mesyuarat malaysia 1998 - bayan subuh maulana ahmad lat

nizamuddin - 09/09/98  

Manusia adalah semulia-mulia makhluk atau Ashraful Mahlukat.  Ia telah diberi tanggungjawab yang amat tinggi iaitu sebagai khalifah Allah, khalifah Rasul dan khalifah kitab. Allah s.w.t menjadikan agama sebagai petunjuk kepada manusia dalam menjalani kehidupan  dan Rasulullah s.a.w dijadikan contoh terbaik.  Setiap perkara yang Baginda  lakukan  telah diikuti oleh sahabat.

Allah s.w.t sebenarnya yang mengatur kehidupan manusia. Ia yang mengaturkan pembahagian harta, adanya kaya dan miskin, berapa banyak seseorang itu makan dan minum Allah s.w.t yang tetapkan.  Dalam kehidupan ini manusia diberi ikhtiar.  Jika manusia membuat ikhtiar yang betul maka ia akan mendapat natijah yang baik di kehidupan akhirat.  Jika manusia menggunakan lidah untuk mengucap kalimah taiyibah, kesannya sampai ke langit, tiang arasyh Allah s.w.t bergoncang.  Ia tidak berhenti selagi dosa yang mengucapkannya tidak diampun.  Percakapan mulut, penglihatan mata, pergerakan tangan seseorang itu adalah ikhtiar seseorang dan jika ia membuat amal baik ia akan mendapat syurga tetapi ikhtiar yang dilakukan membuat amal yang tidak baik ia akan membawanya ke neraka.  Oleh itu perlu membuat usaha atas iman.  Semakin kuat iman seseorang semakin banyak amal baik ia lakukan.  Seseorang itu perlu dibangunkan di atas 3 asas iaitu - iman, amal dan akhirat.  Kita perlu beriman kepada Allah s.w.t seperti mana sifat dan zat Allah s.w.t.  Sejauh mana kita beriman kepada Allah s.w.t maka mudah orang itu membuat amalan yang mendapat keredhaan Allah s.w.t. Iman bukan benda kecil.  Ia begitu berharga di sisi Allah.  Walaupun seseorang itu mempunyai iman sebesar biji sawi, ia akan diberi syurga 10 kali besar dunia.  Manusia yang masuk syurga akan mengetahui nilai iman.  Bagaimana jika usaha membentuk iman kita sebesar gunung.  Oleh itu segala kemampuan sahabat digunakan untuk belajar iman.  Inilah maksud kita keluar 4 bulan, 40 hari ialah untuk membina iman.  Dengan beriman kita dapat mengikut perintah Allah s.w.t.

Nabi inginkan setiap umatnya mendapat kejayaan.  Mereka mengajak kaumnya kepada kebaikan.  Kita jika hendak membuat usaha jemaah masjid sifat pertama yang perlu ada ialah keinginan semua orang mendapat kebaikan.  Segala kesusahan telah diajukan oleh orang Quraish kepada Rasulullah  sehingga makanannya di racun tetapi keinginan Rasulullah ialah untuk kebaikan untuk semua umat dan memasuki syurga Allah.

Setiap manusia akan merasai maut.  Jalan manusia datang ke dunia ialah melalui saluran yang sama iaitu saluran ibunya.  Begitu juga jalan kejayaan bagi manusia juga adalah sama iaitu bagaimana ia membawa agama dalam kehidupannya.  Kita sebenarnya naib nabi, mempunyai tanggungjawab yang besar iaitu untuk membina kehidupan sendiri dan bertanggungjawab untuk umat seluruh dunia, seluruh alam.  Nabi s.a.w sebagai contoh ikutan terbaik dan kita adalah juga sebagai contoh kepada umat.  Sembahyang bagi seorang mukmin seperti lubang di atas siling, segala kekotoran akan keluar dari dalam rumah.  Rasulullah s.a.w telah tarbiyah dan bangunkan umat ini atas 3 perkara iaitu iman, amal dan akhirat.  Semua amalan manusia di dunia akan dicatat dan akan dihisab dalam kehidupan akhirat.  Sebagai contoh seorang dijadikan gabenor pada zaman khalifah Umar, ia meminta jangan dijadikan gabenor di mana-mana pun.

Hari ini, kita belum membuat kerja.  Dalam masjid kita senang beramal, tetapi di luar masjid lain keadaannya.  Hari ini mahul agama belum wujud, suasana masjid belum wujud dalam bazar. Berbanding dengan sahabat di mana dalam bazar hidup amal  syariat agama. Di zaman Rasulullah s.a.w tempat perkumpulan ialah di masjid, orang kaya seperti Abdul Rahman bin Auf datang ke masjid, Abu Hurairah ketua muhaddithsin datang ke masjid dan ada orang yang datang ke masjid tidak tahu adab masjid dengan kencing berdiri dalam masjid juga datang ke masjid.  Mahul agama telah wujud pada zaman sahabat.  Apa-apa amalan dalam masjid Nabawi telah dibawa balik ke rumah-rumah dan dihantar ke seluruh dunia, sehingga orang yang duduk di Bukhara menerima kesan amal masjid Nabawi. Oleh itu usaha yang sungguh-sungguh perlu dibuat untuk memakmurkan masjid.  Fikir risau agama dan korban apabila ditingkatkan, usaha 2½ jam akan menjadi ringan.

Setiap masa  dan harta seseorang perlu dikaitkan dengan masjid.  Bagaimana sahabat telah menggunakan diri dan harta mereka dengan betul.  Orang yang datang ke masjid adalah orang yang mempunyai talab untuk amal agama. Oleh itu kita perlu ikram dan sediakan orang khariah kita untuk bersama-sama membuat jemaah masjid.  Jika kita menjalani kehidupan ini mengikut kehendak Allah dan Rasul maka kehidupan kita akan selamat dan berjaya, tetapi jikalau kita membuat usaha agama mengikut kemahuan sendiri maka kita akan jatuh/terkeluar dari kerja ini.  Doa seseorang mukmin untuk mendapat penerimaan ia perlu membuat amalan yang mempunyai roh.  Ia perlu menjalani kehidupan mengikut jalan kebaikan dan bukannya jalan syaitan. 

Amal manusia memberi kesan pentadbiran ghaib Allah s.w.t :
                                Riba jadi umum  : Allah tahan hujan
                                Zina jadi umum   : Allah jadikan gempa bumi
                                Mencaci ulamak : Allah turunkan penyakit yang tidak ada sebelum ini.

Jika kita dizalimi kita kena sabar dan minta bantuan Allah s.w.t, jangan menyatakan kesusahan kepada orang lain.  Nabi Musa membuat usaha dakwah yang berterusan maka doanya telah diterima oleh Allah.  Firaun ditenggelamkan dalam Laut Mati.  Hari ini kita perlu membuat 2 amalan, iaitu doa dan sembahyang dengan membuat amal itu doa akan diterima.

Semua yang berlaku di dunia adalah ditangan Allah s.w.t. Ia yang memberi kejayaan dan kehinaan, yang menghidupkan dan yang mematikan.  Kaum Nabi Musa telah gunakan doa dan sembahyang untuk tarik bantuan Allah s.w.t sehingga Allah s.w.t  perkenankan semua doanya.  Kaum Kibti telah jumpa Bani Israel untuk doa kepada bertentangan dengan Nabi Musa.  Ia sembahyang istikharah minta pertunjuk dari Allah, Allah s.w.t memberitahu jangan doa yang bertentangan dengan Nabi Musa.  Allah s.w.t akan tarik rezeki yang diberi.  Kaum Firaun datang lagi kepada Bani Israel memberi tawaran emas.  Ia telah tamak dan doa bertentangan dengan Nabi Musa.  Mulut orang itu Allah s.w.t tarik lidahnya menjadi panjang sampai ke dadanya dan badannya menjadi lumpuh.  Allah s.w.t telah tarik kekuatan doa.

Manusia yang melanggar perintah Allah tidak akan ada ketenangan.  Pendosa, hatinya gelap dan tidak ada kemampuan menerima kebaikan.  Maulana Ilyas rah.  ketika hendak meninggal ia berkata kepada Maulana Yusuf rah., usaha agama adalah sebagai satu kerja, jika dibuat main-main ia akan menjadi main-mainan tetapi jika ia dibuat bersungguh-sungguh ia akan memberi kesan yang luar biasa.

Maulana Yusuf memberitahu jika masjid kita seperti masjid Nabawi, sekarang Allah yang sama yang membantu sahabat, kita juga akan mendapat bantuan yang sama.  Jika ahli jemaah kita fikir akhirat, sentiasa sibuk ziarah dan hidup dengan kasih sayang, maka kita juga akan dapat bantuan Allah seperti mana Allah yang sama memberi bantuan kepada sahabat.  Hari ini bantuan Allah tidak turun kepada kita kerana kita yang membuat kerja ini tiada sifat.  Sifat enam prinsip belum datang lagi dalam kehidupan.

Amal jemaah masjid seperti bangun tengah malam minta keampunan, ulang-alik ke masjid memakmurkan rumah Allah dan berulang-alik menziarahi satu sama lain, maka orang melakukan amalan ini kedudukannya ditinggikan oleh Allah s.w.t atau hampir dengan Allah.

Sahabat-sahabat ahli Badar kedudukannya tinggi disisi Allah, menyebut nama mereka dan kemudiannya berdoa, maka doanya tidak ditolak oleh Allah s.w.t.  Amalan jemaah masjid apabila hidup di sesuatu kawasan, jika Allah turunkan azab di kawasan itu, Allah s.w.t akan tarik azab di situ.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir