mesyuarat malaysia 1999 - bayan asar maulana mustaqim

nizamuddin - 05/09/99

Bila kita dapat usaha atas sembahyang kita dan masa kita sujud kita rasa kita berada di depan Allah s.w.t, maka Allah s.w.t akan ampunkan kita. Satu orang yang begitu marah dengan kita, kita pergi pegang kaki dia, minta maaf dengan dia, walau macam mana marah sekalipun, pasti dia akan maafkan kita. Kita pergi ke masjid, rumah Allah s.w.t, sujud pada Allah s.w.t, pasti Allah s.w.t akan ampunkan kita. Kerosakan yang berlaku dalam keluarga, biasanya kerana anak-anak. Anak jadi bala, banyaknya harta pun jadi bala kerana kita tidak berada di atas jalan yang mana boleh membawa keampunan kepada kita. Untuk mendapat keampunan Allah s.w.t, kita kena ikut deen (agama), bukan dunia iaitu jalan ‘muhammadurrasulullah’, bukan jalan yang lain.

Di zaman ini, kalau orang pilih agama Musa a.s., ikut betul-betul Musa a.s. pun dia akan gagal, kalau dia ikut betul-betul agama Isa a.s. pun dia kan gagal. Sudah diiklankan sehingga ke hari qiamat, tidak akan berjaya orang yang ikut agama selain daripada agama Muhammad s.a.w. Allah s.w.t berfirman, “Aku telah redha agama Islam sebagai agama kamu”. Rasulullah s.a.w telah dikorbankan, sahabat-sahabat telah korbankan nyawa mereka. Pada masa haji Widak, hari wukuf, ayat tadi telah turun, agama telah disempurnakan, agama telah diwujudkan dan keredhaan telah disertakan dengan agama ini. Allah s.w.t akan redha dengan orang yang ikut agama Muhammad s.a.w dan jadi umat Baginda s.a.w. Masalah seluruh dunia akan selesai denga kita jadi umat Baginda s.a.w.

Apakah yang dikatakan umat? Dengan apakah umat akan wujud? Apabila orang beriman bergerak/berhijrah untuk agama, dan nusrah untuk agama, maka barulah umat dapat dibentuk. Perasaan umat adalah, “apa sahaja yang ada pada saya, harta, diri, tenaga saya, ada hak untuk ditunaikan pada seluruh orang Islam yang lain”. Ini perasaan yang patut ada pada seluruh umat. Ada satu orang yang beriman, cari pendapatan yang halal dan belanjakan untuk anak-anak dia sahaja, dia belum jadi seorang manusia pun, apatah lagi untuk dikatakan mukmin! Dia mempunyai perasaa kehaiwanan.

Burung merpati yang terbang, bawa makanan dimulutnya, untuk siapa? Untuk anak dia, dia tidak bagi makan pada anak burung merpati yang lain. Kalau kamu pun usaha cari pendapatan yang halal dan bagi makan anak kamu sahaja, maka kamu sama dengan merpati sahaja tetapi kita mendakwa kita sudah jadi orang Islam yang sempurna. Kita belum keluar daripada sifat kehaiwanan lagi. 2 pasang merpati, sarang dekat-dekat, anak di sarang satu lagi hampir mati, yang sebelah pergi cari makan, dan bagi makan pada anak dia sahaja, jenis sama, merpati juga. Kita mendakwa menjadi orang beragama, kita tidak hiraukan keadaan orang lain dan apabila ditashkil untuk keluar 4 bulan, kita bagi alasan kita tidak ada masa. Tidak rasa bertanggungjawab untuk keluar di jalan Allah s.w.t sedangkan binatanglah yang fikir tentang anak-anak dia sahaja.

Kita kata untuk bagi makan anak tanggungjawab saya tetapi sebenarnya ia adalah tanggungjawab Allah s.w.t. Bagi makan kepada kita pun adalah tanggungjawab Allah s.w.t, bagi makan pada ayah kita pun tanggungjawab Allah s.w.t. Oleh itu, susahkah kita hendak keluar di jalan Allah s.w.t? Kita hanya cakap pada mulut sahaja. Dalam hati ada apa? Apabila dikatakan keluarlah kamu di jalan Allah s.w.t 4 bulan, Allah s.w.t yang bagi rezeki, tetapi…… ini yang bahaya, tetapi….. Kita hanya ada kalimah di mulut sahaja, agama tidak ada pada diri kita.

Orang Islam tidak dikenali daripada muka dia sahaja, tidak dikenali dengan percakapan dia sahaja, orang Islam tidak dikenali dengan rumah dia sahaja. Apabila kita berjalan, kita bagi azan dan sembahyang, barulah jiran sebelah kita kata, “Saya pun orang Islam juga”. Orang Islam tidak dikenali daripada percakapan dia, daripada pakaiannya, daripada akhlaknya. Di mana Islam sekarang? Tidak ada pada tangan kita, hanya ada pada lidah kita sahaja. Apabila satu orang sudah tua, semua tenaga yang ada pada dia, hanya datang pada lidah sahaja. Orang tua banyak merepek, bising, kekuatan tangan dia , kekuatan kaki dia, kekuatan pandangan dia, semua dah jadi lemah, hanya tinggal percakapan sahaja.

Pegawai kerajaan diminta untuk kumpulkan 200 orang untuk dihantar ke satu tempat, maka pekerja dia telah kumpulkan 200 orang tua. Pegawai tadi kata, “Dengan orang tua macam ni, apa boleh buat?” Hendak pergi lawan satu tentera lain.  Orang-orang tua ini akan gunakan lidah dia caci-maki, caci-maki, maka tentera itu akan lari. Orang Islam pun sama juga, orang tua sudah hilang semua kekuatan daripada anggota dia, tinggal kekuatan lidah dia sahaja, sama dengan orang Islam, semua amalan-amalan lain sudah tidak ada, Islam hanya tinggal di lidah sahaja.

Sekarang ini kalau diminta kita keluar, sudah keluar 40 hari, minta ditambah untuk cukupkan 4 bulan, maka kita akan kata, “Saya bawa belanja untuk 40 hari sahaja, macamana saya hendak keluar 4 bulan”. Siapa yang akan tanggung kamu untuk 2 cillah lagi? Allah s.w.t yang akan tanggung. Minta dengan Allah s.w.t. Sekarang ini, orang yang keluar pun tidak fikir, kenapa dia keluar. Apa yang dia hendak belajar masa dia keluar. Dia pun tidak tahu bila Allah s.w.t hendak masukkan ke dalam hati dia, apa yang dia telah belajar. Kita keluar hendak belajar iman. Bilakah Allah s.w.t akan masukkan iman ke dalam hati kita?

Rasulullah s.a.w telah bentuk satu jemaah dan dihantar ke Mauta, satu tempat di Syam, di negeri Jordan sekarang. Bila mereka telah sampai di sana, mereka buat tempat persinggahan. Mereka dapat tahu bahawa tentera musuh akan datang ialah sebanyak 100,000 orang dan bawa 100,000 orang lagi. Jumlah tentera musuh ialah 200,000 orang.

Jemaah sahabat yang keluar ke Syam ialah 3000 orang. Mereka kata, “Amir sab, mesyuarat sekarang dan patutnya kita beritahu Nabi s.a.w tentera musuh 200,000, kita 3000 sahaja. Patutkah kita tunggu pertolongan Nabi s.a.w?”. Apabila semua telah berhimpun, Abdullah bin Rawahah bangun dan berkata, “Dulu kamu keluar daripada Madinah, apa niat kamu? Kamu keluar untuk negara? untuk harta? Kamu sebenarnya keluar untuk bagi nyawa di jalan Allah s.w.t, kalaulah 3,000 lawan 200,000, kamu akan syahid atau tidak? Kemungkinan kamu akan syahid adalah tinggi. Oleh itu, tujuan kamu keluar akan tercapai”.

Kenapa kita keluar 40 hari? Untuk belajar iman. Apabila surat datang, dalam surat diberitahu anak sakit teruk dan sudah dibawa ke hospital. Anak lelaki yang dimanja-manjakan, maka apakah perasaan kamu sekarang? Tunggu atau hendak balik ke rumah? Kita akan menangis depan amir sab, “Amir sab, bagilah ijazat/kebenaran kepada saya, saya hendak balik”. Orang akan kata, “Bagilah dia balik, nanti kalau apa-apa berlaku di kampung, dia tidak ada, nanti fitnah besar untuk tabligh”. Apa pendapat yang sepatutnya kita bagi pada masa itu? Inilah masanya hendak belajar iman. Sekarang ini kita sudah nampak, kalau sakit kita pergi jumpa doktor, doktor bagi ubat, maka akan dapat sihat dengan perantaraan ubat dan doktor. Sekarang, Allah s.w.t bagi kita sakit semasa kita di jalan Allah s.w.t. Kalau kita doa pada Allah s.w.t, Allah s.w.t bagi sihat pada anak kita, maka barulah kita nampak bahawa Allah s.w.t yang bagi sihat. Iman akan masuk dalam hati kita. Inilah peluang untuk kita lihat kudrat Allah s.w.t. Kita patut beritahu pada orang tersebut, “Kamu duduklah di sini, inilah ehsan kamu untuk jemaah, sudah lama kita bersama, inilah masa kita tunjukkan pada jemaah kudrat Allah s.w.t, dalam hati kamu iman akan masuk dan dalam hati jemaah pun iman akan masuk. Kamu duduk di sini dan doa pada Allah s.w.t. Sebagaimana Abdullah bin Rawahah tidak biarkan jemaahnya balik, teruskan tashkil, teruskan ta’alim dan malam sembahyang hajat untuk anak”.

Macamana doa hendak dibuat? Kalau amir sab tidak bagi balik, kita akan kata, “Ya Allah, amir sab ini seolah-olah macam tidak ada anak, dia tidak tahu kasih sayang pada anak, dia tidak ada anak, apa yang dia tahu tentang anak? Ya Allah, kalau aku pergi tanpa izin dia, Engkau marah, kerana taat pada amir sab menandakan taat pada Engkau ya Allah, dan taat kepada Rasul, maka aku tunggu di sini, tolonglah bagi sihat pada anak aku”. Selepas 15 hari, surat datang lagi. Surat pertama tadi kata, “Anak sakit, balik segera”, tanpa ada kata-kata pujian pada Allah s.w.t. Surat kedua, “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, berkat doa kamu semua anak telah sihat”. Inilah belajar iman. Kita akan beritahu jemaah, “Dengan berkat doa kamu semua, Allah s.w.t telah bagi sihat pada anak saya”. Sekarang kita nampak kudrat Allah s.w.t.

Sekarang ini, kita tertangkap dalam duit kita, dalam kedai kita, dsbnya. Kita kata, “Ini boleh berlaku, ini boleh buat, itu boleh buat”. Allah s.w.t telah tunjukkan bahawa semua makhluk tidak boleh buat apa-apa, yang buat segala-galanya adalah Allah s.w.t. Ini ditunjukkan oleh Allah s.w.t pada Musa a.s di Bukit Thur. Ditunjukkan oleh Allah s.w.t pada Bani Israel di medan Taf. Allah s.w.t tunjukkan pada kita dalam masa 4 bulan kita dengan mendatangnya masalah dalam kehidupan kita. Kalau kita tidak sedia untuk perkara ini, siapa yang salah? Kemudian, apabila diminta lagi daripada kita 4 bulan, kita kata tunggu dulu.

Seorang raja kata, “Sesiapa yang boleh ceritakan satu kisah yang panjang sehingga saya tertidur, kalau cerita habis, saya masih tidak tidur, saya akan sembelih dia”. Satu orang datang, “Saya hendak ceritakan satu kisah”. Orang itupun mula ceritakan kisah dia, “Saya sedang safar, cuaca panas sangat dan saya nampak satu pokok besar dari jauh, saya pun pergi dan duduk di bawah pokok itu. Satu kumpulan burung besar datang dan hinggap di atas pokok tadi”. Raja tanya “Apa yang berlaku?” “Satu ekor burung daripada kumpulan besar tadi terbang”. Raja tanya, “Apa lagi selepas itu?” “Seekor lagi terbang”. Raja tanya, “Lepas itu apa?” “Satu ekor lagi terbang”. “Bila hendak habis”. “Bila tuanku habis tanya, habislah semua”.

Sekarang ini, syaitan ajar kita yang sama juga, bila orang datang tashkil, kita kata, “Tunggu dulu”. Sampai bila-bila pun tidak akan keluar. Syaitan syor pada kita iaitu kita tunggu kilang, bila kita dapat keluarkan banyak barang, maka kita akan buat lelong. Selepas itu akan dapat banyak duit. Bolehlah kita keluar jauh-jauh. Kita kata, “Tunggu gaji bertambah, selepas itu kita akan keluar”. Kadang-kadang kita tangguh, sekarang ada isteri, ada anak, hingga pencen nanti tetapi bila dah pencen, anak kepada anak iaitu cucu pula datang. Kita pun tidak keluar juga. Orang kerajaan semua tertangguh untuk keluar kerana cuti mereka.

Syor-syor syaitan semuanya sesuai dengan nafsu kita. Sifat fitrah manusia, hendakkan satu-satu kerja dibuat daripada orang besar-besar, bukan daripada orang-orang kecil, pegawai besar, menteri besar, pekebun besar, petani besar. Semua kita hendak orang besar buat kerja untuk kita. Sekarang ini yang paling besar sekali siapa? ALLAH s.w.t. Allah s.w.t telah tawarkan untuk selesaikan semua kerja kita. Kenapa kita tidak serahkan kerja kita pada Allah s.w.t, biar Allah s.w.t yang selesaikan. Allah s.w.t. tidak pernah tidur, tidak pernah mengantuk. Lagi satu sifat fitrah manusia iaitu kalau perdana menteri yang pertama sudah meninggal, maka yang baru akan dilantik. Mana kita hendak pergi? Pergi pada yang meninggal yang belum ditanam atau pergi pada yang baru dilantik. Sudah tentu kita akan pergi jumpa perdana menteri yang hidup. Kita tidak akan pergi jumpa perdana menteri yang mati.

Allah s.w.t beritahu, “Allah s.w.t hidup, maha hidup dan tidak akan mati-mati”. Kita kena usaha untuk keluar di jalan Allah s.w.t untuk masukkan kebesaran Allah s.w.t. ke dalam hati kita sehingga kita nampak kebesaran Allah s.w.t di depan mata kita. Jadikan kudrat Allah s.w.t itu musyahadah depan mata kita. Sebenarnya kita semua ini buta, yang nampak hanya Nabi s.a.w. Semua Yahudi, Nasara, Ateis, semuanya buta belaka. Yang nampak hanya Nabi s.a.w. Yang celik di dalam dunia ini, dia ialah Muhammad s.a.w. Kalau orang yang buta ikut kata orang celik, maka dia akan berjaya. Kalau orang buta ikut jalan sendiri, dia akan gagal. Siapa kita hendak ikut? Semua yang buta sedang ajak kita ikut mereka, “Datanglah ikut aku! Datanglah ikut aku! Kerja kamu akan senang, kerja kamu akan mudah”. Mereka semua panggil kita. Kita kena panggil mereka, “Wahai yang buta-buta, datanglah ke rumah Allah s.w.t, ikutlah Muhammad s.a.w”. Mereka akan kata, “Tidak ada masa lapang”.

Sekarang ini kita tidak terima bahawa Nabi seorang yang melihat dan kita tidak kata juga yang lain semua buta. Satu orang celik dan satu orang buta sedang berjalan, hujan turun, dua-dua telah duduk bawah pokok, hujan lebat, sejuk, bila hujan berhenti, maka yang celik angkat barang dia dan periksa barang tersebut. Yang buta pun angkat barang dia, raba,  periksa barang dia. Bila sejuk, ular datang dan duduk dalam beg si buta. Si buta raba-raba dengan tangan dia, dia kata, “ohh, satu benda elok, licin, bagusnya, ini mesti mahal harganya yang ada dalam beg”. Yang celik nampak, itu ular, yang celik kata, “Jangan, itu ular, jangan raba”. Sibuta tidak percaya, “Kau hendak tipu aku, kau hendak ambil manafaat daripada kebutaan aku”. Dia tidak dengar, dia terus raba dan ular patuk tangan dia. Dia akan mati kerana dipatuk oleh ular kerana tidak terima nasihat orang celik.

Demikia juga kita ini, kalau tidak dengar nasihat orang celik, esok ular akan patuk kita dalam kubur, ular akan patuk kita dalam neraka Allah s.w.t. Nabi s.a.w buat “Haiya a’lassolah”, “Datanglah kepada sembahyang”. Kenapa? Kerana dalam sembahyanglah setiap anggota manusia diajar bagaimana cara penggunaan yang betul, mata, telinga, lidah, semua diajar dengan cara penggunaan yang betul. Orang yang tidak datang bersembahyang, dia tidak belajar cara hendak gunakan anggota dia, maka dia akan guna anggota dia dengan cara yang salah, menyebabkan datangnya azab dalam kehidupan dia.

Oleh kerana itulah, siapa yang sudah keluar 40 hari, siapa yang belum keluar 40 hari lagi, kena guna peluang ini untuk keluar 4 bulan di jalan Allah s.w.t. Di kampung maulana, satu orang budak keluar 40 hari, selepas 40 hari, dia tambah 2 cillah lagi. Abang dia cari, maka diapun keluar juga 40 hari. Ayah dia cari kedua-dua anak dia, ke mana mereka pergi, maka ayah dia pun ditashkil keluar juga. Ketiga-tiga keluar di jalan Allah s.w.t. Seperti orang kena letrik, bila satu orang kena letrik, satu orang lain yang pegang dia, akan juga kena letrik.


Siapa yang musafa dengan tuan, akan keluar di jalan Allah s.w.t, siapa yang makan makanan tuan pun akan keluar di jalan Allah s.w.t, kalau tuan sendiri keluar di jalan Allah s.w.t. Tuan-tuan yang datang untuk 40 hari pun, azamlah untuk 4 bulan. Tuan-tuan yang datang untuk mesyuarat pun azamlah untuk 4 bulan. 

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir