jor KL 1996 - bayan utk karkun 4B oleh maulana syamim

 10/10/1996 - sri petaling

Berapa ramai orang yang telah dapat hidayat dan berubah kehidupan mereka kepada kehidupan beragama menerusi usaha tuan-tuan. Sebenarnya semuanya dari kuasa Allah s.w.t dan kita hanya asbab sahaja. Yang penting adalah samada kita sendiri jadi baik. Kalau kita sendiri tak berubah maka Allah s.w.t tidak akan ubah keadaaan alam.

Rasulullah s.a.w buat usaha ke atas sahabat-sahabat r.a hingga mereka mencapai kekuatan iman sehingga kekuatan-kekuatan dunia tunduk kepada mereka. Quran mereka Quran kita juga, Allah s.w.t mereka, Allah s.w.t kita juga, Rasul s.a.w mereka Rasul s.a.w kita juga, dan apa mereka buat kita juga buat. Tetapi kenapa bantuan Allah s.w.t tak datang kepada kita? Apa beza kita? Bezanya ialah bagi Sahabat r.a, di hadapan mereka adalah akhirat, dan mereka buat usaha dengan penuh pengorbanan, sementara kita, di hadapan kita adalah dunia, dan kita buat usaha dengan kesenangan. Bagi Sahabat r.a, iman mereka bertambah, dan ibadat mereka jadi lazat.

Kita perlu niat supaya kita ada perubahan, dan keluarga kita ada perubahan. Kalau kita tak ada niat begini, bagaimana Allah akan bawa perubahan kepada kita. Bila kita buat usaha dengan korban, Allah s.w.t akan kuatkan iman kita dan beri kita kelazatan dalam ibadat. Doa kita makbul, akhlak kita jadi mulia, dan kita boleh menangis untuk ummat. Usaha ini adalah supaya ibadat hidup dan ada roh. Kalau dibuat dengan senang-lenang, air mata pun tak keluar.

Rasulullah s.a.w usahakan Sahabat r.a supaya mempunyai iman yang kuat dan ibadat yang kukuh. Ibadat yang utama adalah sembahyang. Bukan semua Sahabat r.a sembahyang pada tahap sembahyang Rasulullah s.a.w. Tiap-tiapnya mengikut usaha masing-masing. Abu Bakar r.a sembahyang seperti sembahyang Rasulullah s.a.w. Begitu juga Abdullah bin Zubair r.a sembahyang seperti sembahyang Rasulullah s.a.w.

Seorang sahabat r.a baru balik dari jalan Allah s.w.t, dan isterinya bersiap sedia menyambutnya. Satu hari dihabiskan karguzari dsb. di masjid, dan malam baru dia balik ke rumah. Selepas bertanya khabar, dia minta izin isteri nak sembahyang dua rakaat. Dia khusyuk berdiri sembahyang sehingga azan subuh, dan kemudiannya nak pergi ke masjid. Isteri mengatakan yang dia pun ada hak. Suami mengaku, tetapi mengatakan bila dia angkat takbir untuk sembahyang, terbentang syurga dan keindahannya di hadapannya sehingga dia asyik. Beginilah, bila buat usaha, Allah s.w.t beri kelazatan dalam sembahyang.

Seorang sahabat r.a sembahyang di Masjid Nabawi. Rasulullah s.a.w suruh dia sembahyang sekali lagi - dia seolah-olah belum sembahyang lagi. Sehingga empat kali dia disuruh ulangi sembahyangnya. Sahabat r.a itu mengatakan semua yang diketahui sudah diamalkannya dan menanya apa lagi yang kurang. Rasulullah s.a.w memberitahunya bahawa ruku' dan sujudnya tak betul. Sahabat r.a yang banyak kali keluar pun kena belajar sembahyang lagi, bagaimana pula dengan kita? Kita balik dengan fikiran kita dah jadi wali. Kita balik ketawa-ketawa. Sahabat r.a balik menangis.

Semua kita mahu supaya segala masalah beres menerusi sembahyang kita. Bantuan Allah s.w.t tidak datang dengan sembahyang kita, tetapi datang bila sembahyang kita macam sembahyang Rasulullah s.a.w. Kita sebenarnya bukan sahaja belum buat usaha dakwah, kita belumpun lagi niat untuk sembahyang dengan betul. Hadith Rasulullah s.a.w yang menyuruh sembahyang bagaimana dilihat Baginda s.a.w sembahyang ditujukan untuk setiap orang, bukan untuk Sahabat r.a sahaja. Bila kita usaha dapat sembahyang sebegitu, pertolongan Allah s.w.t datang seperti yang datang kepada Sahabat r.a.

Kita keluar jalan Allah s.w.t bukan untuk makan angin, tapi untuk usaha kuatkan iman dan kukuhkan sembahyang, supaya menerusi sembahyang, kita boleh bereskan masalah. Selagi kita tak dapat bereskan masalah menerusi sembahyang, jangan anggap sembahyang kita sudah baik; kita perlu usahakan lagi. Bila dari takbir hingga ke salam tiada yang diingat selain Allah s.w.t, barulah kita tahu sembahyang. Bila kita keluar ke jalan Allah s.w.t, kita kena latih dan latih supaya mutu sembahyang dan tumpuan hati sampai kepada tahap yang dikehendaki, supaya melalui sembahyang itu benda yang mati boleh dihidupkan. Bila sebegini, Allah s.w.t mengubah nizam ghaib untuk beri bantuan kepada ummat Islam. Seperti Sahabat r.a, menerusi iman dan sembahyang, pertolongan Allah s.w.t datang, dan bila dilihat oleh manusia, mereka pun turut beriman.

Kita keluar 4 bulan dan balik dengan sangkaan iman kita sudah kuat. Yang kita dapat itu sebenarnya bukan iman, tapi hanya sebutan-sebutan iman. Tempat iman bukan di atas lidah tetapi di kalbu. Kita kena usahakan dengan gigih dan bukan cukup untuk bercakap sahaja. Rasulullah s.a.w buat usaha ke atas Sahabat r.a untuk kuatkan iman dan supaya ada roh dalam ibadat.
Rasul-rasul a.s diberi mukjizat untuk membuktikan kenabian mereka, tapi mukjizat ini bukan menjadi maksud mereka. Maksud mereka adalah untuk menguatkan iman, membawa roh dalam ibadat, dan menjadikan doa maqbul. Mukjizat Rasulullah s.a.w dah habis, tapi maksud Rasulullah s.a.w tak habis. Bila kita buat usaha Rasulullah s.a.w, ada perkara-perkara seperti mukjizat, tapi bukan mukjizat tapi keramat. Bila usaha untuk kuatkan iman dsb. dibuat, Allah s.w.t beri keramat sebab usaha Rasulullah s.a.w belum habis.

Syeikh Ilyas rah. telah berdoa supaya tidak dijelmakan keramat dalam usaha ini. Sekiranya doa ini tidak dipohon, dunia ini akan melihat banyak perkara-perkara yang menakjubkan. Agama yang tersebar dengan keramat tidak kukuh sebab bila habis keramat habislah agama. Walaupun Rasulullah s.a.w mempunyai mukjizat yang lebih daripada semua mukjizat Rasul-rasul a.s lain, Rasulullah s.a.w melakukan korban yang terbanyak untuk ugama. Dahulu orang-orang tertarik dan tunduk menerusi mukjizat; sekarang orang tertarik dan tunduk menerusi sembahyang, iman, dsb. Bila seseorang itu usaha atas iman dan sembahyang dan yakin ilahi, orang itu tidak terancam oleh apa-apa, malah dia pula boleh mengancam dengan doa.

Kita keluar ke jalan Allah s.w.t untuk bawa keyakinan atas kuasa Allah s.w.t. Kalau kita balik 4 bulan tak ada lagi perkara ini maka kenalah keluar 4 bulan lagi sekali, dan lagi dan lagi sehingga ada kesan. Di zaman Syeikh Ilyas rah., ada orang Mewat balik dari 40 hari, semua berkeadaan sukahati. Dalam bayan wafsi diceritakan tentang pentingnya iman, sehingga mereka sanggup keluar lagi. Mereka keluar 40 hari lagi dan balik ke markaz dengan kehabisan duit. Wafsi kali ini juga cerita pentingnya iman, dan mereka pun keluar lagi. Mereka makan buah-buah hutan dan daun-kayu. Allah s.w.t terima pengorbanan ini dan telah amkan usaha ini sehingga tuan-tuan berada di sini. Pada zaman itu ada satu usul (sekarang tak ada) apabila buah, daun dah habis, orang khidmat boleh kerja senyap-senyap dan gunakan duitnya untuk beli makanan. Dengan korban orang-orang dahulu, kita sekarang dapat hidayat.

Kita sekarang buat usaha senang. Syeikh Ilyas rah. doa supaya dari hari itu satu hari pun tidak ada orang lapar di Nizamuddin. Sekarang kita lihat. Keramat mana tuan-tuan perlukan lagi? Keadaan sekarang di mana begitu ramai orang sanggup buat usaha Rasulullah s.a.w, belum pernah wujud lagi. Ini ihsan Allah s.w.t

Pentinglah kita tambahkan korban untuk kuatkan iman, sembahyang dan doa, sehingga negara-negara yang menolak dakwah ini Allah s.w.t akan goncangkan, bawakan bah dan taufan, dan hancurkan. Supaya manusia tunduk - kepada Allah s.w.t (bukan kepada kita). Bila dan bagaimana ini berlaku bukan urusan kita. Urusan kita ialah buat usaha. Negara-negara mempunyai bermacam-macam pertahanan untuk menahan senjata-senjata. Demi Allah s.w.t, tiada negara yang mempunyai pertahanan terhadap serangan Allah s.w.t menerusi angin, hujan, dan sebagainya. Allah s.w.t boleh bawa perkara-perkara ini, dan Allah s.w.t boleh hentikan ini semua menerusi setiap mukmin. Manusia akan datang dan minta supaya didoakan azab berhenti, seperti Firaun meminta Nabi Musa a.s. Allah s.w.t akan tundukkan seluruh dunia.

Ini semua bukan hanya bayangan tapi telah dilihat di zaman Sahabat r.a. Kaedah yang mudah: Sahabat r.a sanggup buat apa yang dikehendaki Allah s.w.t, jadi Allah s.w.t buat apa yang mereka mahu. Di zaman Umar r.a, gempa bumi berlaku di Madinah. Umar r.a menghentak bumi, dan gempa bumi itu berhenti sampai sekarang. Api keluar dari gunung dan Umar r.a menyuruh Tamim Dari r.a menghalau api. Beliau menghalaunya dengan tongkatnya dan api tersebut tak keluar sehingga sekarang. Bila Amr al'As r.a membuka Mesir, orang tempatan korbankan wanita supaya sungai Nil mengalir. Umar r.a menghantar surat menyuruh Nil mengalir. Apabila dilontarkan surat itu ke dalam Nil, airnya naik sampai 16 hasta!

Perubahan dalam iman, sembahyang, akhlak kita perlu datang dahulu, barulah bantuan Allah s.w.t datang. Kini orang kata, apa dapat dengan tabligh? Faedah itu datang bila kita bawa perubahan dalam diri kita. Oleh itu keluarlah 4 bulan tiap-tiap tahun. Kita sebenarnya belum buat usaha lagi (moga Allah s.w.t ampun kita). Kita belum pun buat keputusan usaha ini usaha kita. Kita belum fikir semua ummat. Kita masih gaduh pasal usul. Usul-usul adalah untuk diri kita, bukan untuk gaduh untuk orang lain. Saya ada jumpa ulamak yang kata: "Kata nak satukan ummat tapi tuan-tuan sendiri gaduh". Kalau kita sibuk dalam usaha sebenar, tak ada masa untuk gaduh; dan kesan akan datang. Perlu kita fikir bagaimana nak wujudkan apa yang dikehendaki. Sepuluh tahun telah berlalu dan masih 4 orang itu yang buat gasht. Yang kelima belum datang lagi; usaha belum jadi umum lagi. Suasana tak ada. Orang yang balik pun jadi tak jadi. Perlu ada perubahan sehingga orang yang datang balik dengan perubahan. Untuk itu kenalah buat usaha sungguh-sungguh.

Memang tuan-tuan banyak korban. Tambah sedikit sahaja lagi - berilah 4 bulan luar negara - beri bulan bila.

Tuan-tuan boleh tambah korban kepada 4 bulan setiap tahun, 10 hari setiap bulan dan 8 jam setiap hari. Ini tertib Sahabat r.a.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir