jor KL 1999 - bayan untuk karkun 4B

28/05/99 - Sri Petaling


Rasulullah s.a.w adalah nabi yang akhir dan Rasulullah s.a.w adalah ketua segala nabi-nabi. Nabi s.a.w adalah nabi yang akhir maksudnya ialah sebelum Nabi s.a.w, Allah s.w.t sentiasa hantar nabi demi nabi dan kedatangan nabi-nabi ini sangat-sangat penting. Setiap masa dan setiap zaman, mereka datang untuk mengajak/menyeru manusia kepada Allah s.w.t. Oleh kerana Rasulullah s.a.w adalah nabi yang akhir, tidak akan ada nabi lain yang akan datang selepas Nabi Muhammad s.a.w dan umat ini adalah umat yang paling baik, umat yang paling afdal, umat yang paling tinggi dibandingkan dengan umat-umat yang lain. Nabi tidak akan dihantar lagi selepas nabi Muhammad s.a.w, adakah ini bermaksud kerja nabi-nabi akan terhenti? Adakah ini bermakna kerja Rasulullah s.a.w akan ditamatkan? Itulah sebabnya Allah s.w.t telah mewajibkan, telah memberi tugas, memberi tanggungjawab kepada setiap individu dalam umat ini untuk buat kerja yang telah dibuat oleh Rasulullah s.a.w. Umat ini diberi kemuliaan yang begitu tinggi, kerja yang dibuat oleh nabi-nabi dahulu, Allah s.w.t beri kepada setiap individu dalam umat ini. Agama memang kita kena amalkan, ini tidak ada syak lagi, tidak ada soalan lagi. Mestilah kita kena amalkan agama tetapi yang Allah s.w.t beri tanggungjawab pada kita ialah amalkan agama dan buat usaha agama. Inilah keistimewaan kita, kita diutuskan untuk buat kerja yang telah dibuat oleh Rasulullah s.a.w.

Satu perkara yang disampaikan oleh alim ulamak yang mana perkara ini tidak kita ceritakan dalam setiap majlis tetapi kerana tuan-tuan semua orang lama, saya akan beritahu tuan-tuan sekarang. Kata orang alim itu, kalau kita kata Rasulullah s.a.w adalah nabi yang akhir dan kita tidak buat kerja ini maknanya ia hanya atas bibir kita sahaja, belum masuk dalam hati lagi. Kalau perkara itu ada dalam hati kita maka kita akan buat kerja Rasulullah s.a.w. Kalau kita tidak buat maknanya kita cakap sahaja bahawa Nabi s.a.w adalah nabi yang akhir, tidak akan ada nabi lain yang akan datang tetapi dalam hati kita seolah-olah kita fikir, kita anggap nabi lain akan datang dan kita semua sedang menunggu nabi itu. Sebenarnya kitalah yang dipertanggungjawabkan untuk buat kerja nabi, sampai qiamat kita yang akan buat, kerja mengajak manusia kepada Allah s.w.t. Setiap kita ini telah diutuskan atas maksud ini.

Allah s.w.t telah beri kita satu tanggungjawab yang begitu besar. Allah s.w.t telah beri kita kemuliaan yang begitu tinggi. Di padang mahsyar nanti, Allah s.w.t akan tanya Lauhmahfuz, “Sudahkah engkau sampaikan risalah daripada Aku?”, maka Lauhmahfuz akan kata, “Saya sudah sampaikan kepada Israfil a.s”. Israfil a.s akan ditanya, “Sudahkah kamu sampaikan apa yang kamu telah diberitahu?”, maka Israfil a.s akan kata, “Saya sudah sampaikan kepada Jibrail a.s”. Jibrail a.s akan ditanya, “Sudahkah kamu sampaikan?”, maka Jibrail a.s akan kata, “Saya sudah sampaikan”. Segala-galanya sudah disampaikan dengan sempurna kepada semua nabi-nabi.

Selepas itu Allah s.w.t akan panggil nabi-nabi dan tanya mereka, “Sudahkah kamu sampaikan risalah Aku kepada umat-umat kamu?”. Maka nabi-nabi akan kata, “Ya Allah, kami telah pun sampaikan kepada umat-umat kami apa yang Engkau suruh kami sampaikan”. Umat akan dipanggil dan ditanya, “Sudahkah risalah Aku sampai kepada kamu?”, maka ada umat yang kata sudah disampaikan tetapi ada sebilangan yang besar daripada umat-umat akan kata, “Ya Allah, tidak ada apa-apa pun yang disampaikan kepada kami”.

Oleh kerana ada di antara umat-umat kata tidak disampaikan risalah Allah pada mereka maka Allah s.w.t akan mengadap para nabi dan tanya, “Bagaimana mereka kata kamu tidak sampaikan kepada mereka tentang risalah Aku?”  Maka nabi-nabi akan kata, “Ya Allah kami telah pun sampaikan dan kami ada saksi yang kami telah menyampaikan risalah Kamu kepada mereka”. Allah s.w.t akan tanya, “Siapa saksi kamu?”  Nabi-nabi akan kata, “Umat Nabi Muhammad s.a.w adalah saksi kami”. Allah s.w.t akan panggil umat Nabi Muhammad s.a.w, ada orang daripada Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Morocco dll tempat lagi. Kita umat nabi s.a.w akan dipanggil dan Allah s.w.t akan tanya kita, “Nabi-nabi kata mereka telah pun sampaikan risalah Aku, adakah benar nabi-nabi telah sampaikan kepada umat-umat mereka? Umat nabi s.a.w akan mengaku, “Memanglah benar nabi-nabi telah pun sampaikan risalah Engkau kepada umat-umat mereka”. Maka umat-umat dahulu akan kata macam mana mereka boleh jadi saksi padahal mereka tidak pun wujud pada masa itu, mereka tidak ada pada masa itu.

Allah s.w.t akan tanya umat ini lagi, “Kamu tidak ada pada masa itu macam mana kamu tahu yang nabi-nabi dahulu telah sampaikan pada umat-umat mereka?” Maka umat nabi s.a.w akan beritahu, “Ya Allah, Kamu telah hantar nabi kepada kami, Rasulullah s.a.w telah diutuskan kepada kami dan Kamu telah turunkan kalam Kamu, Al-Quran, kepada nabi Muhammad s.a.w, dalam Quran itu Kamu telah ceritakan bagaimana nabi-nabi dahulu telah sampaikan risalah kepada umat-umat mereka, bagaimana pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk menyampaikan kepada umat-umat mereka. Oleh kerana itulah kami tahu, atas dalil itulah kami kata bahawa nabi-nabi dahulu telah sampaikan risalah kepada umat-umat mereka”. Allah s.w.t akan kata, “Memang benar apa yang kamu kata”. Maka umat-umat dahulu akan ditangkap dan dihukum dan kita akan dapat kemuliaan yang tinggi iaitu kita jadi saksi terhadap nabi-nabi dahulu. Betapa mulianya kita disisi Allah s.w.t.

Allah s.w.t telah beri kita satu kedudukan/makam yang sangat tinggi dan kalau kita faham makam itu maka kita akan bagi seluruh masa kita dan seluruh hidup kita untuk kerja ini. Sekarang ini kita masih fikir hendak bagi berapa jam untuk masjid, satu jam, dua jam, lapan jam, itu yang kita fikir, berapa lama hendak bagi untuk amalan masjid. Sahabat pula mereka fikir berapa jam hendak bagi untuk kedai dan kerja mereka, satu jam, dua jam, hendak bagi atau tidak mahu bagi. Tetapi malangnya nasib kita dan kurang fahamnya kita, kita fikir hendak bagi berapa jam untuk masjid. Doa Rasulullah s.a.w dan kita pun kena doa macam ini, “Ya Allah, maafkanlah saya, gunakanlah saya untuk kerja yang mana Kamu telah utuskan saya, untuk tugas dan tanggungjawab yang Kamu telah hantar saya, Ya Allah , lapangkanlah saya dan khaskanlah saya untuk kerja itu sahaja dan saya jadi hanya untuk kerja itu sahaja, jangan untuk asbab yang lain, Ya Allah , janganlah sibukkan saya dengan perkara-perkara dan urusan yang mana Kamu telah ambil tanggungjawab”.

Allah s.w.t yang beri rezeki pada manusia, pada binatang, pada burung, pada segala ciptaanNya, pada segala makhlukNya. Bila Allah s.w.t hantar Musa a.s. untuk dakwah Firaun, bila dia hendak mula pergi telah terlintas dalam fikiran/hati dia apa akan terjadi dengan isterinya kerana dia tinggalkan isterinya berseorangan diri dalam keadaan mengandung, tidak ada makanan, tidak ada roti, tidak ada beras, tidak ada duit, ditinggalkan di padang pasir. Ini yang difikirkan oleh Musa a.s. Allah s.w.t maha mengetahui segala-galanya. Apa yang ada dalam hati nabi Musa a.s pun Allah s.w.t tahu. Allah s.w.t telah suruh nabi Musa a.s pecahkan satu batu dengan tongkatnya. Bila batu dipecahkan ada batu dalam batu. Bila batu kedua dipecahkan ada batu ketiga. Bila batu ketiga dipecahkan ada batu keempat. Begitulah seterusnya sehingga batu yang ketujuh. Bila batu yang ketujuh dipecahkan di dalamnya ada seekor ulat dan di mulutnya ada satu daun yang hijau dan segar. Bila nabi Musa a.s lihat keadaan ini iman dia bertambah. Memanglah iman nabi Musa a.s kamil, iman yang sempurna. Itu sebenarnya untuk pelajaran bagi kita, bukan maknanya iman nabi Musa a.s itu lemah. Allah s.w.t perintah nabi Musa a.s kamu dengarkanlah apa ulat itu kata. Tasbih ulat itu ialah “Maha suci Allah, yang melihat aku, yang dengar aku, yang mengetahui di mana aku berada, yang memberi rezeki pada aku dan tidak pernah lupa pada aku”.

Allah s.w.t telah ambil tanggungjawab untuk rezeki kita. Oleh itu kenapa kita hendak tengok hal ini. Kita sibuk dengan urusan yang telah diambil tanggungjawab oleh Allah s.w.t dan tanggungjawab yang Allah s.w.t beri pada kita, kita telah tinggalkan. Adakah perkara yang lebih bodoh, yang lebih teruk daripada ini?

Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat dan berkat ke atas kubur-kubur para sahabat. Semoga Allah s.w.t beri mereka darjat yang tinggi kerana mereka telah korbankan segala-galanya untuk kita. Mereka telah fikir dan risau untuk kita. 1400 tahun dahulu mereka telah buat keputusan. Kehidupan Nabi s.a.w hanya 23 tahun sahaja tetapi pada masa itu mereka telah buat keputusan, kalau perlu harta untuk sebarkan agama maka mereka sanggup korbankan seluruh harta mereka untuk agama, kalau perlu masa untuk sebarkan agama maka seluruh masa mereka digunakan untuk agama, kalau perlu badan untuk sebarkan agama maka mereka sanggup kepala mereka dipancung untuk agama. Mereka juga telah korbankan anak-anak mereka untuk agama. Kita lihat pengorbanan Bilal r.a, Khabab r.a.

Umar r.a telah tanya Khabab r.a bagaimana keadaan dia semasa dia mula-mula masuk Islam. Khabab r.a kata kenapa hendak tahu? Bila didesak maka Khabab r.a telah angkat bajunya dan tunjuk belakang badannya. Ada lubang-lubang yang besar dibelakang badannya dan dikatakan budak-budak kecil boleh panjat sampai ke kepala dengan meletakkan kaki di lubang-lubang tersebut. Umar tanya macam mana lubang-lubang ini boleh terjadi. Khabab r.a kata, “Bila saya masuk Islam, ketua-ketua orang Quraish, orang-orang kafir mushrikin, mereka nyalakan bara-bara api yang besar dan baringkan saya di atas bara-bara api tersebut dan mereka tekan saya sehingga bara-bara api itu padam dengan lemak dan darah daripada badan saya”.

Atas pengorbanan mereka inilah Allah s.w.t telah sebarkan hidayat ke seluruh alam. Allah s.w.t telah sinarkan agama ke seluruh alam. Agama telah sampai ke tahap kegemilangan.

“Majmak diminta duduk rapat-rapat, bergerak sedikit ke hadapan. Gerak satu inci sahaja untuk bagi tempat/ruang kepada orang Islam yang lain, maka semua dosa-dosa kita seumur hidup diampunkan”

Orang lama jadi batu asas dalam binaan satu bangunan. Orang lama ini tidak nampak dan tidak ada nama bagi mereka. Kita pun kata kita orang lama, tetapi di mana sifat-sifat kita kalau hendak dibandingkan dengan orang-orang lama yang sebenarnya iaitu para sahabat. Para sahabat ialah orang lama yang sebenarnya yang telah korbankan segala-galanya, yang telah jadi asas di mana dengan pergorbanan mereka inilah Islam telah dibina, agama disebarkan ke seluruh alam, hidayat disebarkan ke seluruh alam, Islam telah dapat kejayaan yang gilang gemilang, manusia seluruh alam telah dapat hidayat kerana pengorbanan mereka. Mereka adalah asas yang tidak nampak dan tidak ada nama tetapi asas pengorbanan mereka Allah s.w.t telah suka, telah terima, Allah s.w.t telah sebarkan hidayat seluruh alam sehingga orang-orang kafir di zaman itu yang begitu keras yang telah bersumpah  di hadapan Baitullah, Allah s.w.t telah buka hati mereka dan beri hidayat pada mereka.

Orang-orang kafir kata merekalah yang akan menang akhirnya. Kalau orang Islam menang, macam mana pun kami tidak akan masuk Islam. Kami sanggup tinggalkan Mekah ini, lari dari Kota Mekah dan terjun dari bukit dan bunuh diri atau terjun dalam lautan dan bunuh diri. Terima Islam tidak sama sekali. Begitu punya sumpah mereka telah buat. Tetapi sebab pengorbanan orang-orang Islam seperti Khabab r.a, Bilal r.a, Abu Bakar r.a, Umar r.a, Usman r.a, dan wanita-wanita para sahabiah seperti Sumayyah r.ha, maka orang-orang yang telah sumpah tidak mahu terima Islam pun Allah s.w.t telah beri hidayat pada mereka. Orang-orang seperti Ikramah, Wahsi, Hindun yang telah mamah hati bapa saudara Nabi s.a.w, Hamzah r.a, orang yang benci Islam seperti itupun Allah s.w.t telah buka hati mereka dan beri hidayat pada mereka kerana pengorbanan para sahabat.

Pengorbanan mereka telah jadi asbab untuk bangunkan Islam, untuk sebarkan hidayat ke seluruh alam. Kalau kita korban, memanglah kita tidak boleh sampai ke tahap mereka. Apa yang kita boleh buat ialah tambah sedikit pengorbanan, tambahkan tahap pengorbanan kita, tingkatkan tahap pengorbanan kita yang mana dengan itu, Allah s.w.t akan redha, Allah s.w.t akan suka, Allah s.w.t akan sebarkan hidayat ke seluruh alam.

Di zaman Umar r.a jadi Khalifah, satu hari dia telah pergi ke masjid Nabawi, terdapat satu majlis di sana. Banyak pembesar-pembesar, pemimpin-pemimpin dan orang-orang Quraish. Umar r.a pun duduk dengan mereka. Kemudian datanglah Bilal r.a, dia datang lambat, majlis telah bermula, maka Umar r.a telah panggil Bilal r.a datang dan duduk di hadapan. Pembesar-pembesar yang duduk di depan, mereka di minta ke belakang sedikit untuk bagi tempat kepada Bilal r.a. Kemudian datang Khabab r.a dan dia pun duduk di hadapan. Orang-orang Quraish yang berada di hadapan diminta ke belakang sedikit. Begitulah juga dengan sahabat-sahabat awwalin yang lain yang telah beri pengorbanan, satu demi satu datang dan diberi tempat di hadapan dan pembesar-pembesar yang duduk di depan, mereka sedikit demi sedikit di tolak ke belakang sehingga mereka telah sampai di tempat letak kasut. Satu orang daripada pemimpin-pemimpin itu telah bangun dan berkata, “ Wahai Amirul Mukminin Umar r.a, kamu telah hinakan kami, kamilah pemimpin yang duduk di hadapan kamu hinggalah kamu telah tolak kami ke tempat kasut”. Seorang pemimpin yang lain bangun dan berkata, “ Ini bukan salah Umar r.a, kalau Rasulullah s.a.w adapun, Baginda akan buat seperti ini juga dan di padang mahsyar pun Allah s.w.t akan buat seperti ini juga kerana mereka telah mengalirkan darah untuk sebarkan Islam dan pada masa itu kamu dan kita semua telah usaha bermati-matian untuk menghalang Islam. Sebab itu mereka mendapat kemuliaan di sisi Allah s.w.t”.

Pemimpin-pemimpin Qurisah ini mereka faham dan tidak merungut lagi. Kata mereka, “ Wahai Umar, apa yang telah berlaku di dunia ini tidak boleh dibuat apa-apa lagi, tetapi kamu beritahulah kami apa yang patut kami buat supaya sekurang-kurangnya di padang mahsyar nanti kami tidak di belakang mereka”. Umar r.a berkata, “ Pada pandangan saya tidak ada cara lain, hanya satu sahaja iaitu kamu semua keluar di jalan Allah s.w.t dan syahid. Dengan pengorbanan itu kamu akan diberi tempat di barisan yang sama dengan mereka”.

Pemimpin-pemimpin Quraish ini faham dan telah balik ke Mekah dan telah kemaskan barang-barang mereka. Semua mereka hendak keluar di jalan Allah s.w.t untuk menyertai jihad. Maka semua penduduk-penduduk Mekah telah berkumpul dan tanya, “ Ke mana kamu semua hendak pergi dan tinggalkan kami?”. Mereka kata, “ Sekarang kami telah jauh di belakang dibandingkan dengan sahabat-sahabat awwalin, oleh itu kami hendak keluar ke jalan Allah s.w.t dan berjihad dan kami tidak akan balik lagi. Kami akan keluar sampai kami mati syahid”. Mereka kata, “ Mekahlah tempat yang paling kami sayang. Kami dapati tidak ada tempat yang lebih baik daripada Mekah, tiada jiran-jiran yang lebih baik daripada kamu, tetapi walau macam mana pun kami tidak mahu lagi berada di belakang sahabat-sahabat yang awal, kami mahu keluar dan mati syahid supaya sekurang-kurangnya di padang mahsyar nanti kami akan diberi tempat yang sama dalam barisan sahabat awwalin”. Maka semua orang-orang Mekah lelaki, wanita, tua, muda, hatta bayi-bayi semua telah menangis.

Pemimpin dan orang-orang Quraish telah keluar dan mereka telah berjihad. Beberapa hari mereka telah berperang tetapi tidak mendapat kemenangan. Mereka telah bermesyuarat kenapa sudah beberapa hari berjuang tetapi masih tidak menang, maka Ikramah r.a telah buat keputusan, semua berjanji setia dengan dia dan akan bagi nyawa dan tidak akan balik sampai semua syahid di medan perang. Lebih kurang 300 orang, dalam riwayat yang lain 500 orang telah berbuat bai’ah/janji setia dengan Ikramah r.a. Maka mereka telah berperang sehingga akhirnya semua 300 atau 500 orang telah syahid. Ikramah r.a telah luka parah dan anaknya pun telah syahid. Khalid r.a telah datang dan letak kepala Ikramah r.a di atas pangkuan dia dan Ikramah r.a kata, “Kamu tolong sampaikan salam saya kepada Umar r.a dan beritahu kepada dia bahawa orang-orang Quraish telah bagi nyawa untuk agama dan sekarang anak Hantamah (Umar r.a) tidak lagi boleh kata orang Quraish tidak bagi nyawa untuk agama”. Selepas itu Ikramah pun syahid. Khalid r.a telah sampaikan salam Ikramah r.a pada Umar r.a dan Umar r.a pun menangis dan kata, “Mereka ini orang-orang yang benar kerana mereka telah buat sepertimana mereka kata, mereka telah kotakan kata-kata mereka, mereka telah tunaikan janji mereka, mereka ini memanglah orang dari keluarga yang sangat mulia”. Umar r.a tanya, “Adakah sesiapa lagi yang tinggal (baki) dari keluarga itu?” Ada satu lelaki dan satu perempuan, maka Umar r.a telah kahwinkan mereka supaya keluarga itu beterusan dan tidak dibiarkan keluarga itu terus habis.

Mereka inilah yang dikatakan orang lama iaitu maju/depan dalam pengorbanan dan meningkat dalam pengorbanan. Orang kemudian memanglah tidak boleh sama dengan orang dahulu. Orang-orang yang masuk Islam sebelum Fatah Mekah, darjat mereka memang tinggi dan tidak sama dengan orang-orang yang masuk Islam selepas Fatah Mekah. Orang-orang yang masuk Islam sebelum Fatah Mekah, kalau mereka bagi sedekah satu genggaman bijirin dan dibandingkan dengan orang-orang yang masuk Islam selepas Fatah Mekah yang bagi sedekah emas sebesar gunung Uhud pun tidak akan sama. Pengorbanan mereka tidak akan sama.

Agama tuntut daripada kita apakah korban yang kita bagi untuk agama.  Sahabat telah bagi segala-galanya, segala kemampuan, segala kebolehan, harta, diri, nyawa, semuanya telah dikorbankan untuk agama. Sekarang kita kena fikir apakah yang kita boleh bagi untuk agama. Maulana Yusuf rah. beritahu, “Kalau satu orang buat keputusan bahawa apa pun yang berlaku pada anak saya, rumah saya, keluarga saya, saya tidak peduli, apa yang akan berlaku itu ialah apa yang Allah s.w.t mahu. Saya mahu agama ini tersebar ke seluruh alam dan untuk itu saya sanggup bagi apa sahaja pengorbanan, maka dengan doa dia negara demi negara, kaum demi kaum, cara hidup mereka semuanya Allah s.w.t akan terbalikkan, Allah s.w.t akan bawa mereka pada agama, Allah s.w.t akan bawa mereka pada hidayat”. Apa yang kita mahu ialah beberapa orang seperti itu yang buat keputusan dan atas pengorbanan mereka ini Allah s.w.t akan buat keputusan untuk hidayat manusia di seluruh alam. Yang diperlukan ialah tingkatkan pengorbanan kita.

Kita telah jadikan macam satu adat, bertahun-tahun kita keluar 3 hari setiap bulan dan masih tiada perubahan. Kita kena fikirkan macam mana kita dapat buat pengorbanan langkah demi langkah macam naik anak tangga, tingkatkan pengorbanan. Jangan buat satu platform dalam usaha agama ini. Kita mesti meningkat sehingga tahap yang paling tinggi yang kita boleh capai. Ini yang dikehendaki dalam usaha agama. Allah s.w.t akan jadikan pengorbanan kita asbab untuk sebarkan hidayat ke seluruh alam, Allah s.w.t akan suka dengan kita, Allah s.w.t akan redha dengan kita, Allah s.w.t akan beri kejayaan dan kemuliaan pada kita. Oleh itu kita kena fikir bagaimana keadaan orang-orang Islam di seluruh dunia. Di seluruh alam ini ada 5 billion umat Nabi Muhammad s.a.w. Cuma satu billion sahaja yang telah terima Nabi s.a.w dan 4 billion lagi belum terima Nabi s.a.w dan mereka adalah umat yang perlu didakwah, dan mereka ini hari demi hari, ratusan, ribuan antara mereka mati tanpa kalimah. Kalau Nabi s.a.w ada pada masa ini dan lihat keadaan ini dihadapannya maka kita tidak dapat hendak bayangkan macam mana sedih dan risaunya Nabi s.a.w. Oleh kerana itu kita kena tambahkan pengorbanan.

Satu hari Rasulullah s.a.w balik ke rumah dalam keadaan gembira dan bahagia. Bila Aishah r.ha nampak Baginda s.a.w dalam keadaan tersebut maka dia pun minta dari Rasulullah s.a.w supaya mendoakan untuknya. Rasulullah s.a.w pun doa untuk dia, “Ya Allah, ampunkanlah dosa kecil dan besar, dosa dulu dan kemudian Aishah r.ha”. Bila Aishah r.ha dengar doa ini, dia begitu gembira dan telah berguling-guling kerana kegembiraan. Rasulullah s.a.w tanya Aishah r.ha kenapa dia begitu gembira. Aishah r.ha kata, “Macam mana saya tidak gembira kerana tuan telah doakan untuk saya, doa yang mana telah selesaikan semua masalah dunia dan akhirat saya”. Rasulullah s.a.w beritahu Aishah r.ha bahawa Baginda s.a.w doa seperti itu untuk umatnya tiap-tiap kali selepas sembahyang. Untuk Aishah r.ha hanya sekali seumur hidup tetapi untuk umat tiap-tiap hari selepas sembahyang. Begitulah cinta dan sayangnya Nabi s.a.w pada umat ini. Ulamak kata kalau Nabi s.a.w doa selepas sembahyang fardhu maka tiap-tiap hari Nabi s.a.w doa lima kali sehari untuk umat, “Ya Allah, ampunkanlah dosa kecil dan besar, dulu dan kemudian umat aku”. Kalau Nabi s.a.w doa selepas setiap kali 2 rakaat sembahyang nafil maknanya Nabi s.a.w ingat pada kita setiap hari lebih kurang 30 atau 40 atau 50 kali.

Umat yang begitu disayangi oleh Nabi s.a.w tetapi hari ini tidak ada orang pun yang hendak fikir atas umat ini. Oleh kerana itulah kita minta tuan-tuan tambahkan pengorbanan tuan-tuan dan tambahkan masa yang diberi untuk agama. Sekarang tuan-tuan buat keputusan mulai hari ini saya akan bagi masa yang terbanyak untuk agama dan hanya saki baki masa untuk keperluan dunia. Tuan-tuan bangun dan beritahu apakah tertib tuan-tuan.

Bila kita bagi masa yang paling banyak untuk agama maka Allah s.w.t akan beri kita kemuliaan, Allah s.w.t akan selesaikan keperluan dan Allah s.w.t akan jadikan kita orang yang paling tinggi dan mulia di sisi mata manusia lain, orang akan sayang, hormat dan sanjung kita. Bila kita beri pengorbanan untuk agama maka Allah s.w.t akan dekatkan kita dalam hati orang lain.

Baru-baru ini satu jemaah telah pergi ke Argentina. Mereka telah sembahyang jemaah di satu tempat dan seorang wanita telah datang dan lihat mereka sembahyang. Setelah habis sembahyang wanita itu tanya, “Kamu sembahyang mengadap ke timur, mengadap ke kiblat, Kaabah?, saya pun orang Islam, bapa saya namakan saya Nur Iman. Bapa saya telah meninggal dunia dan tidak ada orang Islam lain, semuanya telah masuk Kristian, akhirnya saya telah kahwin dengan orang Kristian dan saya pun telah keluar daripada Islam. Saya masih lagi cinta pada Islam dan anak saya ini, saya telah buat keputusan, walau macam mana pun saya akan jadikan dia sebagai seorang Islam. Suami saya hendak jadikan dia sebagai seorang Kristian. Kami selalu bergaduh mengenai hal ini”.

Oleh kerana ada jemaah-jemaah yang bergerak di seluruh dunia maka orang-orang yang telah keluar daripada Islam, mereka kembali kepada Islam dan orang-orang yang bukan Islam apabila melihat amalan-amalan orang-orang Islam, mereka pun tertarik dan masuk Islam. Oleh itu, sangat-sangat penting kita hantar jemaah ke seluruh alam supaya manusia di seluruh alam dapat hidayat.

Tua-tuan bangun dan bagi nama untuk keluar secara tunai 4 bulan negara jauh dan beritahu tertib tuan-tuan tiap-tiap hari bagi 8 jam, tiap-tiap bulan bagi 10 hari, tiap-tiap tahun keluar 4 bulan. Kalau tuan-tuan maju ke depan maka orang-orang lain pun akan maju.

Tuan-tuan orang lama, saf yang awal, saf yang pertama, kalau tuan-tuan tingkatkan pengorbanan, insya’Allah, orang-orang di belakag pun akan tingkatkan pengorbanan. Allah s.w.t akan jadikan pengorbanan kita asbab hidayat untuk seluruh alam.

Sahabat-sahabat telah pergi ke seluruh alam dan kita pun kena pergi ke seluruh alam. Siapa yang kita menyerupai maka Allah s.w.t akan bangkitkan kita bersama-sama dengan mereka di padang mahsyar nanti. Di Padang Arafah semasa Haji Wida’, haji Nabi s.a.w yang pertama dan akhir, Nabi s.a.w telah beritahu pada sahabat sampaikan pada mereka yang tidak ada di sini maka semua sahabat telah bertebaran ke seluruh alam dan mereka telah syahid di seluruh alam. Kubur sahabat di tanah Hijaz iaitu di Mekah dan Madinah hanya lebih kurang 10,000 sahaja tetapi selebihnya, lagi 115,000 bertebaran di seluruh alam. Mereka telah pergi ke seluruh alam, jadi kita pun kena pergi ke seluruh alam. Sahabat-sahabat telah syahid di seluruh dunia. Kita kena ikut jejak langkah sahabat.

Memanglah kita tidak boleh buat pengorbanan seperti sahabat, tetapi sekurang-kurangnya kita cuba ikut jejak langkah mereka. Kita bagi masa 4 bulan keluar di jalan Allah s.w.t dan buat usaha dan bawa usaha agama ke seluruh alam. Moga-moga di padang mahsyar nanti Allah s.w.t akan bagi kita tempat sama-sama dengan sahabat.

Apa yang kita telah azam ialah perjanjian kita dengan Allah s.w.t. Allah s.w.t akan bantu kita, buka jalan dengan caraNya yang ghaib dan selesaikan keperluan, masalah kita. Kita usaha bagaimana kita dapat sempurnakan azam kita, insya’Allah, Allah s.w.t akan bantu.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir