mesyuarat malaysia 1994 - maulana umar (2)

Allah s.w.t wujudkan dua kehidupan iaitu kehidupan dunia dan akhirat. Siapa yang taat di dunia akan ke syurga dan yang engkar ke neraka. Jalan yang di redhai Allah adalah jalan iman dan amal. Jalan yang dimurkaiNya adalah jalan yang sesat.

Kehidupan di dunia yang menjalani jalan taat amat susah diikuti, itulah jalan para nabi yang membawa ke syurga. Ia bertentangan dengan kehendak hati. Jalan yang lurus ini mengikut kehendak Allah, tidak bebas, segala anggota mesti taat Allah. Ia seperti seorang pesakit yang taat doktor, segala arahan diikuti. Awalnya, memanglah sukar untuk makan ubat dan pantang yang diarahkan tapi akhirnya ia akan sihat.

Amal ijtima’i rosak maka musibah ijtima’i akan menyusul. Begitu juga dengan kerosakan amal infradi, musibah infradi akan datang. Amal ijtima’i rosak seperti Firaun yang mempunyai kerajaan yang besar akhirnya dimusnahkan bersama-sama rakyatnya dalam laut. Tapi Qarun yang rosak infradinya sahaja, dimusnahkan Allah bersendirian bersama hartanya.

Apa itu amal infradi? Iaitu setiap orang mestilah taat hukum Allah. Allah akan anugerahkan nikmat secara infradi. Amal ijtima’i membawa maksud bawa ummat kepada taat Allah.

Nikmat ijtima’i yang datang seperti : 
1. Khalifah (pemerintahan) di muka bumi
2. Suasana agama akan kekal
3. Suasana ketakutan akan ditukarkan pada suasana aman.

Nikmat infradi  pula :
1. Kehidupan yang senang
2. Ketenangan hati akan wujud.

Maksud Quran : “Zahir fasad atas muka bumi ini disebabkan oleh tangan-tangan manusia”.

Dakwah adalah amalan ijtima’i iaitu kita amal dan ajak orang lain pada amal. Seseorang yang amal agama sendirian akan menghadapi kesusahan. Setiap nabi tidak pernah buat kerja sendirian, sentiasa libatkan sahabat-sahabat mereka.

Untuk jadi doktor, satu tempat diperlukan untuk belajar, begitu juga agama, suasana itu penting. Mewujudkan suasana agama melalui dakwah memudahkan amal agama. Usaha dakwah seperti pembesaran sebatang pohon, sedikit demi sedikit.

Enam sifat adalah sebahagian agama, untuk memudahkan amal agama. Seseorang yang amal perkara mungkar akan berubah bila keluar jalan Allah. Walaupun amal mungkar tersebut tidak pernah disebut masa keluar, cuma enam sifat selalu dibincangkan.

Kegelapan memerlukan sedikit cahaya untuk mengecam tongkat atau ular. Keduanya hampir sama. Usaha agama seperti lilin yang dipasang merata-rata dalam kegelapan itu.

Maulana begitu gembira bila melihat orang Malaysia kerana ia akan teringat pada Imam Bukhari, katanya rupa kita sama dengan Imam, yang kecil-kecil dan mata sepet, hidung pun kemek.

Usaha dakwah melibatkan amalan ijtima’i iaitu bawakan ummat kepada Allah dan amalan infradi iaitu setiap diri hendaklah diislahkan.

Contohnya seperti tumbesaran sebatang pokok, asbabnya mestlah betul. Selagi tidak berbuah orang tidak yakin padanya. Buah mestilah manis, jangan warnanya hebat tapi mempunyai rasa yang pahit. Air untuk pokok itu umpama ta’alim. Baja umpama harta dan diri. Suhu sekitar adalah amalan tilawah Quran, zikir, menangis bersama doa. Akarnya pula kalimah tauhid. Dahan-dahan umpama solat, zakat dan haji.

Solat yang khusyuk mempengaruhi amal. Segala anggota mesti mengikut ketetapan masing-masing dan mereka mesti bekerja sama. Ketetapan anggota seperti yang dilakukan Nabi. Contohnya dalam ruku’ tidak dibenarkan baca Quran selain bacaan yang dibaca Nabi.

Hakikat amal bertujuan agar hati takluk untuk laksanakan hukum Allah. Sentiasa lihat kehendak Allah dalam setiap keadaan. Umpama zakat, tetap dikeluarkan walau apa keadaan pun. Sesiapa tunaikan zakat Allah akan tumbuhkan dalam hatinya sifat untuk korbankan harta dijalan Allah.

Apabila suasana agama wujud kita akan sayangkan orang-orang kafir. Sentiasa fikir untuk ikramkan mereka. Barulah wujudnya akhlak. Nabi wujudkan suasana memberi. Memberi adalah satu amalan yang berbuah. Silaturahim yang wujud dikalangan kerabat menghasilkan keberkatan rezeki dan umur. Apa itu keberkatan? Ia adalah kerja yang sepatutnya dibuat oleh 1000 orang cukup diambil Allah dari satu orang sahaja. Sifat memberi tadi akan menyatukan ummat tapi sifat meminta akan menyebabkan ummat bergaduh, berpecah-belah. Dua sifat ini tidak boleh bertembung kerana mereka seteru besar.

Bila menceritakan kehidupan akhirat ceritakanlah bersungguh-sungguh seperti ianya wujud didepan kita. Bawalah orang yang mendengar itu kepada suasana ini. Jangan biarkan cerita ini jadi bahan jenaka bagi mereka.

Dalil-dalil akal dipaparkan Allah dalam Quran berkenaan tauhid (iman) dan risalat iaitu mukjizat para nabi. Apabila Firaun melawan Musa a.s segala mukjizat Musa a.s diakui dalam hatinya oleh Firaun tetapi sifat keakuan telah menyebabkan ia menolak (Maulana baca ayat Quran).

Apabila  Nabi Isa a.s menghidupkan orang mati, mukjizatnya diakui oleh orang Yahudi, itu adalah kurniaan dari Allah. Tapi kaumnya membuat penilaian yang salah. Yahudi mengatakan ia anak zina dan Nasrani pula menganggap ia anak tuhan. Dalil akal diwujudkan Allah tapi mereka tetap tidak menerima.

Apabila Nabi memberitahu hal-hal ghaib, kita mesti mempunyai keyakinan yang penuh. Seperti janji-janji Allah, kubur, mahsyar, malaikat dan sebagainya. Amal buruk dan amal baik tetap memberi kesan. Suasana juga membentuk kita. Pengembala kambing selalunya lembut dan pengembala unta akan mempunyai sifat keras. Sifat mengambil akan membawa kepada amalan dosa.

Mukjizat Nabi iaitu Quran diakui sendiri oleh Abu Jahal. Apa saja yang dilakukan kerabat Nabi dapat ditiru mereka tapi Quran sedikit pun kerabat Abu Jahal tidak dapat menirunya. Tapi ia tetap menolak dakwah Nabi kerana sifat assobiyyah. Sifat assobiyyah adalah sesuatu kebenaran yang kita akui kebenarannya tetapi tidak munasabah dengan kita lalu kita menolaknya. Kebatilan yang kita sedar tentang kebatilannya tetapi munasabah (sesuai) dengan kita terus diterima. Inilah sikap Abu Jahal.

Dari segi tauhid Allah juga memberi dalil-dalil akal yang jelas dalam Quran (Ayat Quran dibaca). Allah jelaskan yang asal kejadian kita dari bahan-bahan yang terpencar-pencar atas muka alam ini seperti tanah, air dan api. Dari bahan-bahan itu menghasilkan tumbuhan, binatang dan segala bahan makanan manusia. Makanan tersebut membentuk darah yang menjadi sumber tenaga dan kekuatan. Selepas mengalami beberapa proses dalam tubuh, darah tersebut bertukar menjadi air mani. Mani itulah mulanya kejadian manusia. Percantuman dua jantina memulakan riwayat kita. Dari mani terus kepada daging lalu tumbuhnya tulang temulang membentuk lembaga dari tahap ke tahap akhirnya ditiupkan roh oleh malaikat. Kejadian kita dalam ruang yang sempit iaitu diperut ibu dan suasana amat gelap. Dari situ kita dilahirkan. Mulanya digelar bayi seterusnya dewasa.

Dari mana semuanya ini? Dari bahan-bahan yang terpencar-pencar seperti tanah, air, api, matahari dan sebagainya. Inilah asalnya manusia. Wujud jadi manusia akhirnya mati dimasukkan kembali dalam ruang yang sempit dan gelap iaitu kubur. Hancur kembali kepada kejadian asal. Semuanya dirakamkan di dalam Quran.

Kerja dakwah adalah kerja ijtima’i yang dilakukan secara beransur-ansur untuk menghasilkan keyakinan iman. Iman dibuktikan dengan kesempurnaan solat. Kelebihan solat ia dapat cegah fahsya’ dan mungkar, nusrah Allah akan bersama kita dan nur hidayat akan dikurniakan pada kita iaitu cahaya dalam kegelapan. Kefahaman akan diberi untuk mengenali amal mana yang membawa kejayaan. Bila dibentangkan didepannya (buat pilihan) amal mana yang patut dikerjakan. Kita akan dapat membezakannya.

Untuk mendapat hakikat ini dua amal mesti dikerjakan:
1. Dalam solat hendaklah mencontohi solat Nabi.
2. Tumpuan terhadap Allah mesti diutamakan ketika solat.

Untuk mendapat tawajjuh dalam solat kerjakanlah amal tilawatul Quran, zikir dan doa. Hati akan takluk pada Allah bila kesempurnaan kalimah, solat, ilmu dan zikir.
  
Hakikat ikram datang bila dua kerja dijalankan:
1. Tidak mengambil hak orang lain iaitu sentiasa adilkan nisab. Tunaikan hak mereka. Ini dipanggil akhlak.

2. Simpati pada orang lain. Sentiasa baik pada orang lain. Berikan lebih dari haknya. Ini dipanggil ihsan.

Allah amat menyukai kita ambil dariNya berikan pada manusia tapi akan dimurkaiNya sifat suka mengambil dari manusia.

Untuk mendapat hakikat solat :
1. Yakin kalimah datang dari dakwah dan korban.
2. Yakin yang betul dari ta’alim fadhail amal.
3. Tarekat yang betul dari ta’alim masa’il.
4. Tawajjuh dari zikir.
5. Ikhlas dari dakwah dan pengorbanan yang menghasilkan iman.

Ahli maksiat seperti kanak-kanak yang berlumuran dengan najis. Tangkaplah mereka, bersihkan najis tersebut, ibunya pasti gembira dan mendakapnya dengan kasih sayang.

Untuk mendapat hakikat ikhlas, buat kerja agama bersugguh-sungguh, korbankan dunia ini, pastikan kepunyaan kita sendiri. Jika korbankan orang lain punya, satu masa nanti ikhlas akan tercabut.

Dakwah Nabi Musa a.s tidak diterima Firaun walaupun ia mengakui kebenarannya. Nabi s.a.w tetap meneruskan usaha walaupun berbagai rintangan yang hebat dihadapinya. Syaitan akan ketawakan kita bila kita kata segala masalah yang besar dihadapi sekarang selesai barulah saya akan buat kerja dakwah sungguh-sungguh. Semua para anbiya a.s. menghadapi masalah yang besar ketika menghidupkan kerja ini. Nabi besar kita menghadapi 12,000 Yahudi menentangnya ketika dakwah dijalankan.

Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal dan wafat pada tarikh dan bulan yang sama. Sepeninggalannya, masalah yang besar tetap wujud seperti kemurtadan, nabi palsu, ancaman Rom dan Farsi dan berbagai  masalah lagi. Untuk mereka (para sahabat) yang tetap menjalankan kerja dakwah, masalah yang timbul menambahkan lagi kelazatan  iman mereka setelah bermujahadah.

Dalam usaha agama akhlak itu amat penting. Kita dapat lihat dalam kehidupan sahabat. Tahun ke-6 hijrah iaitu ketika perjanjian Hudaibiyah termetera bilangan sahabat hanya 1500 orang sahaja. Tahun ke-8 hijrah ketika peristiwa Fatah Mekah bilangan meningkat ke 10,000 orang. Tahun kemuncak pada 10 hijrah ketika Haji Wida’ bilangan orang Islam sampai ke tahap 124,000. Peningkatan yang begitu cepat adalah kerana orang kafir tertarik dengan kemuliaan sifat sahabat.

Selepas 3 bulan Haji Wida’, Rasulullah s.a.w wafat, umat Islam didatangi masalah baru dan besar iaitu nabi palsu, kemurtadan, keengganan bayar zakat dan ancaman dari Rom dan Farsi. Kabilah pendalaman yang murtad adalah dari golongan yang masuk Islam dengan mudah tanpa pengorbanan. Mudah masuk mudahlah keluar. Peristiwa Fatah Mekah, orang Islam memberi dua pilihan pada mereka iaitu terima Islam atau pun bayar jizyah. Bila mereka pilih untuk bayar jizyah, mereka adalah rakyat pemerintahan Islam. Sahabat mempamerkan akhlak & mua'syarat yang begitu tinggi menyebabkan mereka menerima Islam. Orang kafir dapat melihat perbezaan yang jauh antara kehidupan mereka dan para sahabat.

Orang Arab memahami bahasa Quran apabila Abu Bakar r.a membaca Quran di luar rumahnya, mereka mengerumuninya dengan perasaan penuh kagum dan mula tertarik. Ini merisaukan pemuka-pemuka, mereka akhirnya meminta Abu Bakar r.a membaca Quran di dalam rumahnya.

Nabi s.a.w selalu membaca Quran di rumahnya pada waktu malam dan bacaan itu menyebabkan Abu Jahal, Aknah Suraih dan Abu Suffian sentiasa mencuri-curi dengar. Siangnya mereka menyeksa orang-orang Islam. Satu malam sedang mereka asyik mendengar Quran dialunkan Nabi, mereka telah bertembung dan masing-masing menyalahkan satu dengan lain. Walaupun dalam hati mereka tetap tertarik pada keindahan Quran. Mereka berjanji tidak akan datang lagi. Malam esoknya masing-masing tidak dapat menahan rontaan hati supaya mendengar bacaan Nabi. Mereka pergi lagi dengan penuh hati-hati tetapi bertembung lagi lalu berundur dengan muka malu.

Sebenarnya orang kafir menolak Islam kerana keakuan mereka. Apabila Nabi wafat, ramai yang murtad. Ajal yang sampai tidak siapa yang boleh lambatkan atau cepatkan. Kedegilan orang kafir, mereka sanggup beri maut tapi menerima Islam tidak sama sekali, begitu juga kita walau maut yang datang menerima kekufuran mereka, tidak sama sekali.

Orang yang telah mati dapat melihat apa balasan amal mereka ketika di dunia. Ini telah dinyatakan dalam kitab-kitab yang diturunkan dari langit. Bersyukurlah kita tetap beriman walaupun setelah ribuan tahun ditinggalkan Baginda Nabi s.a.w. Kabilah yang murtad tadi, sebenarnya kabilah yang tidak banyak mengalami mujahadah.

Jika sesuatu masalah atau rintangan datang dalam usaha, lihat kembali usaha yang telah kita buat sama ada betul atau sebaliknya, jika salah musibah yang besar akan datang. Ini adalah usul.

Zaman Umar r.a. harta halal datang melimpah ruah. Harta ini tidak menimbulkan masalah kerana kehidupannya betul-betul menyerupai Nabi. Harta ini dibelanja untuk ummat sahaja. Harta selalunya menumbuhkan penyakit cinta dunia, israf iaitu membazir, menuntut hak dan akhirnya melarat kepada pecah-belah.

Abu Bakar r.a seorang yang lembut tetapi Umar r.a keras. Sentiasa hubungkan dua golongan ini. Kehidupan akan aman bila kita berebut untuk jadi orang bawahan. Si lembut dan si keras tadi umpama gigi dan lidah. Berada dalam satu mulut. Masing-masing ada tugas dan sama penting. Penghubung antara mereka adalah seorang yang mempunyai maqam yang tinggi.

Kemajuan akan datang pada kita bila sentiasa lihat kelemahan diri, menangis di depan Allah dan buat kerja dalam kebimbangan. Tapi orang yang mundur itu tidak buat kerja tapi inginkan nama. Kata hadrat Umar r.a, “Maqam kita di langit boleh dilihat dengan keadaan hubungan kita dengan saudara kita di bumi ini”.

Setiap kita berbeza sifatnya. Ini kurniaan Allah s.w.t. Sabda Nabi, “Roh yang dikumpulkan dalam alam arwah ada kesesuaiannya antara satu sama lain”. Menolak hak itulah yang dipanggil assobiyyah. Masalah di zaman Abu Bakar r.a begitu besar. Fikirnya untuk selamatkan orang-orang yang telah murtad. Kerana jika maut datang menjemput, masalah neraka akan mereka hadapi. Maka baginya tindakan terhadap mereka mesti didahulukan. Fikir Umar r.a pula mesti selamatkan Ummul Mukminat dulu. Lembut dan keras ini jika dihubungkan dengan baik, kebaikan akan terhasil.

Suatu hari seorang datang menghadap Abu Bakar r.a memohon tanah, setelah berbincang dengan hanya beberapa orang, Abu Bakar meluluskannya. Sehelai kertas tanda hak milik diserahkan. Pemilik tanah tersebut suatu hari menunjukkan surat itu pada Umar. Umar mencampakkan surat itu dengan mengatakan mengapa Abu Bakar telah membuat keputusan tanpa mesyuarat ramai. Pemohon tadi pergi menghadap Abu Bakar kembali dan menceritakan bantahan Umar. Kata Abu Bakar, “Mesyuarat tidak semestinya memanggil semua orang, sebenarnya Umar lebih layak jadi khalifah tapi ia telah meletakkan tanggungjawab atas bahuku”. Masalah akan selesai bila keras dan lembut ditangani dengan hikmah. Orang yang buat usaha agama jangan terlampau lembut atau terlalu keras. Lembut jangan sampai jadi malas.

Satu kabilah datang ke Madinah, mereka berkhemah di luar Madinah. Ketika itu zaman Umar r.a memerintah. Ia bimbang kabilah itu dirompak lalu Umar r.a sendiri yang pergi mengawalnya. Ia selalu membantu keluarga yang miskin sedangkan mereka pernah mengucapkan perkataan yang memarahi khalifah tanpa disedari yang membantu mereka pada malan itu adalah Umar sendiri. Umar r.a menangis bimbang tentang keadaan keluarga tersebut. Bagaimana ia hendak menghadapi soalan Allah s.w.t di akhirat kelak. Sekeras-kerasnya tetapi wujud taqwa dalam kehidupannya.

Keadaan yang baik wujud di bumi iaitu kita disukai oleh ahli bumi maka begitu jugalah pandangan ahli langit pada kita.

Satu masa di Madinah seorang yang jahat mati, penduduk Madinah gembira. Sabda Nabi, “Wajib neraka”. Seorang lain datang lalu memperihalkan tentang kebaikan yang pernah dia lihat dilakukan oleh orang tadi. Jawab Nabi, “Wajib syurga baginya”. Nabi ditanya maksudnya. Sabda Nabi, “Pada awalnya ia akan disiksa Allah tapi akhirnya Allah akan ampunkannya kerana kebaikan itu”.

Umar r.a menangis ketika hampir wafat, bimbang jika ada orang Islam yang tidak menyukainya. Saiyyidina Abbas menenangkan Umar, “Janganlah engkau bimbang, Nabi dan Abu Bakar menyenangi mu”.

Dalam hadith ada tercatat dua azab yang hebat di akhirat kelak iaitu pembunuh unta Nabi Solih a.s dan pembunuh Saiyyidina Ali (Abdul Rahman Muljim). Abdul Rahman Muljim, zakirin sekalipun, kerana ia jadi asbab fitnah ia tetap disiksa.

Saiyyidina Umar mati meninggalkan hutang 84,000 dirham, kesemuanya digunakan untuk masalah ummat, tidak untuk diri sendiri.

Abu Bakar r.a banyak memberi tanggungjawab pada Khalid Al Walid, berbeza dengan Umar r.a sentiasa tugas diserahkan pada Ubaidah b. Jarrah. Masing-masing ada kesesuaian. Sebab itu zaman Umar menjadi khalifah, Khalid Al Walid dilucutkan jawatan. Diserahkan jawatan itu pada Ubaidah. Ketaatan boleh dilihat dalam kisah perbualan antara Umar yang disangkakan Al-Qamah dengan Khalid Al-Walid dalam kegelapan Madinah. Mereka tetap taat keputusan Amer dan banyak mendepankan kepentingan ummat dalam menghadapi fikir dan perasaan diri sendiri. Hingga kata Umar pada Al-Qamah, “Jika begini sifat orang Islam maka Allah akan majukan ummat atas muka bumi ini”.

Umar r.a sentiasa melakukan penyelidikan untuk kebaikan ummat. Seperti kisah di atas. Malah ketika dia memerintah, sentiasa meronda melihat keadaan rakyat. Menyelidik keadaan ummat untuk diselesaikan bukan untuk menyalahkan dan memberi hukuman. Ini dipanggil tafaqqud, ia halal dan ibadat. Tapi mencari-cari keburukan ummat bukan untuk memajukannya tapi mengaibkannya adalah haram iaitu dipanggil tajassus.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir