1996 - bayan masturat maulana syamim

11/10/1996 - Kg. Dato Abu Bakar Baginda

Segala apa yang diciptakan oleh Allah s.w.t diciptakan untuk kita semua. Kita semua pula dijadikan untuk suatu maksud yang mulia, untuk membawa sifat-sifat yang mulia di dalam diri kita. Jangan kita lupa maksud kita kerana itulah keunggulan kita. Selagi kita menunaikan maksud ini Allah s.w.t akan memberi faedah daripada segala ciptaanNya. Kalau kita abaikan maksud kita, kita tidak akan dapat menafaat daripada rupa dan bentuk iaitu wang, rumah, kecantikan, dsb. Malah kita akan dapat kerugian.

Maksud kita dihantar ke dunia ini bukan sekadar silaki mencari makan dan siperempuan masak, tapi adalah bagaimana kita boleh bawa agama kepada diri kita dan seluruh alam. Dari hari pertama kerasulan, Rasulullah s.a.w tidak berseorangan, tetapi bersamanya adalah Khadijah r.a (seorang perempuan), Abu Bakar r.a (seorang lelaki), Ali r.a (seorang budak), Zaid r.a (seorang hamba). Setiap macam orang dapat difahamkan maksud hidup mereka.

Yang paling awal masuk Islam adalah kaum wanita (Khadijah r.a). Yang paling awal korban nyawa untuk agama adalah kaum wanita (Sumaiyyah r.a). Yang paling awal korban harta untuk agama adalah kaum wanita (Khadijah r.a).

Selepas Rasulullah s.a.w berjumpa Jibrail a.s, dipeluk, dsb. dan mendapat kenabian, yang beri dorongan utama dan sympathiser utama adalah Khadijah r.a. Dia memujuk Rasulullah s.a.w dan membawanya berjumpa pakciknya Waraqah bin Naufal, yang mengatakan bahawa itulah malaikat seperti yang datang kepada Musa a.s, dan kalau dia muda dia akan ikut Rasulullah s.a.w dan bersama Baginda s.a.w bila kaum Baginda s.a.w menghalau Baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w ketakutan, dan Khadijah r.a bersimpati dan berakhlak baik dan dengan itu dapat sediakan hati Rasulullah s.a.w untuk memikul kenabian. Sejarah menunjukkan bahawa nabi-nabi a.s yang mendapat sokongan isteri-isteri mereka r.a lebih berhasil.

Wanita mempunyai kuasa yang besar. Kalau wanita beragama, maka agama akan tersebar ke seluruh manusia. Wanita diperbuat daripada tulang rusuk kiri. Tulang ini dekat dengan hati - wanita sangat mudah untuk mempengaruhi lelaki. Sebab itulah musuh Islam menggunakan wanita untuk rosakkan Islam - mereka merosakkan wanita-wanita Islam.

Wanita mempunyai tanggungjawab yang besar. Wanita lebih ramai di dunia ini - wanita adalah 2/3 dari penduduk dunia. Kalau wanita beragama bermakna 2/3 dunia beragama. Walaupun tiada nabi wanita, tetapi setiap nabi a.s lahir daripada wanita. Ada nabi a.s tiada bapa tapi tiada yang tiada ibu. Wanitalah yang memberi dorongan dan didikan. Anak-anak dibentuk oleh ibu.

Allah s.w.t telah beri wanita hikmah dan kebijaksanaan bagaimana nak ambil kerja dari orang lain. Misalnya, dia boleh suruh dan pujuk suami atau anak supaya pergi ke kedai 5 atau 10 kali. Bila ini digunakan untuk agama, mustahil suaminya atau anaknya tidak beragama jika dikehendaki oleh seseorang wanita itu. Gunalah hikmah dan kebijaksanaan ini supaya rumahtangga kita jadi tempat tersebarnya hidayat. Kalau tidak, ia akan jadi tempat tersebarnya kesesatan.

Sahabat Amar bin Jamuh r.a mempunyai kaki yang tempang tetapi hati yang ingin keluar ke jalan Allah s.w.t di medan Uhud. Isterinya sedih dan inginkan supaya beliau dapat pergi. Isterinya gunakan hikmah sindiran dengan mengatakan bahawa beliau bukan betul-betul nak pergi sangat. Dengan itu, Amar bin Jamuh r.a pergi berjumpa Rasulullah s.a.w dan desak juga supaya dibenarkan pergi. Beliau ingin berjalan di syurga dengan kakinya yang tempang. Setelah dibenarkan, beliau pergi dan syahid di Uhud. Isterinya pergi ke Uhud untuk membawa mayat suaminya untuk ditanam di Madinah, tetapi unta yang membawa mayat itu tidak mahu pulang ke Madinah. Bila ditanya Rasulullah s.a.w, isterinya memberitahu yang beliau telah doa tiga kali supaya beliau tidak kembali ke keluarga. Rasulullah s.a.w beritahu yang doa beliau telah diterima. Beliau dikebumikan bersama para syuhada' di Uhud.

Keinginan sahabiah r.a adalah supaya mereka bangun di hari qiamat dipanggil ibu kepada syahid, isteri kepada syahid, dsb. Hari ini keinginan kita adalah bagaimana kita dapat rumah besar, dsb. Setiap sahabiah r.a berkeinginan untuk ahli keluarga mereka syahid lebih daripada keinginan kita untuk rumah besar. Ini semua kerana cinta mereka kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.

Ketika Uhud wanita-wanita telah mendengar khabar angin bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Mereka bertanya kepada orang-orang yang balik daripada Uhud, mengapa mereka balik! Kalau begitu biarlah mereka yang balik ini memakai gelang-gelang mereka (yakni jadi perempuan) dan biarlah mereka yang pergi ke Uhud!

Seorang wanita r.a diberitahu bapanya syahid, suaminya syahid, dan seterusnya, tetapi beliau bukan nak tahu ini - yang beliau nak tahu adalah samada Rasulullah s.a.w selamat. Bila beliau mengetahui yang Rasulullah s.a.w selamat, beliau syukur yang Rasulullah s.a.w selamat, yang bermakna agama selamat. Jika Rasulullah s.a.w tak selamat walaupun suaminya dsb. selamat, agama tak juga selamat. Beginilah semangat mereka.

Sekiranya wanita mahu kembangkan agama di dalam rumahnya, Allah s.w.t akan buat sebab Allah s.w.t telah beri kebolehan kepada mereka. Di tempat saya ada seorang doktor yang isterinya kuat agama, dan dia ingin menyuruh suaminya simpan janggut. Dia telah bermesyuarat dengan isteri tukang rambut dan menyuruhnya datang ke rumah dan tajamkan pisau. Bila suaminya bertanya kenapa, dia kata dia nak cukur rambutnya. Suaminya kata, "Eh, hodoh!" dan dia kata, "Abang lagi hodoh sebab potong sunnah Rasulullah s.a.w". Dengan itu suaminya mula simpan janggut. Allah s.w.t beri wanita kelebihan dan kebijaksanaan untuk bawa agama.

Wanita mempunyai tiga tanggungjawab. Yang pertama adalah ketaatan kepada suami. Ini sebahagian agama yang besar. Kalau seorang wanita tidak taat kepada suaminya, ibadatnya tidak diterima. Amal-amal lebihan yang hendak dibuat perlu minta izin suami, kalau tidak, tak dapat pahala. Apabila ada taat, ini menjadi asbab untuk suami-isteri berdua beragama dalam rumah dan berdua dalam syurga, di mana katil isteri sebelah katil suami. Kecantikan isteri lebih daripada jumlah kecantikan bidadari, nurnya lebih daripada jumlah nur bidadari, cintanya lebih daripada jumlah cinta bidadari, dan semua ini untuk selama-lamanya. Taat suami adalah penting. Sahabat r.a ingin sujud kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w beritahu bahawa jika Allah s.w.t benarkan sujud kepada selain daripadaNya, Baginda s.a.w akan meyuruh isteri-isteri sujud kepada suami mereka. Apabila isteri taat kepada suami dan mempunyai azamah (kebesaran) suami, ibadatnya diterima dan sifat-sifat baik datang. Kasih-sayang pun datang dan membawa kemakmuran rumah-tangga. Kalau tidak, sebaliknya berlaku. Usahakanlah sifat taat ini.

Memang tanggungjawab suami adalah untuk cari makan, tempat tinggal dsb. tapi kalau kerana usaha agama dia tak dapat nak tunaikan hak itu, isteri tak boleh tuntut. Sekali isteri-isteri Rasulullah s.a.w meminta hak mereka, dan Rasulullah s.a.w asingkan diri Baginda s.a.w daripada mereka selama sebulan. Berita angin yang Rasulullah s.a.w telah menceraikan isteri-isteri Baginda s.a.w telah tersebar, dan sahabat-sahabat r.a menangis. Umar r.a pergi minta izin untuk berjumpa Rasulullah s.a.w; tiga kali beliau mencuba. Beliau  berkata yang beliau bukan nak berpihak kepada anaknya Hafsah r.a, tetapi nak bincang perkara-perkara penting, barulah beliau dibenarkan masuk. Setelah berbincang panjang, Umar r.a berkata bahawa wanita mereka (Muhajirin) telah terpengaruh oleh wanita Madinah dan Rasulullah s.a.w pun senyum dan tak berapa marah lagi. Apabila ditanya samada Baginda s.a.w telah menceraikan isteri-isteri Baginda s.a.w, Baginda s.a.w telah menafikannya. Umar r.a minta izin untuk menghebohkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak menceraikan isteri-isteri Baginda. Ayat Quran telah turun yang bermaksud: "Wahai Nabi, beritahu isteri-isteri kamu kalau mereka terima keadaan-keadaan sekarang bolehlah kekal isteri, atau kalau tidak, boleh lepas". Semua isteri Rasulullah s.a.w menangis dan minta maaf dan tak nak apa-apa.

Agamalah yang memberi hak kepada wanita. Kalau agama ada, adalah hak untuk wanita. Kalau tak, tak ada. Kalau orang sibuk untuk agama ini, dan kita minta hak pula, ini kezaliman besar. Pada hari qiamat, bukan mereka disoal, tapi kita disoal.

Wanita ada usul, lelaki pun ada usul. Kalau wanita salah atau silap, janganlah kita marah. Sekali di rumah Aisyah r.a telah datang hidangan madu dari isteri lain untuk Rasulullah s.a.w. Aisyah telah baling madu itu tapi Rasulullah s.a.w tak marah. Kita kena bentuk mereka - seperti Rasulullah s.a.w, Baginda biasa uli tepung, bersihkan rumah dsb. Hari ini kalau isteri kita sakitpun, dia kena kerja juga. Janganlah begitu.

Agamalah yang beri kepada kita hak. Tapi hak agama melebihi hak semua orang. Bila agama makin lenyap, maka lebihlah diperlukan kita memenuhi hak agama. Hari ini agamalah yatim yang terbesar - tak ada rumah yang mahu terima agama. Agama macam seorang bernama Abdul Ghafur yang dibesarkan dalam suasana di mana kalau kesalahan dibuat, ditegur oleh orang-orang tua. Kemudian orang-orang tua dah mati dan tinggallah Abdul Ghafur. Apabila dia membuat teguran, orang-orang muda tak terima dan disuruh keluar. Abdul Ghafur menangis. Dia berjumpa orang lain - Lala - yang bertanya sebab apa dia menangis. Lala pula bersimpati dengan Abdul Ghafur dan mengajaknya datang ke rumahnya dan mengatakan bahawa dia terima Abdul Ghafur. Begitulah hari ini dalam rumah orang Islam tak ada tempat untuk agama, tapi ada orang lain yang haus yang terima. Hari ini orang Amerika terima agama, dan orang Eropah terima agama, tapi orang Islam buang agama. Allah s.w.t tak perlukan kita; kita perlukan Allah s.w.t. Kalau kita tak mahu agama, Allah s.w.t boleh tendang kita dan gunakan orang lain untuk sebarkan agama.

Tanggungjawab kedua para wanita adalah supaya mentarbiyah anak secara Islam, dan mendorong orang-orang lelaki keluar ke jalan Allah s.w.t. Seramai mana orang lelaki keluar sebanyak itulah agama masuk ke dalam rumah dan sebanyak itulah keamanan dan kemakmuran di dalam rumah.

Tanggungjawab ketiga adalah untuk menghidupkan agama dalam diri. Akhlak baik dan sifat malu harus dipupuk. Sembahyang lima waktu harus dijaga pada waktunya. Zikir dibuat pagi dan petang. Masa ditetapkan untuk bacaan Quran. Masa ditetapkan untuk ta'alim harian.
Dengan cara ini, rumah jadi macam masjid, iaitu amal rumah jadi macam amal masjid. Rumah demikian dirahmati dan rahmat tersebar ke rumah-rumah lain.

Kalau kita terima dan peluk agama yang yatim, seperti Halimatussa'diah terima dan peluk Rasulullah s.a.w yang yatim, yang menyebabkan rumahnya dipenuhi berkat dan rahmat, rumah-rumah kita juga dipenuhi berkat dan rahmat. Oleh itu doronglah orang lelaki rumah puan-puan untuk keluar dan tertiblah diri puan-puan beberapa bulan sekali untuk keluar bersama laki-laki. Di tempat kami, ada orang-orang miskin mendorong lelaki mereka keluar: "Allah s.w.t pelihara kami dan abang". Bila mereka habis wang dan nak balik, isteri mereka kata jangan balik dulu - mereka akan jahit, dsb., dan hantar duit kepada suami. Bila mereka balik Allah s.w.t tambahkan berkat di rumah.

Wanita dibenarkan bekerja untuk jalan Allah s.w.t, seperti sahabiah-sahabiah r.a. Kalau keadaan tak cukup kerana agama - wanita dibenarkan kerja, tapi untuk besarkan dunia - tak dibenarkan. Sekali Hassan r.a sakit, dan Ali r.a dan Fatimah r.a nazar untuk berpuasa tiga hari. Ali r.a pergi jumpa seorang Yahudi dan ambil upah buat benang daripada kapas. Fatimah r.a tolong. Dapat upah bijirin dan buat tiga biji roti. Bila nak buka puasa datang seorang fakir dan minta sedekah. Tiga biji roti diberikan dan mereka buka puasa dan sahur dengan air dan tamar. Hari kedua diambil upah lagi dan roti dibuat, dan kali ini datang seorang miskin minta sedekah bila nak buka puasa. Roti diberikan lagi. Hari ketiga diambil upah lagi dan roti dibuat, dan kali ini datang seorang tawanan pula minta sedekah bila nak buka puasa. Roti diberikan lagi. Hari keempat Rasulullah s.a.w datang, dan lihat Fatimah r.a pucat. Allah s.w.t turunkan ayat dalam surah Adh-Dhahr memuji Ali r.a dan Fatimah r.a. Ia jadi asbab untuk agama tersebar.

Hari ini agama dalam keadaan teruk dan kita masih sibuk menambah harta, dan tak benarkan suami keluar ke jalan Allah s.w.t. Macamana agama akan tersebar!?

Berilah nama untuk pergi negara jauh dan untuk suami. Kami nak lihat macamana masturat-masturat lama di sini buat kerja. Masa pun dah habis walaupun benda nak cakap tak habis. Wanita yang beri suami keluar pada hari qiamat akan dibangkitkan dengan keluarga ambia', siddiqin, syuhada' dan solihin. Wanita yang sediakan tempat tidur suami untuk keluar akan masuk syurga 500 tahun dahulu daripada suami mereka yang keluar.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir