mesyuarat malaysia 1998 - bayan maulana saad
nizamuddin - 07/09/98 - 10.20 a.m
Kitab suci Allah s.w.t menerangkan bahawa kejayaan hidup seseorang di dunia dan akhirat adalah bergantung sejauh mana membawa keseluruhan perintah Allah s.w.t seperti mana yang ditunjukkan oleh nabi-nabi.
Allah s.w.t bersumpah dalam surah Al-Asr bahawa semua manusia dalam kerugian kecuali mereka yang mengamal 4 perkara iaitu iman, amal soleh, berpesan yang hak dan sabar. Umat Islam di seluruh dunia dikatakan hanya mengamalkan dua dari empat bahagian ayat-ayat itu. Inti pati Al-Quran ialah surah Al-Asr jika manusia mengambil iktibar dan mengamalkan surah Al-Asr itu sudah cukup untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Dua perkara pertama surah Al-Asr itu sahaja jika diamal tidak mencukupi untuk melepaskan diri dari azab Allah s.w.t kerana ia beramal dan beriman untuk diri sendiri dan tidak memikirkan ehwal orang lain. Dua perkara awal pertama Surah Al-Asr ialah tanggungjawab dirinya dan dua perkara di hujung Surah Al-Asr itu adalah tanggungjawab untuk seluruh dunia dan seluruh alam.
Alhamdulillah, kita telah membuat usaha ini, tetapi belum mendapat basirah dari Allah s.w.t kerana tidak membuat usaha dengan kefahaman yang mendalam. Asas dalam membuat usaha ini ialah istikhlas. Maksud istikhlas ialah tiada usaha lain yang kita lakukan atau kita terkesan usaha lain dalam membuat usaha agama. Sebaliknya kita hanya membuat usaha dakwah ini sahaja. Allah s.w.t mengambil usaha orang yang beristikhlas.
Maulana Yusuf rah. memberitahu, maksud istikhlas ialah jangan terkesan dengan apa-apa usaha-usaha lain atau mengikuti usaha lain. Untuk melihat istikhlas kita bolehlah mengambil contoh istikhlas Nabi Ibrahim a.s yang dicampakkan dalam unggun api, Jibrail a.s datang hendak membantu tetapi Nabi Ibrahim mengatakan ia tidak perlukan bantuan Jibrail, beliau berkata “Cukuplah bagiku Allah”.
Mengenai istikhlas Kaab bin Malik yang sekali sahaja tidak dapat menyertai perang jihad, walaupun dalam hatinya bukan berniat untuk tidak menyertai jemaah yang dibentuk. Keadaan itu Allah s.w.t telah murka kepada Kaab bin Malik dan meminta supaya Kaab bin Malik dipulaukan selama 40 hari dan seterusnya ditambahkan lagi 10 hari dan isterinya pun diminta memisahkan diri dari bercampur dengan beliau. Keadaan itu menyebabkan dunia ini menjadi sempit baginya. Rasulullah s.a.w tidak hendak bercakap dengan beliau dan salam beliau juga tidak dijawab. Hatinya sungguh remuk. Tawajjuhnya hanya kepada Allah s.w.t. Istikhlas Kaab bin Malik itulah yang diterima oleh Allah dengan Allah menurunkan ayat pengampunan bagi dirinya.
Keselamatan orang yang membuat usaha agama tidak wujud apabila tidak beristikhlas. Bagaimana kita dapat istikhlas, kita hendaklah tanamkan dalam diri kita bahawa tidak ada usaha yang membawa kejayaan hanya-sanya dengan membuat usaha agama.
Orang yang membuat kerja agama pasti akan diuji oleh Allah s.w.t. Waktu ujian ialah pada waktu penerimaan kerja ini. Dalam penerimaan kerja ini ada tawaran atau menafaat yang lain akan datang atau menafaat dunia akan datang. Jika kita memilih cara itu kita akan gagal.
Allah akan menguji kita dan dalam ujian itu apabila kita terus meningkatkan korban dan penambahan fikir, maka Allah akan mengambil kita dalam kerja ini. Apabila kita meningkatkan fikir, kefahaman agama akan ditambah di mana fikir-fikir kita akan diterima. Seterusnya perlu membuat usaha dengan penyatuan hati.
Asas kerja ini ialah bagaimana orang boleh membuat usaha. Bagainda s.a.w membawa dua perkara iaitu agama dan usaha agama. Sahabat dapat menghayati agama dan menyebarkan agama ke seluruh dunia. Untuk itu Allah telah perintahkan Rasulullah s.a.w membuat 3 perkara:
1. Maafkan sahabat yang melakukan kesalahan
2. Minta keampunan kepada mereka
3. Membuat usaha dengan mesyuarat dengan mereka
Mesyuarat adalah ditamsilkan sebagai kilang untuk membina manusia. Manusia biasanya dilatih dan dibina untuk membolehkan mereka membuat usaha. Biasanya melalui mesyuarat maka manusia boleh dilatih, dibina dan meneruskan kerja/usaha agama. Mesyuarat adalah satu perkara yang amat penting. Sejauh mana kita membuat kerja dengan mesyuarat sejauh itulah rakan-rakan usaha akan bersama kita.
Seperti Baginda s.a.w diperintahkan supaya melatih sahabat bersembahyang untuk mempelajari cara-cara bersembahyang, Rasulullah mengajar sembahyang dalam masa yang singkat, tetapi bagaimana untuk mengajar sahabat untuk mendapat hakikat sembahyang, masa yang lama diperlukan iaitu hampir 13 tahun di Mekah.
Mesyuarat jika dilakukan mengikut cara Baginda s.a.w, maka Allah akan betulkan kerja kita.
Dalam semua bab syariat yang timbul kepada Rasulullah s.a.w, Baginda akan tanya Allah s.w.t sebelum memberi jawapan. Tetapi dalam membuat usaha dakwah Baginda diperintah bermesyuarat bersama sahabat. Jika perkara mengenai dakwah, Rasulullah tanya pada Allah, sudah tentu natijahnya betul. Tetapi Allah s.w.t perintahkan supaya bermesyuarat dengan sahabat. Ini adalah bagi membolehkan umat akan terus dapat membuat usaha agama, walaupun nabi telah wafat, umat akan terus boleh membuat usaha agama di mana-mana, apabila mereka menghadapi masalah ia boleh bermesyuarat bersama mereka.
Baginda diperintahkan oleh Allah s.w.t bermesyuarat. Mesyuarat ialah untuk menghimpunkan pandangan orang ramai dan bukan memberi arahan/perintah atau membuat keputusan. Sahabat-sahabat ialah bukannya pekerja tetapi sahabat Rasulullah s.a.w. Oleh itu sesuatu perkara yang hendak dimesyuaratkan perlu mengambil pandangan ramai, tetapi berbeza dengan perkhabaran kepada pekerja dibuat melalui arahan. Begitulah halnya dalam kita membuat usaha agama. Sesuatu perkara yang hendak dibuat perlulah bermesyuarat dengan mendapat pandangan rakan-rakan seusaha. Dalam sesuatu mesyuarat, pandangan orang tidak ada yang tidak boleh diambil kemudian. Oleh itu sebelum sesuatu perkara hendak dilaksanakan maka pandangan rakan perlu dibuat. Saidina Abu Bakar r.a telah menghantar surat kepada gabenornya supaya memegang sungguh-sungguh mesyuarat. Faisala tidak wujud jika tidak ada ahli mesyuarat dan ahli mesyuarat tidak akan dapat natijah mesyuarat jika tidak ada faisala.
Ahli syura maksudnya ialah penjuru. Penjuru tidak ada tanpa dinding dan dinding tidak boleh bercantum tanpa penjuru. Penjuru-penjuru dan dinding-dinding jika tidak bercantum maka ia tidak menjadi bangunan. Begitulah halnya jika ahli syura berseorangan pergi kesesuatu tempat membuat kerja maka kerja itu bukannya tertib syura tetapi tertib dirinya sendiri.
Mesyuarat bukannya mesyuarat jika hanya meminta pandangan satu atau dua orang kemudian membuat keputusan. Baginda Rasulullah s.a.w pernah menarik balik keputusan apabila keputusan itu tidak dipersetujui.
Dalam satu safar bersama Rasulullah s.a.w ialah seorang Ansar yang ternampak orang Muhajirin sangat lapar. Mereka mencadangkan kenderaan mereka disembelih. Rasulullah s.a.w memutuskan supaya kenderaan mereka disembelih. Kemudian apabila Hadzrat Umar mengetahui perkara itu dan berjumpa Rasulullah s.a.w memohon supaya Rasulullah menarik balik keputusannya kerana mengikut Hadzrat Umar, jika kenderaan mereka disembelih maka menimbulkan kesukaran kepada sahabat untuk meneruskan perjalanan kerana kenderaan tidak mencukupi.
Begitulah juga ehwal Hadrat Abu Hurairah berjumpa Rasulullah s.a.w dan Baginda memberitahu kepada Abu Hurairah berita gembira - barang siapa mengucapkan kalimah Taiyibah ia ahli syurga dan meminta Abu Hurairah membawa kasutnya sebagai bukti. Tetapi apabila Abu Hurairah memberitahu sabdaan Rasulullah s.a.w itu kepada Saidina Umar ia telah ditumbuk dan jatuh. Abu Hurairah telah berjumpa Rasulullah dan memberitahu akan peristiwa itu. Apabila Hadzrat Umar datang dan berkata, jika berita itu diberitahu kepada orang lain, maka ia akan menyebabkan orang tidak lagi mahu beramal dan beliau meminta agar sabdaan Rasulullah itu tidak dihebahkan kepada orang ramai dan Rasulullah telah menyetujui cadangan Hadzrat Umar itu.
Begitu juga pemilihan Hadzrat Bilal menjadi juru azan masjid Nabawi kerana pengorbanannya sehingga suara azannya sampai kedengaran malaikat di langit.
Fkir agama perlu berterusan bukan hanya setakat ketika mesyuarat sahaja. Orang yang banyak berfikir, melaluinya Allah s.w.t akan bukakan jalan-jalan yang buntu. Begitu juga orang yang tambahkan pengorbanan juga perlu. Dengan tingkatnya pengorbanan, melalui orang itu banyak takazah agama dapat disempurnakan.
Perihal mesyuarat Rasulullah s.a.w cara memanggil orang kepada sembahyang. Dalam mesyuarat peringkat awal, idea untuk memanggil sembahyang tidak diperolehi. Selepas mesyuarat ditangguhkan, semua sahabat telah balik tetapi seorang sahabat yang biasa telah memikirkan sungguh-sungguh bagaimana hendak memanggil orang kepada sembahyang, ia berazam tidak makan sehingga dapat ilham bagaimana cara memanggil orang kepada sembahyang. Beliau terus ke masjid dan berdoa kepada Allah bagaimana untuk memanggil orang kepada sembahyang. Akhirnya Allah s.w.t telah ilhamkan kepada sahabat itu dengan mendatangkan malaikat menunjukkan azan dalam mimpinya.
Kelemahan kerja di mana-mana pun adalah apabila mereka yang membuat usaha agama tidak bersatu hati. Usaha akan membangun jika kita membuat usaha bersama-sama. Seterusnya jika ada yang telah jauh dari kita, kita perlu pergi dan pujuk rayu supaya ia kembali kepada usaha ini. Perkara ini cukup penting, kerana orang yang telah jauh dari usaha ini jika dibiarkan kerosakan akan berlaku ke atas orang itu dan kemungkinan ia mengikuti usaha lain. Cara bagaimana untuk mendatangkan semula orang yang jauh dari usaha ini, orang tanggungjawab perlu berjumpa mereka secepat mungkin. Apabila orang keuzuran dengan usaha ini mereka perlu dipujuk rayu.
Sebagai contoh kisah Hayas r.a yang dipujuk oleh orang kufar balik ke Mekah, Abu Sufian dan Harith menyatakan yang emaknya tidak hendak menyikat rambutnya dan tidak mahu berlindung dari kepanasan matahari Mekah sehingga belum melihat anaknya. Hadzrat Umar telah usaha selamatkan sahabat yang hendak balik kepada saudaranya di Mekah, kamu jangan balik saya akan berikan separuh dari harta saya tetapi Hayas tidak setuju dengan pelawaan Hadzrat Umar kerana kasihan akan ehwal emaknya di Mekah. Jikalau hendak balik ke Mekah juga bawalah unta beliau yang pantas. Apabila Hayas bersama Abu Jahal dan kawanya pergi ke Mekah Hayas telah disiksa dengan dahsyat sekali. Oleh kerana ia tidak tahan ia telah murtad. Sehingga turun satu ayat khas dari Allah. Hadzrat Umar terus memikirkan bagaimana hendak membawa Hayas datang ke Madinah. Hadzrat Umar telah menyampaikan ayat Al-Quran itu kepada Hayas, Hayas tidak memahami maksud ayat Quran itu, ia terpaksa berjalan naik bukit turun bukit sehingga ia memahami ayat itu. Dalam ayat itu Allah akan memberikan keampunan kepada Hayas jikalau ia datang kepada Allah. Hayas telah datang menangis kepada Rasulullah s.a.w di Madinah dan ia kembali semula kepada Islam.
Maulana Saad memberitahu kita bahawa orang tanggungjawab perlu mengambil fikir rakan kita yang telah jauh dari kita. Sekali kita fikir kepada rakan kita, 100 kali rakan kita akan datang bersama kita, tetapi jika kita (orang tanggungjawab) tidak fikirkan rakan kita, 1000 kali rakan kita tidak kisah dengan kita. Sebanyak mana kita bersatu hati sebanyak itu rakan kita akan bersama kita.
Mengenai kerja di Malaysia sebenarnya Allah s.w.t telah mahukan hidayat tersebar meluas, tetapi oleh kerana kerja tidak dibuat bersatu hati, maka peningkatan kerja tidak menyeluruh.
Comments
Post a Comment