mesyuarat malaysia 1998 - bayan maulana ahmad lat
nizamuddin - 08/09/98 - 10.20 a.m
Allah s.w.t dengan sifat penyayangNya kepada hamba-hambaNya telah menurunkan agama yang sempurna. Waktu selepas nabi Isa diangkat ke langit hingga kelahiran Nabi s.a.w ialah selama 650 tahun. Ketika itu sifat kemanusiaan telah terkeluar dari diri manusia. Untuk kembalikan sifat-sifat mulia manusia Allah s.w.t telah memberi dua usaha kepada Nabi s.a.w iaitu agama dan usaha agama. Perbezaan nabi Muhammad s.a.w dengan nabi-nabi dahulu ialah nabi-nabi dahulu diutus untuk kabilah, keluarga dengan umur yang panjang-panjang sedangkan Nabi s.a.w umurnya pendek tetapi usahanya meliputi seluruh dunia, seluruh alam hingga hari qiamat. Pada permulaan Nabi s.a.w memulakan usaha agama tiada seorang pun yang kenal Allah s.w.t dan Rasul tetapi ketika Nabi wafat, Baginda telah berjaya membuat usaha lebih 100,000 manusia yang dapat mengamal agama 100%.
Baginda membuat usaha hingga ke tahap kesempurnaan agama. Di Padang Arafah ketika Haji Wida’ Baginda mengumumkan bahawa setiap sahabat yang hadir adalah bertanggungjawab membuat usaha agama dan menyediakan orang lain/umat seluruh dunia seluruh alam hingga hari qiamat membuat usaha agama dengan cara yang sama atau mizaj yang sama. Dalam dunia ini terdapat berbagai-bagai kerja yang corak mizajnya berlainan. Mizaj kerja itu perlu dibuat mengikut kaedah/peraturan yang berbeza. Apabila ia dibuat mengikut peraturan yang telah ditetapkan maka ia akan menghasilkan natijahnya. Begitulah usaha agama ini ada mizaj atau peraturan yang tersendiri. Perwatakan diri, peraturan diri, kaedah kampung dan mizaj-mizaj sendiri, pemikiran sendiri perlu dikorbankan dalam membuat usaha agama iaitu hanya dengan mengikut corak atau kaedah yang dibuat oleh Baginda Rasulullah s.a.w.
Sesuatu zat ada 2 benda iaitu amal dan pengamal seperti sembahyang mempunyai pengamal sembahyang dan mizaj atau kaedah untuk menunaikan sembahyang, begitu juga haji ada pengamal haji dan ada mizaj atau cara untuk menunaikan haji. Maulana memberi contoh iaitu kedai dan pekedai, orang yang mengendalikan kedai, jika hendak menarik pelanggan ke kedai perlu berlemah lembut, kedainya akan maju. Sebaliknya jika pekedai garang, sentiasa marah-marah tiada pelanggan yang akan datang, maka kedai itu tidak akan maju. Manakala satu lagi kedai yang tidak banyak barang tetapi pekedai berhemah tinggi, kedai seperti ini juga tidak akan maju.
Amalan dalam Islam adalah mudah, di mana Baginda s.a.w telah melakukan dan tunjukkan kepada sahabat bagaimana untuk mengamalkan. Amalan itu seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji. Untuk mengamalkan ibadat-ibadat lain dalam Islam adalah mudah dan dalam beberapa waktu telah ditunjukkan kepada sahabat tetapi kaedah yang dilaksanakan bagi membuat usaha agama Baginda telah melatih sahabat dalam masa 23 tahun tentang bagaimana hendak membuat usaha tersebut.
Asas utama dalam membuat usaha agama :
Penyelesaian masalah manusia adalah dengan membuat usaha agama.
Sebagai contoh : Semua orang Mekah ketika permulaan Islam telah membuat ancaman dan tekanan habis-habisan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda terus diperintahkan oleh Allah s.w.t keluar ke jalan Allah. Sehingga apabila musuh Baginda yang telah sampai ke tempat gua persembunyian Baginda dan Saidina Abu Bakar, jika mereka menundukkan pandangan ke bawah sahaja, sudah tentu mereka akan nampak Baginda di dalam gua. Dalam keadaan itu Baginda sedikit pun tidak terkesan. Peristiwa ini memberi pengajaran, untuk membuat usaha agama, jangan sedikit pun terkesan dengan makhluk, tetapi perlu melihat bantuan dan kudrat Allah s.w.t.
Untuk keluar ke jalan Allah perlu dengan diri dan harta sendiri.
Pengajaran ini dapat diambil dari peristiwa hijrah Rasulullah ke Madinah. Saidina Abu Bakar telah membuat persiapan 2 ekor unta untuk digunakan oleh Baginda dan beliau sendiri. Tetapi Rasulullah menolak pelawaan itu dan Rasulullah s.a.w telah membeli unta Saidina Abu Bakar itu dan membayarnya di Madinah.
Asas kerja agama yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w itu adalah contoh terbaik untuk diikuti umatnya sehingga hari qiamat. Bagaimana pada peringkat awal hijrah Baginda telah mengalami susah payah tetapi apabila sampai ke Madinah, Baginda telah ditunggu dan dialu-alukan oleh orang Ansar dengan membaca syair “Bulan yang ditunggu sudah tiba”. Mereka telah menawarkan rumah, tanah dan anak-anak gadis kepada Rasulullah tetapi semuanya ditolak oleh Rasulullah s.a.w.
Pengajaran dari kisah ini ialah dalam membuat usaha agama akan datang kepada kita beberapa tawaran dunia. Ketika waktu itu kita hendaklah mengambil contoh Rasulullah s.a.w bahawa kami membuat usaha agama untuk mendapat keredhaan Allah bukan untuk mendapat pangkat atau darjat. Jika itu berlaku maka Allah akan mengambil usaha dari kita.
Selama 2 bulan rumah Rasulullah s.a.w tidak ada apa yang hendak dimasak walhal di sekitarnya Baginda s.a.w telah dapat menyediakan orang yang sanggup berkorban diri untuk agama. Pengajaran dari kisah ini ialah mengenai kesukaran diri sendiri. Baginda tidak menyatakan kepada manusia tetapi hanya kepada Allah s.w.t sahaja yang mengetahui. Begitulah ehwal kita dalam membuat usaha agama perlu dalam setiap kehidupan mengambil contoh perilaku kehidupan Nabi s.a.w. Jika ini dilakukan sudah tentu orang seluruh Malaysia dapat diangkat kehidupannya cara Nabi s.a.w.
Apabila agama telah berkembang di Madinah dan ramai orang yang hendak belajar agama datang ke Madinah. Orang Ansar yang mempunyai sifat melayan tetamu, sehingga terlampau ramai tetamu datang ke rumah-rumah mereka tiada lagi bahan makanan dan ehwal mereka tidak diketahui oleh orang lain. Sehingga apabila datang seorang tetamu Rasulullah s.a.w, Baginda menawarkan kepada seorang Ansar. Ia membawa tetamu itu ke rumah sedangkan bekalan makanan tidak mencukupi di rumah beliau. Ia telah targhib isterinya iaitu sifat orang beriman ialah memuliakan tetamu dan isterinya telah memasak sedikit gandum yang ada dan ketika menyajikan makanan itu ia bermesyuarat dengan isterinya untuk mematikan lampu dan suaminya pura-pura mengunyah dan tetamu itu makan dengan kenyang. Peristiwa itu telah mendapat perhatian Allah s.w.t sehingga turun ayat Al-Quran perilaku sahabat itu yang dibaca oleh orang Islam sehingga hari qiamat. Beginilah jika hendak membuat usaha agama kekurangan diri jangan dihebahkan kepada orang lain tetapi semuanya perlu dirujuk kepada Allah s.w.t. Pagi-pagi Rasulullah s.a.w bertanya sahabat tadi apa amalan yang kamu buat malam tadi. Sahabat menyatakan ia tidak berbuat apa-apa amalan. Rasulullah s.a.w mengatakan “Engkau mengatakan tidak ada apa-apa amalan sedangkan Allah s.w.t telah turunkan malaikat Jibrail dari langit yang Allah s.w.t mewahyukan yang ia sangat suka amalan kamu itu dan turunkan wahyu kepada saya”.
Selepas wafat Rasullullah s.a.w, sahabat-sahabat dapat meneruskan kerja agama. Apabila harta benda datang kepangkuan Saidina Umar , ia menangis dan ia mengatakan jika harta benda itu baik sudah tentu ia datang ketika zaman Saidina Abu Bakar dan Baginda Rasullulah s.a.w. Sahabat-sahabat dalam membuat usaha agama tidak ada kepentingan diri.
“Buat apa yang disuruh dan jangan kamu buat lebih dari itu”. Begitulah tertib kerja di Malaysia , kita kena buat apa yang disuruh dan jangan buat tertib sendiri. Jika kita buat sedemikian kerja akan selamat dan kita yang membuat kerja juga akan selamat. Setiap sesuatu usaha akan mendatangkan dua kesan, seperti sembahyang ada yang naik kepada Allah dan Allah s.w.t turunkan dalam bentuk rahmat dan ada sembahyang yang dilontarkan balik kepada orang yang melakukannya seperti kain buruk dilontar ke muka orang yang sembahyang. Begitu juga doa ada dua kesan, pertama doa yang terus diterima dan kedua ada doa yang ditolak. Begitu juga puasa ada yang menambah taqwa dan ada puasa mendapat lapar dan dahaga sahaja.
Begitu juga usaha agama, apabila dibuat dengan usul dan adab yang dinasihatkan oleh orang tua kita di Nizamuddin, maka kerja yang dibuat menjadi asbab hidayat tetapi jikalau kita membuat usaha tidak mengikut usul dan adab yang dinasihatkan, maka usaha hanya merupakan usaha yang berjalan-jalan sahaja dan tidak menjadi asbab hidayat. Dalam safar eldest baru-baru ini di 11 buah negara di Afrika, eldest telah meneliti dan membuat khulasah :
1. Jemaah luar yang datang jangan melantik amer dan membuat markaz baru.
2. Jangan membuat sesuatu perubahan di sesuatu tempat. Masalah yang berlaku di negara itu perlu dirujuk di Nizamuddin.
Oleh itu kita pada hari ini perlu membuat usaha dengan berhati-hati kerana inilah waktu-waktu (prime time) penerimaan dalam membuat usaha agama di Malaysia . Waktu ini manusia sedang mencari-mencari cara mengenal Allah s.w.t. Oleh itu kita perlu bekerja bersungguh-sungguh dan membuat kerja dengan istikhlas dan tambahkan pengorbanan pada diri kita, kerana ramai orang seluruh dunia sedang menunggu-nunggu kita. Kita perlu banyak ikram kawan-kawan kita, jangan membuat usaha dengan tafsiran sendiri, semoga Allah s.w.t memberi kita taufiq untuk dapat mengamalkannya.
Kita yang datang ke Nizamuddin adalah merupakan orang tanggungjawab yang merupakan foundation (asas) kerja di Malaysia . Jika kita membuat usaha dengan satu hati, kasih sayang dan membuat kerja dengan tertib yang betul, maka usaha kita akan menjadi asbab hidayat kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh alam.
Comments
Post a Comment