mesyuarat malaysia 1998 - bayan maghrib maulana ibrahim

nizamuddin - 08/09/98


Peredaran musim seperti panas, sejuk, hujan memberi kesan kepada suasana.  Begitu juga suasana agama memberi kesan kepada kehidupan manusia.  Agama akan mati jika tidak ada suasana agama.  Oleh itu Allah s.w.t menghantar nabi dan memberi usaha agama kepada nabi-nabi.  Melalui usaha agama itu suasana akan terbentuk.  Allah s.w.t memberi usaha agama kepada nabi-nabi dan usaha itu bukan sekadar untuk menyampaikan tetapi bagaimana supaya ia memberi kesan kepada hati-hati manusia.  Oleh itu masa yang lama digunakan untuk membuat usaha agama seperti Nabi Nuh membuat usaha agama selama 950 tahun.

Usaha para nabi ialah usaha ummumiyat iaitu usaha yang dibuat kepada semua lapisan masyarakat. Begitu juga usaha agama yang kita lakukan ini perlu dibuat secara ummumiyat iaitu untuk semua manusia. Dengan ini barulah usaha itu akan memberi menafaat kepada manusia. Seperti hujan yang turun ia diturunkan secara menyeluruh, bukit-bukau, lembah, kampung, bandar, lautan dan tasik menerima hujan.  Apabila kerja dakwah dibuat secara ummumiyat ia akan melibatkan semua manusia dan barulah ia akan memberi menafaat atau kesan sebenar.

Azan adalah dakwah. Apabila muazzin melaungkan azan, semua lapisan masyarakat akan mendengar dan mereka akan datang. Begitu juga mizaj agama yang dibuat secara ummumiyat akan menyebabkan agama  tersebar  kepada seluruh manusia.  Begitu juga  jemaah masjid yang membuat usaha tempatan, mereka mengadakan mesyuarat harian mengenai ehwal seluruh penduduk khariah.  Mereka akan memikir dan membuat usaha menjumpai seluruh ahli khariah tempatan itu.  Dengan itu apabila usaha agama dibuat secara ummumiyat semua lapisan akan dapat dijumpai dan mereka akan memberi perhatian kepada agama.  Usaha agama jika dibuat secara ummumiyat ia akan hidup lama seperti azan dilaungkan untuk semua lapisan masyarakat, maka sembahyang hidup lama. Dengan membuat usaha agama secara ummumiyat seluruh umat akan datang kepada usaha agama Allah.  Agama yang sempurna akan dizahirkan dengan sempurna apabila semua lapisan masyarakat datang mengamalkan agama.  Dengan ini menafaat agama dapat dizahirkan seperti hujan yang turun memberi menafaat kepada semua orang.

Tuntutan agama ialah semua orang perlu mengamalkan agama, tidak kira samada ia orang miskin atau kaya, samada yang tinggal di bandar, di kampung atau pinggir hutan.

Imam Abu Hanifah telah menunaikan haji dan hendak mencukur rambut di Mina, beliau meminta seorang awam yang ada di situ untuk menolong beliau mencukur rambutnya, orang itu meminta Imam takbir, mengadap kiblat, cukur dari sebelah kanan dan mengutip rambut yang telah dicukur dan tanam.  Imam terkejut bagaimana seorang pencukur rambut dapat menegur seorang Imam yang mengalami 6 masalah masa’il dalam bercukur rambut.  Beliau ialah Ata bin Abi Hurairah.  Keadaan ini berlaku apabila usaha agama telah dibuat secara ummumiyat, semua orang Islam mengetahui hukum-hakam agama.

Seorang datang kepada majlis Rasulullah s.a.w, orang itu bertanya siapakah di antara kamu anak Abu Mutalib.  Orang itu tanya dengan keras, ia bersumpah adakah Allah s.w.t pilih kamu sebagai Nabi, adakah Allah perintah mentauhidkanNya dan lain-lain lagi.  Ia seterusnya memberitahu Rasulullah s.a.w ia berjanji apa yang ia tahu itu tanpa tokok tambah akan beritahu kepada kaumnya, kemudian ia meninggalkan majlis Rasulullah s.a.w.  Rasulullah s.a.w seterusnya bersabda, jikalau ia membenarkan apa yang telah didengar dan faham, bahawa ia ahli syurga.  Orang tadi telah membuat usaha sungguh-sungguh di kalangan kaum sehingga 100 % orang kampungnya menerima Islam dan 100% menunaikan sembahyang.  Ibnu Abbas mengatakan ia tidak pernah melihat seorang sahabat yang mebuat usaha bersungguh-sungguh seperti beliau.

Usaha agama perlu dibuat bersungguh-sungguh dan bukan untuk karkun sahaja.  Usaha agama memakan masa lama pertumbuhannya, berbanding usaha batil berkembang dengan cepat seperti juga pertumbuhan pokok ia tumbuh sedikit demi sedikit, apabila akar tunjang telah menjunam ke tanah maka pokok itu tidak akan tumbang.  Begitu juga dengan pertumbuhan usaha agama ia akan meningkat sedikit demi sedikit dan akan tertanam dalam hati manusia sedikit demi sedikit dan lama kelamaan ia akan kukuh.

Maksud hadith, “Tempat yang paling disukai Allah s.w.t ialah masjid dan tempat yang dibenci Allah s.w.t ialah bazar”.  Tempat batil tersebar ialah bazar dan tempat amalan hak tersebar ialah dari masjid.  Hari ini apabila usaha agama tidak dibuat secara ummumiyat maka amalan hak tidak tersebar ke rumah sebaliknya amalan batil telah masuk ke rumah. Apabila amalan agama dibuat secara ummumiyat dari masjid maka amalan hak akan sampai ke rumah-rumah dan bazar-bazar.  Ali r.a ditanya apakah bazar bagi orang mukmin. Bazar bagi orang mukmin adalah tempat yang bersih, tidak menipu timbangan dan sebagainya.  Apabila usaha hak dibuat secara ummumiyat orang-orang di bazar juga akan terkesan dan mereka menjadi peniaga yang perniagaannya tidak melalaikan diri dari sembahyang dan mengingati Allah s.w.t.

Masjid adalah markaz atau pusat hidayat.  Dari masjid usaha agama digerakkan dan jemaah-jemaah dibentuk dan dikeluarkan ke jalan Allah s.w.t.  Maulana Yusuf rah. memberitahu, kamu datang ke masjid dan dengar apa yang disampaikan dan memberitahu kepada orang di rumah.  Dengan ini fikir orang di rumah terbentuk mengikut agama dan ia akan menjadi pembantu dalam melaksanakan usaha agama.

Halangan usaha agama berlaku, apabila usaha agama tidak dibuat secara ummumiyat, sebaliknya orang yang menghalang usaha agama akan datang kepada kita untuk belajar membuat usaha agama.  Maulana Ibrahim teringat ketika ia keluar ke Amerika.  Selepas bayan seorang tanya mengenai apa yang dibayan.  Maulana tanya, mengapa kamu tanya.  Ia mengatakan saya ingin mengesahkan apa yang saya faham bagi memudahkan saya menyampaikan kepada orang rumah saya.  Kisah ini Maulana teringat apa yang didengar dari Maulana Yusuf.

Usaha agama perlu dibuat secara ummumiyat dan bukan khusus.  Ini memudahkan orang ramai dapat mengamalkannya.  Kehendak nabi dalam membuat usaha agama ialah buat usaha agama secara ummumiyat.  Rasulullah s.a.w telah membuat usaha bersungguh-sungguh dari pagi hingga petang dalam keadaan orang Arab tidak menerimanya.  Sehingga baju dan badan Rasulullah penuh berdebu.  Anak Rasulullah datang mengelap muka Nabi dan ia menangis.  Rasulullah s.a.w mengatakan, akan tiba suatu masa nanti agama akan sampai ke setiap rumah di bandar atau di kampung, rumah besar atau rumah kecil.

Dalam membuat usaha agama jangan sempitkan usaha ini dengan memikirkan cara dan tertib baru sehingga ia menyusahkan dan kerja akan terhenti dan batil akan mengatasi dan tersebar. Baginda Rasulullah s.a.w telah menyebarkan agama secara ummumiyat dan melalui sahabat menyebarkan meluas sehingga ada yang tidak kenal Nabi walaupun Nabi masih hidup.  Dalam Haji Wida’ seorang perempuan bertanya Nabi, “Kamu siapa” ; “Akulah Nabi Allah”.  Kita hendaklah membuat kerja agama sehingga orang tidak kenal kita tetapi ia mengambil agama dan membuat kerja agama.  Jika kita membuat usaha agama secara ummumiyat, maka ramai orang Islam akan menjadi pembantu agama Allah s.w.t.

Hadzratji Maulana Inamul Hassan rah. memberitahu, usahalah sehingga seratus peratus orang datang kepada sembahyang. Maulana Yusuf mengatakan agama akan datang melalui ibadat dan terkeluar melalui muamalat.

Dalam membuat usaha agama  kita perlu buat secara ummumiyat dan diri kita tertibkan mengikut usul.  Dengan ini kita akan dapat jaga tertib kerja.  Tanpa usul tidak akan wujud ketaatan dan usaha tidak ada makbuliyat.

1.        Usul pertama        - Buat usaha agama dengan diri dan harta sendiri
2.        Usul kedua            - Buat kerja dengan mesyuarat.
3.        Usul ketiga            - Tertibkan diri dalam membuat kerja harian, bulanan dan tahunan.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir