mesyuarat malaysia 1992 - dr farooq

16/08/1992


Hendaklah kita semua bersyukur kerana Allah s.w.t telah kurniakan kerja yang mulia ini kepada kita dan melalui usaha ini Dia telah menghubungkan hati-hati kita semua.

Tuan-tuan telah dipilih oleh Allah untuk menjalankan usaha ini. Semoga tuan-tuan menyebarkan kebaikan dan hidayah di tempat tuan-tuan, dan diharap ada juga di kalangan tuan-tuan yang di beri taufiq untuk di hantar ke negara-negara jauh.

Kita perolehi nikmat ini (nikmat usaha dakwah) bukanlah daripada hasil usaha kita sendiri tetapi semata-mata kerana kurniaan Allah s.w.t kepada kita.

Walaupun manusia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan nikmat ini, namun tidak ada sesiapa pun yang akan memperolehinya melainkan semata-mata kerana kemurahan Allah s.w.t sahaja.

Kurniaan ini adalah perkara yang ajaib. Apabila Allah s.w.t hendak kurniakan sesuatu kepada hambaNya, tidak ada siapa yang dapat menghalangnya. Tetapi jika Allah tidak mahu kurniakannya, tiada sesiapa pun yang dapat memberinya.

Apabila Allah s.w.t hendak berikan hidayah atau nikmat perjuangan agama ini, manusia datang dari jauh seperti Sulaiman Al-Farisi, Abu Zar Al-Ghifari dan sebagainya, tetapi orang yang Allah s.w.t tidak mahu berikan kebaikan ini kepadanya, dia tidak akan berselera walau daripada keluarga Nabi s.a.w dan tinggal serumah dengan Nabi s.a.w.

Kita mesti mengaku di hadapan Allah s.w.t bahawa kita lemah, semata-mata mengharapkan rahmatNya.

Perkara-perkara dunia Allah s.w.t kurniakan kepada sesiapa sahaja sama ada orang-orang yang Dia murka atau orang-orang yang Dia kasih, tetapi perkara agama hanya dikurniakan-Nya kepada orang-orang yang dikasihiNya sahaja.

Tuan-tuan datang di atas maksud yang besar iaitu:
1. Untuk melihat sama ada tahap fikir dan pengorbanan kita terhadap Islam dan ummat meningkat atau tidak.
2. Untuk meneliti adakah kita melaksanakan kewajipan kita dengan betul mengikut Al-Quran dan Sunnah atau sebaliknya.

Kami di sini bimbang takut-takut kita sudah berpuas hati dan memadai dengan tahap sekarang, sebab kalau demikian kita tidak akan meningkat ke peringkat tinggi di dalam usaha nabuwwah ini.

Satu daripada cara syaitan menipu kita ialah dengan menunjukkan kepada orang yang lebih lemah dan jahil daripada kita, walhal Rasulullah s.a.w mengajar kita supaya di dalam perkara agama hendaklah kita melihat kepada orang yang lebih tinggi daripada kita, tetapi di dalam perkara duniawi kita hendaklah melihat kepada orang yang lebih rendah daripada kita.

Di dalam menjalankan tugas-tugas dakwah hendaklah kita laksanakan kewajipan kita terhadap keluarga kita, jiran-jiran kita, kaum kerabat terdekat, serta orang-orang kampung kita, negara kita dan seluruh ummat manusia, jangan asyik memikirkan hal di dalam rumah sendiri sahaja.

Pada asalnya kerja tabligh ini di hidupkan kembali di dalam sebuah masjid kecil di Nizamuddin ini. Kemudian ia berkembang ke seluruh dunia. Demikian di harap tuan-tuan kembangkan fikir dan usaha ini daripada tempat tuan-tuan sekalian.

Usaha dakwah adalah usaha yang paling tinggi dan mulia, maka usaha ini Allah s.w.t telah kurniakan kepada insan yang paling mulia di kalangan hamba-hambaNya, iaitu para nabi dan rasul.

Sekarang Allah telah anugerahkan kerja nabuwwah ini kepada kita ummat Islam. Ummat Islam adalah ummat yang dimuliakan sebagai penyambung usaha kenabian di muka bumi pada akhir zaman ini.

Dengan usul-usul dan tertib-tertib dakwah yang Allah s.w.t ajarkan kepada Rasulullah s.a.w, itu jugalah yang Baginda s.a.w bawa dan pimpin para sahabat r.a.

Apabila jemaah-jemaah di bentuk, lalu di beri penerangan (bayan hidayat) dan doa barulah jemaah-jemaah itu dikeluarkan ke tempat-tempat yang dikehendaki. Kemudian jemaah-jemaah itu balik memberi laporan (karguzari) dan kerja-kerja pun di perbetulkan. Selepas diberi nasihat dan didoakan barulah jemaah itu bersurai untuk menghidupkan kerja-kerja marhallah tempatan masing-masing, di samping keluarga dan jiran-jiran.

Sekarang kita berkumpul untuk membincangkan tentang usul-usul dan tertib-tertib di dalam kerja ini.

Usul-usul dan tertib-tertib yang kita dengar di sini (di Nizamuddin) bukanlah daripada fikiran Maulana Ilyas rah. tetapi adalah daripada Al-Quran, Hadith, Sirah Nabawi dan kehidupan para Sahabat r.a.

Kerja (dakwah) tabligh bukanlah kerja satu persatuan atau pertubuhan, tetapi adalah sebagai amalan kenabian dan kerja orang-orang Islam.

Maulana Ilyas rah. tidak pernah merujuk kerja ini kepada mana-mana badan atau pertubuhan Islam di dunia ini. Oleh itu, untuk memahami kerja ini, kita datang ke sini untuk berbincang dan bermuzakarah bagi mencari dan mamahami usul-usul yang sebenar dan asli.

Orang-orang yang membuat kerja dakwah mestilah melihat sesuatu dengan betul, iaitu dengan menilik kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t, sedangkan orang-orang duniawi sentiasa melihat makhluk, nampak makhluk dan berfikir tentang makhluk (iaitu perkara-perkara zahiriah)

Seorang peniaga melihat manusia untuk mendapat keuntungan dunia, mencari pelanggan dan orang-orang politik pula mencari penyokong tetapi seorang pendakwah mesti melihat manusia untuk hidayah dan kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat. Seorang pendakwah mesti fikirkan, “Apakah kebaikan yang dapat saya berikan kepada orang lain? Bagaimana saya dapat berkorban untuk kebaikan insan  ini ?”.

Kita perlu berfikir untuk membantu orang lain dan majukan orang lain juga di dalam perkara agama.

Usaha dakwah ini ada dua landasan. Kita perlu kepada landasan. Selama sebuah keretapi berada di atas dua landasan, ia akan selamat sampai ke tempat yang dituju. Kalau tidak betul-betul mengikut landasan bererti ia di dalam bahaya. Burung juga ada dua sayap. satu sayap tak boleh terbang

Usaha dakwah juga mesti ada dua unsur :
1. sentiasa fikir bagaimana hendak tambahkan pengorbanan kita.
2. sentiasa belajar dan tambahkan kefahaman kita di dalam kerja ini.

Oleh itu, selalulah bertanya serta belajar dan buat kerja ini dengan mengikut cara yang betul. Perlu ada majlis-majlis seperti majlis muzakarah, majlis ilmu kitab dan hikmah dan sebagainya.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir