berfirman yang maksudnya: “Dan sekiranya kamu berpaling (abai), nescaya Dia (Allah) akan menggantikan kamu dengan kaum (bangsa) yang lain (untuk membangunkan agamaNya) dan mereka tidak akan seperti kamu dan sikap mereka tidak akan seperti kamu.”   (Surah Muhammad : ayat 35)           

Allah s.w.t telah memberi amaran ini kepada para sahabat r.a dan sekelian ummat akhir zaman. (Disebabkan kecuaian ummat Arab di dalam tugas dakwah. Allah gantikan dengan orang-orang Turkistan - ibu negaranya Bukhara. Allah binasakan orang-orang Abbasiah dan gantikan dengan orang-orang Tartar dan Moghul). Kehidupan para sahabat tidak memalingkan diri mereka daripada apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Sesiapa yang memalingkan muka kepada para sahabat akan bersatu. Sesiapa yang tidak berpandu kepada para sahabat akan berpecah-belah.

Kalau tidak merujuk kepada hadith-hadith, bagaimana kita boleh faham Al-Quran? Ummat Muhammadur Rasulullah jangan menolak hadith. Ada orang berkata, kita perlu dapat kuasa pemerintahan terlebih dahulu, baru boleh hidupkan agama. Kita jangan jawab. Diri kita sendiri mesti berpandu kepada Al-Quran dan Hadith. Kita mesti yakin bahawa agama hidup dengan hikmah (dakwah) dan hidayah, dengan menjaga solat, zikrullah, tilawah dan sebagainya. Kita perlu ada akhlak.

Kita mesti buang penyakit assobiyah. Jangan kata: “Mereka bukan keluarga saya atau bukan bangsa saya dan saya tidak perlu ikut (seruan) mereka”. Kita mesti ikram (hormat, muliakan) semua orang Islam. Jaga lidah. Jangan cakap: “Orang itu akan masuk neraka jahannam kerana tidak ikut jemaah tabligh”. Jaga fikir dan sangkaan kita. Jangan kata: “Orang-orang itu (yang buat usaha-usaha lain) akan menukar fikiran karkun-karkun kita dan akan menggunakan karkun-karkun kita untuk membuat kerja mereka atau mengira bahawa mereka akan melawan kita.”

Sebenarnya perkara seperti itu berlaku kerana kelemahan kita. Kita cuai dan tidak pandai pelihara karkun-karkun kita dengan betul. Jangan beri jalan orang halang kerja (dakwah) ini. Jangan berselisih dan bergaduh.

Bila manusia ada cinta dunia dan tiada fikir akhirat, mereka akan menjadi lemah dan buat kerja agama pun untuk tujuan dunia serta mereka akan cari publisiti melalui kerja (dakwah) ini.

Dari itu mula-mula hendaklah kita bentuk fikir agama dan tukar pandangan:
1. Daripada memandang ke arah dunia kepada akhirat
2. Daripada kebendaan kepada amal
3. Daripada makhluk kepada khaliq.

Malah setiap orang perlu diberi inzar (amaran) supaya membuat persediaan menghadapi maut, mesti menghargai masa muda sebelum tua.

Di dalam Al-Quran, Allah berjanji akan berikan bumi seluruhnya (secara anugerah dan redha) kepada kita sekiranya kita beriman dan beramal soleh.

Maksud ayat Quran: “Sesungguhnya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang soleh.”
(Surah Al-Anbiya : ayat 105)

Berhubung dengan ini, ada dua perkara yang perlu di perhatikan : 
1. Apa yang perlu kita buat
2. Apa yang Allah akan buat untuk kita.

Apabila kita buat apa yang diperintah oleh Allah, Dia akan tunai janji-janjiNya kepada kita. Misalnya, apabila kita bertaqwa. Dia akan beri kita rezeki.

Maksud ayat Quran: “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada di sangka-sangkanya.”
(Surah Ath Thalaaq : ayat 5 & 6)
  
Jika kita wujudkan masyarakat mukmin yang soleh. Allah s.w.t akan kurniakan kuasa pemerintahan kepada kita sebagaimana Dia telah mengurniakan kuasa pemerintahan kepada orang-orang terdahulu. Seterusnya Dia akan wujudkan keutuhan Islam dan suasana aman. 

FirmanNya : 
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh diantara kamu, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadi mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa dan Dia sungguh-sungguh akan menegakkan bagi mereka agama yang di redhaiNya untuk mereka dan Dia sungguh-sungguh akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka berada di dalam ketakutan menjadi aman.” (Surah An Nuur : ayat 35)

Ada perkara yang Allah s.w.t suka dan ada perkara yang kita suka. Allah suka iman, sabar, tawakkal, syukur, amanah, solat, fikir akhirat, zikir, ikut sunnah di dalam segala perkara, sedekah (belanja kepada orang lain untuk mendapat keredhaan Allah). Inilah perkara-perkara yang mesti kita buat. Apa yang kita suka ialah harta, pangkat, darjat, kekuasaan, kemasyhuran dan sebagainya. Kalau kita usaha ke atas perkara-perkara yang Allah suka. Allah akan beri kepada kita apa yang kita suka.

Bila manusia berpaling daripada perintah Allah s.w.t dan sunnah Nabi s.a.w, di seluruh dunia manusia jadi huru-hara. Orang-orang duniawi berbuat apa-apa asalkan dapat dunia dan mereka tidak tetap pendirian kerana ingin menjaga kepentingan dunia mereka bahkan boleh sampai kepada peringkat menjual kebenaran dan tukar agama. 

Firman Allah : 
“Mereka di dalam keadaan ragu-ragu di antara yang demikian (iman atau kufur): tidak masuk kedalam golongan itu (orang-orang mukmin) dan tidak (pula) kepada golongan itu (orang-orang kafir). Barangsiapa yang disesatkan Allah, maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan (untuk memberi petunjuk) ....” (Surah An Nisaa’ : ayat 145)

Inilah kedudukan orang-orang hipokrit. Cara ikram muslimin (memuliakan orang-orang Islam) ialah dengan tidak melihat warna kulit dan rupa bangsa.

Nabi Yusuf a.s dibuang ke dalam perigi dan di penjara tetapi beliau sabar. Beliau tetap menjalankan tugas dakwah. Akhirnya beliau mendapat pertolongan Allah s.w.t. Beliau di keluarkan daripada penjara dan seluruh khazanah di kurniakan kepadanya.

Orang-orang memakai Al-Quran dan Hadith dengan cermin mata ikhlas akan berkata kepada dirinya sendiri, “Apakah kewajipan saya terhadap orang lain ?” Bukannya, “Apakah kewajipan orang lain terhadap saya ?”        

Orang-orang yang ikhlas berkata, “Saya orang lama. Hak ke atas saya ialah ikram (memuliakan) dia, bukannya dia ikram saya.”  Di dalam hal ini, kita perlu bantu dan hormati cadangan orang lain. Jangan kata, “Dia tidak rujuk kepada saya”.

Hadrat Ali r.a telah berpesan kepada jemaah-jemaah yang keluar supaya selalu berjumpa dan berbincang di antara satu sama lain, nescaya perkara yang samar-samar akan menjadi jelas. Banyak perkara yang boleh diselesaikan dengan cara ini. Ingat! Syaitan tidak membenarkan kita melaksanakan perkara ini tetapi jika kita ikut sunnah Nabi s.a.w, kita dapat selamat daripada syaitan. Apabila kita lantik seseorang melalui mesyuarat, Allah s.w.t akan melantik malaikat untuk membantu perbetulkan orang itu.

Kita hendaklah menggunakan 3 perkara : 
1. Mata - untuk melihat tanda-tanda kudrat dan perbuatan Allah s.w.t, guna pandangan dalam, muraqabah melalui makhluk.
2. Telinga - mendengar wahyu dan kalam nabuwwah dengan tawajjuh, tadabbur, ta’azim dan tasdiq.
3. Hati tafakkur berfikir secara nuraniah, muraqabah dengan roh dan berdamping dengan Allah s.w.t (merasakan diri berada di dalam majlis Allah s.w.t, berdepan dengan kebesaranNya).

Nur iman akan datang dengan 3 peranan ini dan inilah jalan ma’rifat. Tiga perkara inilah yang akan disoal pada hari akhirat sebagaimana yang telah di tempelak oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam, kebanyakkannya daripada jin dan manusia. Mereka dikurniakan hati tetapi mereka tidak mempergunakannya untuk memahami dan mereka di kurniakan mata tetapi mereka tidak mempergunakannya untuk melihat dan mereka dikurniakan telinga tetapi mereka tidak mempergunakannya untuk mendengar. Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”  (Surah Al A’raah : ayat 179)

Pandanglah dengan mata basirah , dengarlah dengan telinga batin dan berfikirlah dengan akal dan nurani.

Maksud ada mata tidak melihat ialah tidak melihat dengan mata basirah (mata hati, mata dalam). Maksud ada telinga tidak mendengar ialah tidak mendengar dengan telinga batin.

Kalau fikir dengan akal zahir, kita akan mengira kalau ada harta dan kuasa kita boleh berjaya. Mata zahir melihat orang-orang kaya dan berpangkat adalah orang-orang yang berjaya. Walhal perkara itulah yang akan mempercepatkan mereka ke neraka. Kalau berharta dan berkuasa dengan melanggar perintah Allah, perkara-perkara itu tidak menjamin rahmat dan keberkatan. Tanpa rahmat kita tidak  selamat. Iman dan amal sahaja yang menjamin rahmat Allah s.w.t.

Kita akan bercakap mengikut apa yang kita lihat. Kalau kita melihat dengan cara yang salah, maka pandangan kita tidak betul dan menipu diri kita sendiri serta kita akan bercakap salah hingga menipu dan merosakkan orang lain pula. (Hidayah sahaja yang membetulkan pandangan dan pemikiran manusia)

Sebaliknya jika lidah bercakap dengan kalam Allah dan kalam Rasul, kita akan mendapat kekuatan. Kekuatan iman dan amal - ialah kekuatan Allah s.w.t. Kekuatan Allah mengatasi kekuatan-kekuatan yang lain. Makhluk adalah majaz (batil, palsu). Bila datang kekuatan Allah semua binasa dan lenyap.

Maksud ayat Quran:
“Dan katakanlah, ‘Telah datang kebenaran dan telah lenyap kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu pasti lenyap’’ (Surah Al Israa’ : ayat 8)

Kita membuat sesuatu di dalam suasana terang benderang tetapi Allah berkuasa menjadikan kita di dalam perut ibu kita, iaitu di dalam tempat yang gelap gelita, sempit lagi rumit. Kalau demikian, tidaklah menjadi pelik bagi Allah untuk membangkitkan kita daripada kubur walaupun kita sudah hancur lebur.

Manusia lemah - kaki nyamuk pun manusia tak mampu buat. Tetapi manusia boleh menjadi kuat dengan menghubungkan diri dengan Allah yang maha kuasa. Dengan cara demikian, kita akan memperolehi kekuatan rohani. Kekuatan rohani tidak dapat di atasi oleh apa-apa kekuatan pun di dunia ini.

Di alam arwah dan di dalam khazanah Allah, banyak makhluk berada di dalam barisan menunggu giliran untuk datang ke dunia. Manusia-manusia yang berada di dunia ini pun sudah melalui beberapa zaman seperti zaman alam arwah dan alam rahim. Dunia ini sendiri sudah mengalami berbagai zaman.

Manusia semuanya menuju ke kubur dan selepas berkumpul di alam barzakh, Allah beritahu bahawa manusia akan dibangkitkan kembali untuk melalui beberapa zaman lagi menuju pembalasan (syurga dan neraka).

Sayyidina Umar r.a takut untuk menerima jawatan khalifah kerana katanya tiap-tiap pemimpin negara akan diberkas kaki-kaki dan tangan-tangan mereka untuk disoal. Orang-orang yang faham tidak akan berebut untuk memdapatkan perkara ini. (Tetapi orang yang layak selalu dikejar oleh jawatan dan pangkat, bukan dia yang mengejar dan merebut perkara itu daripada tangan orang lain).

Orang-orang tua memang tidak dapat buat kerja. Jangan risau tentang mereka. Orang-orang muda memang mempunyai kekuatan dan tenaga untuk berjuang tetapi orang-orang tua ada kekuatan ra’i dan ra’yi (kepimpinan dan pandangan). Pengalaman mereka iaitu kematangan perjuangan dan perjalanan rohaniah adalah berguna. Oleh itu, kalau orang muda membuat kerja tanpa berpandu kepada orang tua, mereka akan terpesong dan tidak sampai ke matlamat.

Memperjuangkan perkara yang selain daripada Islam bererti menuju ke arah yang salah. Menyeleweng daripada sunnah Nabi s.a.w serta tunjuk ajar Baginda, bererti melalui jalan yang salah. Jika kita menuju ke arah yang salah atau melalui jalan yang salah, walau selaju mana sekalipun perjalanan kita, namun kita tidak akan sampai ke tempat yang di tuju. Tetapi kalau kita menuju ke arah yang betul, walaupun perlahan akhirnya kita akan sampai juga atau kalau kita mati di dalam perjalanan, kita di tulis sebagai orang yang sampai atau sekurang-kurangnya mati di dalam kebaikan.

Orang tua mesti tutup kesalahan orang muda. Hendaklah jaga lidah. Sesiapa yang menjaga lidahnya, Allah s.w.t akan beri kerohanian yang tinggi.    

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir