mesyuarat malaysia 1997 - maulana ibrahim

07/09/97


Allah s.w.t menjadikan manusia sebagai Ashraful Makhlukat dan tidak membiarkan begitu sahaja sebaliknya Allah telah lantik manusia sebagai khalifahNya di muka bumi ini. Untuk memimpin manusia ke jalan kehidupan sebenar, Allah s.w.t telah turunkan agama yang sempurna. Apakah agama dan bagaimana ia datang dalam kehidupan manusia dan apakah kesannya?

Apakah agama :
Agama ialah apa yang dibawa oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Agama bukan beberapa amalan, tetapi kesempurnaan amalan iaitu merangkumi akidah,ibadat, mua’malat, mua’syarat dan akhlak.

Bagaimana agama datang dalam kehidupan :
Agama akan datang dalam kehidupan apabila manusia membuat usaha ke atasnya.  Dalam menjalani kehidupan ini manusia perlu belajar bagaimana hendak mengamalkan agama. Apabila kehidupan manusia ada agama maka semua pihak akan faham tanggungjawab mereka.  Seorang bapa akan faham tanggungjawab apabila ia ada agama, seorang isteri akan faham tanggungjawabnya begitu juga seorang anak akan faham tanggungjawabnya apabila ia amal agama.

Kesan amalan dakwah : 
Dakwah adalah satu amalan yang sangat besar.  Melalui dakwah Allah sembunyikan ribu-ribu hidayat.  Amalan dakwah ini akan mendatangkan kesan apabila dibuat mengikut tertib yang betul.  Dalam membuat kerja ini jangan mewujudkan kemusykilan.  Kerja dakwah hendaklah dibuat dengan mudah dan jangan disusahkan.

Sahabat-shabat Nabi s.a.w  adalah golongan yang paling tinggi dalam amal.  Keunggulan amal mereka tiada tolok bandingnya.  Dalam membuat amalan agama mereka tidak terkesan dengan ehwal persekitarannya.  Kesan amalan telah digeruni oleh manusia di seluruh dunia. Sehingga Raja Kerajaan China yang terletak berpuluh ribu batu dari masjid Nabawi terkesan dengan amalan sahabat Nabi.  Sahabat-sahabat Nabi dalam membuat amalan agama dilakukan semata-mata kerana Allah.  Mereka tidak melakukan amalan yang melanggar perintah Allah s.w.t.  Mereka beramal ikhlas semata-mata kerana Allah.  Jika  ada golongan yang cuba menghalang sahabat usaha mereka akan gagal.  Jika  negara cuba menghalang sahabat, negara itu akan hancur.  Beginilah kefahaman yang telah dimasukkan di hati Raja China itu, di mana mereka tidak hendak menyerang sahabat kerana mereka faham jika mereka menentang sahabat pasti mereka gagal.

Pengajaran : 
Dalam membuat kerja dakwah perlu membuat usaha bersungguh-sungguh untuk terus dapat menarik bantuan Allah.

Usaha-usaha yang kita telah buat sekarang  perlu diteruskan dan mempertingkatkan amal jemaah masjid. 3 amal jika dibuat  dalam sesuatu marhallah akan dapat menjauhkan bala yang hendak diturunkan di tempat itu. Sebaliknya dapat hidayat Allah :
1.   Ada golongan ziarah-menziarahi dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah
2.   Terdapat golongan yang berulang-alik ke masjid memakmurkan rumah Allah
3.  Terdapat golongan  yang bertaubat bangun tengah malam memohon doa keampunan dirinya, keluarganya dan seluruh ummat seluruh alam.

Dalam membuat amal jemaah masjid, perlu buat dengan kasih sayang dan jangan melihat dan menghebohkan keburukan orang lain.  Syaitan memang suka melaga-lagakan sesama karkun supaya berpecah-belah.  Jika ada perpecahan, bantuan Allah akan terangkat.

Dalam membuat usaha agama kita perlu menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang merosakkan  amalan  dan menolak bantuan Allah. Maulana Ilyas rah. memberitahu Maulana Yusuf rah. bahawa jika usaha dakwah dibuat dengan tertib yang betul, Allah s.w.t akan sembunyikan ribu-ribu hidayat dalam kurun-kurun yang akan datang.

Rasulullah s.a.w  sebelum 4 bulan wafat telah kumpulkan kaum Muhajirin dan kaum Ansar dan telah memberi targhib supaya  setiap kaum itu menunaikan hak satu sama lain dan jangan berpecah belah.

Pengajaran :
Seruan Rasulullah s.a.w menyatukan antara kaum Ansar dan Muhajirin itu adalah satu garis panduan kepada kita semua bagaimana perlu bersatu hati dalam membuat kerja agama.

Maulana memberitahu usaha yang perlu diperbanyakkan sekarang ialah kita perlu membanyakkan bercakap kebesaran Allah s.w.t. Dengan cara ini maka iman akan meningkat dan lebih banyak boleh membuat amal agama.

Raja rom telah bermesyuarat sesama mereka bagaimana hendak menjatuhkan sahabat.  Mereka sebulat suara bahawa mereka perlu berusaha  merosakkan amal sahabat Nabi iaitu seperti merosakkan kesucian makanannya, meletakan wanita cantik disepanjang perjalanan sahabat menuju ke istana mereka.  Sahabat Nabi telah mengetahui dan sedar tipu daya orang rom itu dan dalam perjalanan ke istana mereka telah merendahkan pandangan.

Pengajaran :
Dalam membuat usaha agama kita jangan terkesan dengan ehwal persekitaran.  Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dibuat dan diteruskan dalam meningkatkan 5 amalan masjid iaitu meliputi gasht pertama, gasht kedua, ta’alim masjid, ta’alim di rumah dan beri masa setiap hari 2½  jam berjumpa jiran-jiran kita untuk dakwah kebesaran Allah.

Maulana memberitahu melalui 5 amal masjid ini kehausan amal agama akan datang  di hati jiran-jiran di marhallah kita dan kita sendiri yang membuat usaha ini akan dapat menjaga iman dan seterusnya dapat meningkat pengorbanan untuk bergerak di seluruh alam.  Dengan ini ummat seluruh alam dapat ditemui dan diberitahu akan kepentingan amal agama.  Ummat di seluruh dunia di katakan sekarang hidup dalam kesesatan.  Mereka tidak tahu mengenai halal-haram dalam makanan, pakaian dan ehwal rumahtangga.  Oleh itu setiap karkun perlu ada fikir alami.  Dengan ini semua golongan di seluruh alam, iaitu golongan muda, tua, kanak-kanak dapat ditemui dan di targhib untuk membina kehidupan akhirat mereka.

Maulana memberitahu apabila semua kita membuat usaha agama dengan tertib  yang betul, maka bantuan Allah s.w.t akan datang kepada kita dan Allah akan turunkan malaikat dari langit dan akan membantu kita jika ada orang yang cuba menghalang kita dari membuat usaha agama.

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir