Tongi 2001 - bayan maghrib maulana saad
08/01/2001
Tuan-tuan yang mulia,
Salah faham yang terbesar dikalangan umat manusia hari ini ialah memahami untuk menyelesaikan masalah dunia mereka melalui usaha atas asbab zahir. Begitu juga untuk menyelesaikan masalah mereka yang datang juga dibuat melalui usaha atas asbab yang ada dipersekitaran mereka. Usaha ini adalah sia-sia belaka kata Maulana, asbab yang diusahakan itu akan membawa manusia makin jauh dari Allah swt. Ehwal (aulat) asbab yang wujud adalah untuk ujian kepada manusia. Oleh itu kita hari ini perlu membuat keputusan untuk membawa diri kita dan seluruh umat kepada keadaan dan suasana dimana penyelesaian masalah kita dan umat perlu dibuat melalui amal. Dakwah Nabi tidak diutuskan dengan asbab-asbab zahir tetapi dakwah nabi-nabi bagaimana hendak membawa yakin dikalangan umatnya. Penyelesaian masalah manusia melalui amal dimana kita dapat menarik bantuan Allah swt terus dari zat dan kudratNya.
Tuan-tuan yang mulia,
Dakwah nabi-nabi dan rasul-rasul adalah dakwah iman dan amal. Dalam Al-Quran contoh-contoh dakwah nabi-nabi telah dihuraikan oleh Allah swt. Kudrat Allah swt tiada berkaitan dengan asbab zahir. Kesemua asbab adalah makhluk. Allah swt tidak melahirkan kudrat melalui asbab, tetapi asbab diwujudkan oleh kudrat Allah swt. Dalam kehidupan ini terdapat dua jalan iaitu jalan asbab dan jalan amal yang dapat menarik bantuan terus dari kudrat Allah swt. Asas dakwah nabi-nabi ialah Laillahaillallah. Lailla, menafikan semua asbab yang nampak memberi menafaat dan mudarat, tidak berkuasa apa apa kecuali illallah. Yang menjadikan segala-galanya ialah Allah. Asas kejayaan ialah iman dan amal soleh. Inilah dakwah semua nabi-nabi. Amalan ini mengikut Maulana telah terkeluar dari kehidupan umat hari ini. Manusia rata-rata telah membuat usaha hanya melalui asbab. Petani menyatakan perlu berusaha bersungguh-sungguh melalui pertanian. Pekedai menyatakan perlu berusaha bersungguh melalui kedainya sehingga mengetepikan hukum Allah swt dalam pertaniannya, perniagaan dan sebagainya. Sesungguhnya Allah swt tidak sedikit pun mengaitkan kejayaan melalui usaha atas asbab tetapi kejayaan disisi Allah swt melalui membawa hukum Allah swt cara Baginda Rasulullah saw.
Tuan-tuan yang mulia,
Dalam fikiran kita hari ini, apabila kita memperolehi asbab kita akan suka kerana ia mendatangkan ketenangan dan keselesaan tetapi semua asbab yang ada diantara langit dan bumi diwujudkan oleh Allah swt dan ia adalah ujian sahaja kepada kita. Untuk ketenangan dan keselesaan sebenarnya ialah dengan mematuhi perintah swt. Hari ini manusia yakin dengan adanya asbab akan zahirkan kudrat Allah swt. Sebenarnya dengan membawa perintah Allah swt barulah akan dizahirkan kudrat Allah swt walaupun keadaan yang ada bertentangan dengan asbab yang ada. Kudrat Allah bukan datang kepada nabi sahaja tetapi kepada sahabat dan umat manusia hingga hari kiamat. Allah swt sesungguhnya adalah penyeru negeri yang sejahtera (Darulsalam). Allah memperkenalkan dirinya, ‘Akulah Allah dan sembahlah Aku melalui sembahyang’. Allah swt tarbiyah nabi-nabi melalui menjauhkan asbab daripada mereka. Begitu juga umat ini jika hendak mendapat redha Allah swt dalam menjalani kehidupannya perlu bertumpu kepada Allah swt dalam setiap masa dan keadaan dan jangan menuju terus kepada asbab. Perintah Allah swt kepada nabi supaya mengalihkan yakin dari asbab kepada kudrat Allah swt. Nabi Ibrahim a.s. tidak mengalihkan dirinya kepada asbab walaupun dalam keadaan kesusahan datang kepadanya dimana beliau hendak dibakar oleh Namrud dalam unggun api yang besar. Nabi Ibrahim a.s. memalingkan diri dari asbab, katanya, ‘Cukuplah bagiku Allah’.
Perintah Allah swt kepada nabi-nabi ialah bagaimana usaha mereka menghubungkan umatnya kepada Allah swt. Semua perintah Allah swt adalah bagaimana hambaNya untuk menghampirkan diri dan mengingati Allah swt. Nabi Musa a.s apabila nampak api di Bukit Tursina maka ia terfikir untuk mengambil api bagi memanaskan isterinya dari kesejukan. Allah swt telah tarbiyah Nabi Musa a.s apabila ia makin hampir kepada api yang dia nampak, maka api itu makin menjauh. Semua itu untuk menjadi tarbiyah kepada Nabi Musa supaya dia tidak menuju kepada asbab dalam penyelesaian hajatnya (ehwal atau aulat). Sebenarnya api makin menjauh apabila dia makin dekat pada api kerana Allah swt yang mengwujudkan. Begitu juga hari ini, jika kita membawa hukum Allah swt beberapa kesusahan dan rintangan (aulat) wujud. Semuanya diwujudkan oleh Allah supaya tumpuan kita terus pada Allah swt dan bukan pada asbab. Melalui amal, kita akan dapat mengambil terus dari khazanah Allah swt .
Tuntutan iman ialah menyakini khabar yang dibawa oleh Rasulullah saw kerana semua sabdaan Rasullullah itu datang dari Allah swt. Syarat pertama untuk penerimaan amal perlu ada iman. Sahabat belajar iman dahulu sebelum belajar Al-Quran. Iman akan menwujudkan taqwa dan menjauhkan diri dari perkara yang haram. Dengan melakukan dakwah, iman akan datang. Dengan iman, wujud amal dan dengan amal akan dapat redha Allah swt, dengan redha Allah swt maka kehidupan kita dan umat akan berjaya di dunia dan akhirat . Rasullullah saw suatu ketika tanya Sahabat Haritah, “Bagaimana pagi ini ehwal iman kamu?”, beliau mengatakan, “Saya berpagi-pagi dengan iman”. “Apa buktinya”, tanya Rasullullah saw. “Saya berpagi-pagi membayangkan sedang melintas titian sirat, diatas saya Arash Allah swt, di kanan kiri saya api neraka dan di depan saya syurga”. Seterusnya Rasullullah saw bersabda, “Benar, beristikamahlah kamu dengan keadaan kamu sedemikian”.
Islam datang dengan iman. Apabila iman lemah, manusia sanggup melakukan dosa dan maksiat. Tanda iman kuat apabila melanggar perintah Allah swt, dia akan resah gelisah. Apabila melaksanakan perintah Allah swt, dia bergembira. Apabila usaha dakwah tidak dibuat, iman lemah dan tumpuan usaha manusia akan hanya pada asbab. Sahabat telah diajar oleh nabi untuk membina iman. Apabila adanya dakwah iman, Islam wujud dengan sempurna, ibadat mempunyai roh, muamalat terbentuk cara Islam dan seterusnya muasyarah cara Islam akan terwujud. Dengan iman perintah Allah swt dapat disempurnakan. Iman ialah keislahan kalimah Laillahaillallah. Dengan dakwahlah wujud suasana Islam di Madinah. Mengikut Maullana, Islam bukan untuk sesuatu umat sahaja, ia bukan hanya sekadar menyempurnakan amalan fardhu tetapi tertibnya amat luas. Islam ialah menyerah keseluruhan hidup kita mematuhi perintah Allah swt. Dalam masa 24 jam amalan kita perlu mengikut perintah Allah swt. Islam ialah meliputi imaniat, ibadat, muamalat, muasyarat dan akhlak.
Hari ini umat tidak mengamalkan Islam sepenuhnya kerana meletakkan agama dalam beberapa juzuk sahaja. Contoh kehidupan orang beriman ialah Sahabat. Nabi bersabda, “berimanlah kamu seperti mana sahabat beriman”. Sahabat adalah contoh terbaik orang yang beriman. Hari ini orang Islam ada beramal tetapi azab Allah swt masih datang kepada mereka. Azab Allah swt datang kerana orang Islam sebenarnya tidak mengamalkan agama 100%. Di zaman Nabi, orang tidak dibenarkan berniaga di Madinah tanpa mengetahui hukum perniagaan, qadi tidak dibenarkan menjadi qadi jika tidak mengetahui hukum syariat Islam. Pemerintah tidak dibenarkan memerintah tanpa mengetahui selok belok pemerintahan. Sahabat, dalam setiap bidang hidup telah mengamalkan agama yang menyeluruh. Oleh itu kehidupan mereka sentiasa mendapat bantuan Allah swt. Dengan usaha atas iman akan mengwujudkan kekuatan mematuhi perintah Allah swt seperti tuntutan ibadat, muamalat, muasyarah dan akhlak. Apabila iman lemah orang akan menuju pada asbab dan meninggalkan perintah Allah swt. Orang yang lemah iman, apabila datang kebatilan, dia akan tinggalkan haq dan mengikut jalan atas kebatilan. Orang itu tidak dapat melawan batil. Orang itu terus bergelumang dengan asbab zahir, apabila berniaga mengambil riba’, memberati timbangan. Agama ialah membawa perintah Allah swt dari hujung rambut ke hujung kaki. Ilmu hanya petunjuk jalan tetapi untuk kekuatan beramal perlu ada kekuatan iman. Oleh itu pertama-tama yang perlu dipelajari ialah usaha atas iman. Di Madinah sebelum datang perintah hukum purdah, mereka telah membuat usaha atas Islam selama 13 tahun. Apabila perintah datang, maka amal hidup. Hari ini umat telah tinggalkan usaha atas iman, sedangkan Allah swt berfirman, “Wahai orang yang beriman, berimanlah kamu kepada Allah”.
Dakwah iman ialah kepada orang Islam, supaya yakinnya terbentuk kepada Allah swt. Dakwah Islam kepada orang kafir seperti dakwah Nabi saw kepada Abu Sufian. Hari ini umat bukannya tidak ada mengamalkan agama, tetapi usaha atas iman telah ditinggalkan. Apabila dakwah telah ditinggalkan, maka manusia menuju kepada asbab.
Tuan-tuan yang mulia,
Umat perlu membuat usaha dakwah dan bergerak ke seluruh alam untuk membina iman yakin atas dirinya dan umat seluruh alam. Nabi saw telah jadikan umatnya sebagai mualim dan tahareq. Apabila umat tidak bergerak membuat usaha dakwah iman mereka lemah, kekufuran meningkat, keyakinan dengan amal dalam menyelesaikan masaalah hilang dan sifat-sifat buruk wujud, mereka tidak dapat membina akhlak mulia. Dengan dakwah, yakin akan wujud. Umat ini dijadikan untuk bergerak dan menjadi mualim. Dengan cara ini agama akan tersebar keseluruh alam.
Tuan-tuan yang mulia,
Umat ini telah diberi tanggungjawab yang besar. Kamu adalah sebaik-baik umat, dikeluarkan untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tanggungjawab dakwah tidak diletakkan pada diri seseorang sahaja tetapi dakwah adalah tanggungjawb ijtima’i. Orang yang membuat usaha dakwah iman yakinnya terbentuk dan amalnya menjadi soleh. Nabi saw apabila menerima kerja Nabuwwat, terus sediakan sahabatnya membuat kerja sepertimana Bginda menyediakan Saidina Abu Bakar. Contohnya orang yang beriman dengan Allah swt dan Rasullullah saw ia bertawasul dengan amal muamalat, muasyarat dan akhlak apabila menghadapi masaalah maka bantuan Allah swt telah datang pada mereka. Mereka inilah 3 saudara umat nabi Musa a.s yang terperangkap dalam gua. Untuk melepaskan dan membuka pintu gua seorang berdoa pada Allah, “Ya Allah, aku ada seorang hamba yang menjadi pemelihara kambing, satu ketika ia telah meninggalkan pemeliharaan kambing aku tanpa mengambil upah, kambing yang sepatutnya aku jadikan upah kepada orang itu terus aku biakkan. Satu ketika dia datang untuk mengambil upahnya. Aku katakan semua kambing-kambing itu kambingnya. Jika amal itu diterima ya Allah, bukalah pintu gua ini”, maka pintu gua itu terbuka sedikit. Seorang sahabat yang satu lagi berdoa pada Allah swt, “Ya Allah , aku mempunyai sepupu perempuan yang cantik dan aku berminat dengannya. Satu ketika sepupu aku itu ditimpa kesusahan dan dia berhajat untuk meminjam wang dari aku. Aku berkata aku boleh memberikannya wang dengan syarat ia rela melakukan maksiat dengan aku. Dalam keadaan yang mendesak dan tidak ada jalan lain baginya, dia merelakan untuk melakukan maksiat itu. Apabila aku bersamanya dan sedang hendak melakukan maksiat itu, dia berkata takutlah bagimu Allah. Mendengar keadaan itu aku tidak jadi melakukan maksiat itu. Ya Allah, jika amal itu aku lakukan semata mata keranaMu bukakanlah pintu gua ini, maka pintu gua itu terbuka sedikit. Seorang Sahabat yang satu lagi berdoa, Ya Allah, aku mempunyai dua orang ibu bapa yang telah tua. Telah menjadi amalan aku sebaik sahaja aku pulang dari kerja aku akan memerah susu kambing, dan aku akan memberi minum kedua ibu bapaku terlebih dahulu sebelum aku memberi minum anak anak aku. Satu petang, sekembalinya aku dari kerja setelah memerah susu kambing, aku dapati kedua ibu bapa ku sedang nyenyak tidur. Aku menunggu disisinya sehingga ke pagi dan anak anak aku menangis kelaparan meminta minum susu dan aku tidak memberinya, Ya Allah, jika amalan ku itu Engkau terima, bukalah pintu gua ini, maka pintu gua itu pun terbuka .
Umat hari ini sesungguhnya tidak boleh mengeluarkan musibah kecuali melalui membuat usaha dakwah. Sahabat yakin apabila dia tinggalkan amal agama, dia akan mendapat kehinaan. Umat yang tinggalkan usaha dakwah, maka kehidupan sunnah akan keluar dari dalam kehidupan mereka. Setiap sunnah ada cahaya (nur) walaupun sunnah masuk ke dalam tandas, jika seseorang itu masuk dalam tandas itu mengadap kiblat dan dia ubah kedudukannya tidak mengadap kiblat maka Allah swt akan ampun semua dosanya. Melalui dakwah, agama datang menyeluruh tetapi orang yang meninggalkan usaha dakwah, akan mengalami beberapa keburukan seperti berikut.
1) Kemurtadan Muasyarah - iaitu merasakan cara hidup agama lain lebih baik dari kehidupan Islam
2) Kemurtadan pemikiran – iaitu malu mengamalkan amal amal Islam saperti malu berpakaian mengikut syariat Islam, nikah kahwin cara Islam dan meringan-ringankan amal Islam.
3) Kemurtadan iman – iaitu menginkari kefardhuan.
Tuan-tuan yang mulia,
Bagaimana umat hari ini boleh dibawa keluar dari belenggu kehinaan?. Mengikut Maulana tiada cara lain melainkan umat ini perlu dibawa menjalankan kerja dakwah sebagai maksud hidup mereka. Orang Islam yang kaya sebenarnya bukan ukuran kejayaan baginya. Sahabat telah mendapat kejayaan yang menyeluruh. Rahmat dan bantuan Allah swt telah datang kapada Sahabat secara menyeluruh. Hari ini semua umat dalam kerugian samaada dia orang tua, muda, lelaki atau perempuan, jika dia tidak membuat kerja/usaha atas beberapa perkara seperti berikut :
1. Iman
2. Amal
3. Berpesan-pesan yang haq
4. Sabar
Empat perkara ini apabila dlaksanakan oleh umat ini, dia akan mendapat bantuan Allah swt. Iman terbentuk apabila umat menjalankan kerja dakwah. Jika tidak, dia dalam kerugian. Umat hari ini salah faham, dia telah hilang rasa tanggungjawab untuk membuat kerja dakwah dan mereka telah beramal untuk dirinya sendiri. Apabila amal dakwah dibuat maka rasa tanggungjawab untuk hidupkan amal agama akan wujud dikalangan umat. Sejarah Nabi, apabila nabi wafat, dakwah tidak ada, akidah kaumnya akan rosak. Dakwah kepada orang Islam ialah dakwah iman. Orang Islam yang menyeru kepada orang Islam, imannya meningkat. Sebanyak mana seorang dakwah iman kepada orang yang beriman, imannya meningkat. Abdullah bin Rawahab r.a. telah dakwah iman sesama mereka. Dengan itu iman mereka sentiasa meningkat dan mereka telah dapat mengamalkan agama yang sempurna.
Apakah tanggungjawab umat ini? Nabi telah jadikan semua umatnya menjadi pendakwah. Untuk melaksanakan tugas dakwah tidak semestinya seorang itu beramal dahulu sebelum dia boleh membuat usaha dakwah. Menjadi kewajipan seseorang itu bangun membuat usaha dakwah walaupun ia tidak amal apa yang didakwahkan. Seorang yang tidak puasa tidak semestinya dia boleh meninggalkan amal agama yang lain. Seorang yang tidak sembahyang, tidak terlepas untuk menyeru orang kepada sembahyang. Kita perlu wujudkan kesedaran akan tanggungjawab dakwah atas diri kita dan seluruh umat. Apabila tanggungjawab ini wujud, kebatilan akan hancur, kekufuran akan terhapus. Hari ini kita perlu gunakan kemampuan kita untuk membuat usaha agama untuk faedah seluruh alam. Tanggungjawab menjadi pemerintah, pekilang dan pedagang adalah usaha yang kecil. Untuk itu kita perlu bangun dan bergerak membawa usaha agama ke seluruh alam.
Comments
Post a Comment