mesyuarat malaysia 1997 - maulana yaakob
06/09/97
Maulana memberitahu rata-rata di dunia ini menyangka kejayaan kehidupan mereka pada harta. Oleh itu mereka siang malam telah berusaha untuk menambahkan harta. Mereka telah menggunakan perempuan-perempuan mereka dan anak-anak gadis untuk mengumpulkan harta, dan ada juga yang telah menggunakan kanak-kanak untuk mengumpulkan harta.
Semua manusia di seluruh dunia dalam kegelisahan kerana telah meletakkan harta sebagai asas kejayaan dan penyelesaian masalah. Kehidupan manusia sekarang dalam huru-hara, masalah silih berganti, kerosakan demi kerosakan telah berlaku. Penipuan dan pembohongan berlaku di mana-mana, rasuah, pencurian, penzinaan, pembunuhan dan berbagai kerosakan telah berlaku. Kesemua ini disebabkan manusia menumpu kehidupan untuk mendapatkan harta.
Untuk membaiki keadaan tersebut manusia perlu dibawa keyakinan yang betul, iaitu kejayaan bukan pada harta tetapi kejayaan atau kegagalan di tangan Allah s.w.t.
Qarun yang banyak harta tidak berjaya, begitu juga Kaisar dan Kisra yang mempunyai pemerintahan yang besar juga tidak berjaya. Kedai kecil atau kedai besar tidak memberi kesan apa-apa tetapi kesan datang dari Allah s.w.t dengan kudratNya. Allah sahaja yang membuat segala-galanya, selain daripada Allah tiada siapa boleh membina kehidupan mereka.
Kisah Nabi Ibrahim a.s meninggalkan anaknya Nabi Ismail a.s dan isterinya Siti Hajar di kawasan padang pasir kering-kontang untuk menunjukkan kepada manusia bahawa Allah sahaja yang berkuasa ke atas segala-gala, yang memelihara dan yang menyelamatkan dan yang memberi kejayaan serta kegagalan. Ini adalah peringatan bagaimana besarnya kudrat Allah s.w.t.
Semua yang berlaku di seluruh dunia dan seluruh alam adalah dalam tangan Allah. Allah saja yang menyelamat dan memberi kejayaan. Asas bantuan Allah s.w.t akan datang apabila manusia menjalani kehidupannya dengan cara Muhammadurrasulullah.
Semua cara-cara kehidupan samada Yahudi, Nasrani, Hindu dan sebagainya perlu dinafikan bahawa kehidupan Nabi sahaja yang diterima Allah s.w.t dan mendapat kejayaan.
Baginda walaupun seorang yang miskin dan fakir dan tidak ada harta kebendaan tetapi oleh kerana cara kehidupannya diredhai Allah s.w.t maka Baginda telah mendapat bantuan ghaib Allah dalan setiap kehidupannya di mana telah mendapat keberkatan hidup.
Sesungguhnya tiada jalan lain untuk menyelesaikan masalah seluruh dunia kecuali dengan cara Rasulullah s.a.w. Hari ini seluruh manusia telah mematikan cara hidup Nabi s.a.w. Oleh itu kita perlu bergerak ke seluruh dunia untuk mempraktikkan cara hidup Nabi yang suci murni.
Comments
Post a Comment