jor KL 1999 - bayan subuh (1)

27/05/99 - Sri Petaling


Makhluk ini adalah satu ciptaan yang sangat kecil. Pada pandangan mata kasar kita ia nampak besar, sebenarnya ia adalah kecil. Di Malaysia kita nampak ada kapalterbang, ada kapal laut, ada bas, ada kereta dan kalau kita teruskan perjalanan kita ke tempat lain, ke England, ke Amerika dsbnya, yang mana akan memakan masa berjam-jam kadang-kadang berhari-hari kita dan kena naik kapalterbang, berjalan dari negara ke negara dan kita akan nampak bukit-bukau, gunung-ganang, gunung Himalaya, memang hebat, memang besar tetapi sebenarnya semua ciptaan-ciptaan ini tidak ada apa-apa hakikat.

Memanglah dunia ini besar pada pandangan mata kasar kita. Kita nampak langit, bukit, lautan tetapi tidak ada apa-apa hakikat kerana bila dibandingkan dengan langit yang pertama, dunia yang nampak pada pandangan kita besar dan luas hanyalah seperti kulit bawang yang kecil di satu medan yang begitu luas. Langit yang pertama bila dibandingkan dengan langit yang kedua seperti dunia dibandingkan dengan langit pertama. Begitulah seterusnya langit kedua dibandingkan dengan langit ketiga, langit ketiga dengan langit keempat, langit keempat dengan langit kelima, langit kelima dengan langit keenam, langit keenam dengan langit ketujuh. Bayangkanlah macam mana besarnya Allah s.w.t yang telah ciptakan segalanya ini, tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Betapa besarnya zat Allah s.w.t dan Allah s.w.t jadikan ini semua dengan kudratNya. Apa sahaja yang Allah s.w.t mahu, Dia ciptakan segalanya dengan kudratNya. Kalau Allah s.w.t mahu, Allah s.w.t boleh ciptakan ratusan dan ribuan langit dan bumi seperti ini. Inilah kuasa dan kudrat Allah s.w.t. Kalau kita kenal Allah s.w.t yang maha besar ini, maka di dunia ini kita akan berjaya dan di akhirat pun kita akan berjaya.

Dahulu malaikat tidak ada. Allah s.w.t ciptakan malaikat, malaikat yang besar, Jibrail, Mikhail, Israfil dan Izrail. Ini semua Allah s.w.t jadikan dengan kudrat dan kuasaNya. Macam mana besar dan hebatnya setiap malaikat tersebut. Kalau Jibrail a.s berdiri dalam rupanya yang sebenar maka kepalanya akan berada di langit yang ketujuh dan kakinya akan berada di bumi yang ketujuh. Jibrail a.s ada 600 sayap. Apabila dibuka 2 sayap maka akan tertutuplah dunia ini dari barat ke timur. Kekuatan yang ada pada sayapnya membolehkannya mengangkat dengan hujung sayap sahaja seluruh dunia dan isinya, bukit-bukau, lautan sampailah ke langit. Sebenarnya itu pun tidak ada apa-apa, kekuatan yang diberi oleh Allah s.w.t.

Satu ketika, Rasulullah s.a.w tanya mengenai kelajuan Jibrail a.s. Jibrail a.s jawab, apabila saudara kamu Yusuf a.s dicampakkan ke dalam telaga oleh adik-beradiknya, pada masa itu Jibrail a.s berada di langit yang ketujuh. Jarak di antara bumi dan langit yang pertama ialah 500 tahun jauh perjalanan dan tebal langit pertama ialah 500 tahun, jarak antara langit pertama dan langit kedua 500 tahun dan tebal langit kedua 500 tahun. Begitulah seterusnya langit ketiga, keempat, kelima, keenam dan ketujuh. Bayangkanlah betapa jauhnya malaikat Jibrail a.s berada pada masa itu, di langit ketujuh. Bila mereka campakkan Yusuf a.s ke dalam telaga, Allah s.w.t perintahkan Jibrail a.s pergi dan selamatkan Yusuf a.s dan jangan biarkan dia cedera. Maka Jibrail a.s terus datang dari langit ketujuh ke bumi dan selamatkan Yusuf a.s. Itulah kelajuan malaikat Jibrail a.s. Jibrail a.s sentiasa menunggu perintah Allah s.w.t dan di antara Jibrail a.s dan Allah s.w.t ada 70,000 tabir. Jibrail a.s berada begitu jauh daripada tabir yang pertama, jika dia berdiri hampir dengan tabir yang pertama dia akan hangus terbakar dengan tajalli, kebesaran dan nur Allah s.w.t. Jibrail a.s sentiasa dengar dan dengar dan dengar perintah Allah s.w.t sehingga dia jadi kecil macam burung. Bayangkanlah macam mana besarnya Allah s.w.t yang telah ciptakan ini semua.

Allah s.w.t telah ciptakan satu makhluk yang mana tujuh lapis langit dan bumi dan segala-galanya di sisi makhluk itu cuma satu suap makanan sahaja. Kalaulah Allah s.w.t boleh jadikan makhluk yang begitu besar, maka bagaimana pula besarnya Allah s.w.t itu sendiri.

Di hadapan arash Allah s.w.t ada satu lautan nur yang mana satu gelombangnya sahaja lebih besar daripada tujuh lapis langit dan bumi. Bayangkan macam mana besarnya lautan nur ini. Allah s.w.t begitu besar. Allah s.w.t begitu hebat.
  
Kalau semua pokok-pokok dalam dunia ini dijadikan pena/kalam dan semua lautan dijadikan dakwat dan tulis kebesaran Allah s.w.t, Allah maha besar, Allah maha besar, maka semua pokok-pokok ini akan habis dan semua lautan akan habis tetapi kebesaran Allah s.w.t tidak tertulis dan tidak dapat hendak diceritakan. Allah s.w.t begitu besar dan kita mahu Allah s.w.t bersama dengan kita. Semua orang akan rasa kagum apabila seorang raja atau pemerintah satu negara bersama dengan seseorang atau satu orang yang kuat/gagah/berani bersama dengan seseorang. Betapa hebat dan betapa besar pula jika Allah s.w.t  bersama seseorang. Kalau Allah s.w.t telah bersama kita maka kita telah dapat segala-galanya.  Kita akan berjaya di dunia dan di akhirat.

Allah s.w.t maha besar, Allah s.w.t maha hebat. Untuk memasukkan kebesaran Allah s.w.t dalam hati kita ini , kita perlu cakap kebesaran Allah s.w.t lagi dan lagi. Bukan 100 kali, bukan 1000 kali malah ratusan dan ribuan kali kita kena cakap dan ulang. Kita kena cakap, dengar, fikir dan lihat kebesaran Allah s.w.t ini maka barulah kebesaran Allah s.w.t akan masuk ke dalam hati kita. Kita kena cakap lagi dan lagi, Allah s.w.t yang bagi kejayaan, Allah s.w.t yang bagi kemuliaan, Allah s.w.t yang bagi sakit, Allah s.w.t yang bagi sihat, Allah s.w.t yang menghidupkan, Allah s.w.t yang mematikan, Allah s.w.t yang buat segala-galanya, Allah s.w.t yang memelihara, Allah s.w.t yang bagi kita makan, Allah s.w.t yang turunkan hujan - bukan awan yang turunkan hujan. Cakap berulang-ulang kali tentang kebesaran Allah s.w.t barulah kebesaran Allah s.w.t akan masuk ke dalam hati kita.

Satu kisah, wazifah/amalan satu orang ialah lamatlub illallah, lamaujud illallah, lamaksud illallah, lamakbud illallah, lailaha illallah. Cakap perkara yang sama berulang-ulang kali maka barulah yakin kepada Allah s.w.t akan masuk ke dalam hati kita. Cinta kepada Allah s.w.t akan datang kepada diri kita.

Bila kebesaran Allah s.w.t telah masuk ke dalam hati kita, maka bila hendak mati nanti akan keluar daripada hati melalui bibir kebesaran Allah s.w.t. Jika tidak diusahakan maka bila hendak mati nanti bukan lailaha illallah yang akan keluar, akan keluar benda yang lain. Hati kita telah penuh dengan keyakinan-keyakinan yang fasiq, keyakinan bahawa harta yang beri kejayaan, segala urusan diselesaikan dengan wang ringgit. Jika kita tidak usaha untuk keluarkan  yakin yang fasiq yang ada dalam hati kita maka bila hendak mati nanti benda-benda inilah yang akan keluar daripada bibir kita. Benda yang fasiq ini akan keluar masa kita mati, dalam kubur dan di padang mahsyar. Oleh itu, kita kena usaha. Satu usaha yang panjang, satu jangkamasa yang lama dan perlu pengorbanan untuk masukkan keyakinan kepada kebesaran Allah s.w.t dalam hati kita. Bila kita cakap lagi dan lagi, dakwah perkara ini lagi dan lagi, barulah perkara ini akan masuk ke dalam hati kita. Barulah kita akan dapat mengucap dan kebesaran Allah s.w.t akan keluar dari hati kita bila kita hendak mati nanti, dalam kubur dan seterusnya. Jika tidak diusahakan, maka kita akan menyesal, menangis mengalirkan air mata darah dan nanah untuk selama-lamanya.

Kehidupan akhirat adalah kehidupan yang sebenarnya. Oleh itu apa yang perlu kita buat dalam kehidupan yang sementara ini, yang hanya beberapa minit, beberapa ketika ini ialah kita usaha mengeluarkan keyakinan fasiq, keyakinan pada harta, kuasa, pangkat yang ada dalam hati kepada yakin hanya sanya pada Allah s.w.t, kepada lailaha illallah. Oleh itu kita kena cakap, dengar dan keluar di jalan Allah s.w.t. Usaha perlu dibuat.

Kita kena cakap dan dengar kebesaran Allah s.w.t lagi dan lagi, di tempat kerja, di rumah, dengan anak-isteri, di tempat rehat, di tempat perniagaan. Tiap-tiap hari kita perlu cakap kebesaran Allah s.w.t, barulah keyakinan pada Allah s.w.t akan datang dalam diri kita. Bila ada yakin dengan Allah s.w.t, barulah Allah s.w.t akan bersama kita. Bila Allah s.w.t bersama kita, kita telah dapat segala-galanya. Para sahabat telah usaha selama 13 tahun atas perkara ini. Mereka telah usaha selama 13 tahun untuk tanamkan keyakinan pada Allah s.w.t, tanamkan kebesaran Allah s.w.t dalam hati mereka. Mereka telah cakap, mereka telah dakwah perkara ini, mereka telah korban. Oleh itu Allah s.w.t bersama mereka dan mereka tidak takut pada apapun. Allah s.w.t telah tunjukkan semua pada mereka, mereka tidak takut pada binatang-binatang yang buas, binatang-binatang yang bisa, ular, kalajengking, mereka tidak takut pada siapapun, pada apapun. Mereka yakin pada Allah s.w.t. Allah s.w.t bersama mereka, Allah s.w.t bantu mereka dan Allah s.w.t beri kejayaan pada mereka. Mereka dapat keyakinan ini melalui usaha dakwah.

Satu ketika, Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah berkhemah di satu tempat. Telah datang satu orang yang kuat, gagah, berani, ahli perang. Dia telah datang dengan kuda. Apabila turun dari kuda, dia terus potong kaki kuda tersebut. Maksud dia potong kaki kuda itu ialah hendak beritahu semua orang bahawa dia hendak lawan dan perang sampai mati. Dia tidak ada niat untuk balik, samada dia menang atau mati. Bila satu orang telah buat niat untuk mati, sanggup bagi nyawa maka memanglah dia berani dan tiada siapa pun boleh lawan. Dia cabar, “Siapa hendak lawan dengan saya?”. Para sahabat dan Nabi s.a.w ada disitu dan dengar dan semua ada jasbah/keinginan untuk lawan. Ali r.a terus bangun dan kata, “Saya sedia”. Nabi s.a.w suruh dia duduk. Orang itu cabar lagi. Ali r.a bangun lagi sekali. Rasulullah s.a.w tanya Ali r.a, “Kamu tahu tak siapa orang ini, dia ialah Amar ibni Abdi Huz, satu orang yang memang handal”. Ali kata, “Saya tidak tahu apa-apa pun tentang orang ini dan saya tidak takut kerana Allah s.w.t bersama dengan saya”. Nilainya tidak lebih dari sayap nyamuk. Ali r.a hanya menunggu kebenaran dari Rasulullah s.a.w. Akhirnya Nabi s.a.w beri kebenaran dan Ali r.a terus pergi mengadap orang itu dengan pedangnya. Umur Ali pada masa itu 22-25 tahun dan saiz badannya pun kecil manakala lawannya berumur 32-35 tahun dengan saiz badan yang lebih besar. Apabila orang itu lihat Ali r.a menuju ke hadapan hendak lawan, dia kata hantarlah orang yang padan dengan dia. Dia tidak mahu lawan dengan budak kecil macam Ali r.a. Dia tidak suka pedang dia dibasahi dengan darah orang macam ini. Ali r.a pula kata dia suka pedang dia dibasahi dengan darah orang itu. Apabila mendengar kata-kata Ali r.a tadi, orang besar itu pun marah dan terus menghayun pedang untuk pancung Ali r.a. Allah s.w.t beri kekuatan pada Ali r.a, dia tahan dengan perisai dan perisai itu terbelah dua. Ali r.a terus pancung orang besar itu dan dia pun terbelah dua. Kalau orang-orang biasa berada di situ pada masa itu, mereka akan berkata, “Hidup Ali”, tetapi sahabat kata, “Allahuakbar”, Allah maha besar. Jika Allah s.w.t telah bersama dengan seseorang, maka dia telah dapat segala-galanya. 

Satu ketika, Khalid r.a telah keluar berjihad. Mereka satu jemaah berperang dengan 60,000 orang kafir. Kekuatan Islam hanya satu jemaah yang kecil sahaja. Khalid r.a kata dia seorang sudah cukup untuk lawan dengan 60,000 orang. Beliau kata 60,000 orang ini adalah seperti orang-orang yang mati kerana mereka tidak ingat pada Allah s.w.t manakala orang yang berzikir pada Allah s.w.t adalah orang yang hidup. Dia seorang sudah cukup untuk lawan dengan 60,000 orang malah 100,000 orang pun dia tidak takut. Inilah yakin para sahabat. Mereka tidak yakin pada bilangan. Tetapi hari ini pasti kita akan kata 60,000 orang akan menang bila lawan dengan satu orang kerana yakin kita sudah fasiq. Yakin kita telah rosak. Kita tengok tentera, binatang, manusia, senjata kita jadi takut. Para sahabat ada yakin yang sebenarnya pada Allah s.w.t maka mereka tidak takut pada apapun dan siapapun. Amer jemaah kata pada Khalid r.a, “Apa yang kamu kata itu benar tetapi kamu pergilah dengan satu jemaah” Mula-mula mereka fikir 10 orang sudah cukup, maknanya 1 orang lawan dengan 6,000 orang. Selepas itu mereka mesyuarat lagi dan tambah 60 orang. 60 orang lawan 60,000 orang.

Khalid r.a bersama-sama dengan 60 orang telah pergi berperang. Allah s.w.t bagi mereka faham untuk buat sesuatu kerana mereka orang beriman. Maka Khalid r.a telah buat 6 jemaah. Satu jemaah 10 orang. Dia seorang sahaja ditengah-tengah dan sentiasa akan beri seruan dan laungan. “Kalau kamu dengar suara saya maknanya saya masih hidup”. Mereka telah berperang dari pagi sampai ke petang. Akhirnya Allah s.w.t telah bagi kemenangan pada 60 orang. Kemenangan pada orang Islam yang ada yakin pada Allah s.w.t. Riwayat mengatakan 10,000 orang kafir telah terbunuh dan hanya 10 orang Islam sahaja yang syahid. Siapa bagi kemenangan? Allah s.w.t yang buat semua perkara. Allah s.w.t yang bagi kemenangan. Allah s.w.t yang bagi kemuliaan.

Kita kena cakap perkara ini lagi dan lagi, barulah keyakinan yang sebenarnya, yakin pada Allah s.w.t akan masuk ke dalam hati kita. Kita kena cakap dan dengar perkara ini berulang-ulang kali sehingga kita dapat keyakinan pada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang buat segala-galanya. Allah s.w.t yang bagi kejayaan. Allah s.w.t yang bagi kemuliaan. Kemuliaan bukan dalam harta.

Khalid r.a sentiasa dapat kemenangan dalam setiap peperangan yang disertainya. Sentiasa Allah s.w.t bagi kemenangan padanya. Namanya ialah Khalid Saifullah. Khalid r.a kata dia turun dalam medan peperangan lebih-kurang 100 kali dengan niat untuk mati syahid, untuk bagi nyawa di jalan Allah s.w.t. Dia tidak dapat perkara itu kerana dia ‘Pedang Allah’. Saifullah  tidak boleh dibunuh di medan peperangan.

Satu masa di medan peperangan, dia telah tangkap satu orang Jeneral. Bila periksa badan Jeneral itu, dia terjumpa satu botol kecil yang ada racun. Khalid r.a tanya, “Untuk apa racun ini”. Jeneral kata, “Bila ditangkap dia akan minum racun itu dan mati”. Khalid r.a kata, “Inilah orang-orang yang pengecut, takut”. Bunuh diri kerana tidak ada yakin pada Allah s.w.t. Orang Islam yang beriman, yang ada yakin pada Allah s.w.t tidak akan buat seperti ini. Jeneral kata racun itu begitu kuat, walaupun dituang kedalam satu tong air dan diminum sedikit akan membawa maut. Khalid r.a ambil botol kecil racun itu dan baca beberapa doa dan telan racun itu semua sekali. Jeneral itu pun tunggu kematian Khalid r.a. Setelah tunggu lama, Khalid r.a tidak juga mati. Allah s.w.t yang bagi mati, bukan benda atau makhluk. Keyakinan manusia telah salah, yakin bahawa benda yang bagi maut. Sebenarnya yang menghidupkan dan yang mematikan ialah Allah s.w.t. Racun tidak ada kuasa. Allah s.w.t yang berkuasa. Disebabkan Khalid r.a ada yakin yang betul, maka apabila dia minum racun, dia tidak mati sebaliknya semua penyakit dalam badannya telah sembuh. Apabila Jeneral itu lihat perkara ini maka dia telah masuk Islam.

Dalam bayan mufti ada diberitahu, zakat itu fardhu bagi mereka yang banyak harta. Orang yang tidak cukup harta, tidak fardhu. Para sahabat, mereka minum racun kerana mereka yakin bahawa Allah s.w.t yang menghidupkan dan yang mematikan. Allah s.w.t yang buat segala-galanya. Keyakinan telah pun terbentuk dalam diri mereka. Jangan kita buat seperti itu kerana iman kita belum terbentuk lagi. Iman yakin kita masih lemah. Kita kena usaha atas iman. Bina iman dan yakin kita pada Allah s.w.t.

Bila kita sudah ada kebesaran Allah s.w.t, keyakinan pada Allah s.w.t dalam hati kita bahawa Allah s.w.t yang buat segala-galanya, Allah s.w.t yang menentukan segala-galanya maka macam-macam kita akan dapat. Macam mana hendak perolehi kemahuan kita daripada Allah s.w.t ?  Allah s.w.t bagi kita amal, perintah-perintah Allah s.w.t. Bila iman kita kamil/sempurna, maka amalan kita pun akan sempurna. Kita akan perolehi apa-apa yang kita mahu daripada Allah s.w.t melalui amal, sembahyang.

Seperti anak Harun al-Rasyid, iaitu seorang pemuda, 16 tahun, buat kerja buruh kasar, buat tembok/dinding. Buat kerja dengan dua syarat. Bila waktu sembahyang tiba, dia akan berhenti kerja dan upah yang akan diambil hanyalah 7 dirham. Majikan setuju dengan syarat tersebut. Hari ini, kerana yakin telah rosak pada waktu sembahyang pun kita masih nampak orang tengah bekerja. Tidak ada risau langsung. Azan dilaungkan, masing-masing sibuk dengan urusan. Siapapun tidak peduli dengan azan. Jika kita buat usaha sungguh-sungguh dengan penuh pengorbanan, insya’Allah kita akan rasa tidak ada ketenteraman bila lihat manusia tidak sembahyang. Kita kena korban dan usaha sehingga dalam hati kita ada risau dan bimbang supaya jangan ada satu orang pun berada di luar masjid bila azan dilaungkan. Bila kita nampak ada orang di luar masjid, mereka tidak sembahyang atau mereka tertinggal takbiratul ula , kita akan rasa risau, kita akan rasa rungsing dan bimbang. Sekarang kita tidak ada rasa ini. Bila-bila masa pun, dalam apa keadaan pun, walaupun kita akan dapat keuntugan yang beribu ringgit, walaupun flight penerbangan hendak berlepas, jangan kita tinggal takbiratul ula. Kita akan datang pada tahap ini.

Allah s.w.t beritahu, “Perniagaan mereka yang tidak melalaikan mereka daripada mengingati Allah, bila dengar azan, mereka datang untuk tunaikan perintah Allah s.w.t”. Allah s.w.t panggil mereka rijal. Maulana Syed Ahmad Khan beritahu, dalam Quran Allah s.w.t rujuk rijal ini pada para sahabat. Kita ini muzakkar. Bila kita lihat wanita kita kejar mereka. Bila sahabat lihat wanita, wanita akan takut dengan pandangan mereka, mereka akan jauh dari orang yang macam ini. Dengan rijal ini, apabila tengok wanita akan alihkan pandangan tetapi kita hari ini apabila tengok wanita, kita kejar mereka. Ini perbezaan rijal dan muzakkar.

Anak Harun al-Rasyid, dia sebenarnya rijal. Kita bukan rijal. Mereka adalah orang-orang yang taqwa, yakin pada Allah s.w.t. Bila beliau habis buat kerja pada waktu petang dan majikan pun datang hendak tengok hasil kerja, majikan terkejut dan hairan kerana kerja yang dibuat sepatutnya dibuat oleh 10 orang. Kerja yang sepatutnya dihabiskan dalam masa beberapa hari tetapi telah siap dalam masa sehari sahaja. Majikan tersebut hendak beri upah yang lebih tetapi dia tidak mahu. 7 dirham sudah cukup untuk seminggu. Dia hanya kerja seminggu sekali. Pada hari yang kedua majikan cari dia tetapi tidak jumpa dan tanya orang-orang disitu, mereka kata dia hanya datang seminggu sekali iaitu pada hari Sabtu. Dia bukan jenis orang yang kejar duit, dia tidak perlu pada duit. Dia seorang yang suka buat amal ibadat. Pada hari yang ketujuh dia datang dengan wajahnya penuh dengan nur. Bila dia mula kerja, majikan dia tengok dari belakang, macam mana dia buat kerja. Bila dia angkat batu-batu kecil, batu-batu besar datang sendiri dan susun sendiri. Mutu kerjanya sangat hebat. Orang-orang yang pakar dalam juru bina pada masa itu pun tidak boleh buat macam itu. Dia ialah wali Allah. Mereka-mereka yang jadi auliya Allah, Allah s.w.t akan buat kerja mereka. Allah s.w.t akan bantu dan menyelesaikan kerja dan urusan mereka. Pada mereka, kerja boleh ditinggalkan tetapi sembahyang tidak sekali-kali. Tetapi kita sebaliknya, kita tinggalkan sembahyang untuk kerja. Mereka tinggalkan kerja untuk sembahyang.  Kadang-kadang kerana bas kita tinggalkan sembahyang. Yakin kita telah rosak. Kita tidak ada keyakinan pada perintah-perintah Allah s.w.t dan tidak ada keyakinan dalam amal.

Satu kisah yang lain, seorang peniaga celak/surma. Dia ada seorang pekerja yang baik, orang tua yang jaga sembahyang. Kerja dia ialah pecahkan/hancurkan batu surma hingga jadi serbuk. Tiap-tiap hari selepas sembahyang Isyak, dia akan habiskan wazifah/amalan dia, baca surah al-mulk dan surah as-sajdah (Allah s.w.t akan beri pahala beribadat malam lailatul qadar), selepas itu dia akan sembahyang nafil. Semasa dia sembahyang, batu tumbuk yang digunakan untuk menumbuk surma itu, akan tumbuk sendiri dan menghasilkan surma yang berkualiti tinggi yang di sukai oleh semua orang.

Sesiapa yang jaga sembahyang, Allah s.w.t akan bereskan urusan dia. Allah s.w.t akan bantu mereka. Sekarang apa sudah jadi? Semua kerja kita dahulukan dan sembahyang kita kemudiankan. Semua urusan kita letak dihadapan tetapi sembahyang kita letak dibelakang.  Sebenarnya melalui sembahyang semua urusan dan keperluan kita dapat disempurnakan.

Kita kena bina iman kita, bina amal kita, bina sembahyang kita. Untuk ini perlu satu usaha, usaha yang panjang lebar dan usaha yang sungguh-sungguh dan tidak tahu berapa lama masa yang akan diambil. Kena mula daripada sekarang. Para sahabat telah korbankan segala-galanya untuk perkara ini dan mereka telah dapat yakin pada Allah s.w.t. Amalan mereka sempurna dan Allah s.w.t beri kejayaan dan kemuliaan pada mereka. Kejayaan di dunia, di kubur, di padang mahsyar dan selama-lamanya mereka berjaya.

Kita pun kena buat perkara ini. Walaupun kita bagi segala-galanya untuk perkara ini, ia masih satu perniagaan yang sangat-sangat murah. Kalau kita bagi nyawa untuk agama, nyawa itu pun Allah s.w.t yang bagi. Ia bukanlah perkara yang besar. Hak agama ini tidak tertunai walaupun kita bagi nyawa. Oleh itu kita kena keluar di jalan Allah s.w.t. Buat usaha atas iman, atas amal, Allah s.w.t akan bantu kita. Allah s.w.t akan bagi kejayaan sebagaimana Allah s.w.t telah bantu para sahabat. Allah s.w.t akan bagi kejayaan dan kemuliaan. Oleh itu kena bagi masa, 4 bulan, 40 hari tunai.....

Jangan tangguh-tangguh lagi, kita tidak tahu bila maut akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir