mesyuarat malaysia 1997 - meiji mehrab

08/09/97

Semua manusia akan melalui 3 ketetapan :
1. Kematian
2. Selepas kematian , kedudukan, pangkat, kuasa, harta tidak akan dibawa
3. Hanya amalan sahaja yang akan dibawa selepas kematian

Allah s.w.t telah melantik 124,000 nabi untuk memimpin manusia menjalani kehidupannya sebelum kematian. Sekarang semua nabi-nabi itu telah tiada lagi di dunia ini. Jutaan manusia yang mendokong perintah Allah dan melanggari telah mengalami kematian. Selepas kematian  manusia tidak akan membawa harta, kedudukan, pangkat tetapi hanya membawa amalan mereka sama ada  yang baik atau yang buruk. Manusia tidak boleh membuat pilihan untuk membawa amalan yang baik sahaja.

Terdapat tiga lagi ketetapan yang semua manusia pasti melaluinya. Ketetapan ini semuanya Allah telah nyatakan di dalam Zabur, Taurat, Injil dan Quran.

1. Apabila manusia telah mati dan pergi ke alam akhirat, kematian tidak akan datang lagi 

2. Apabila manusia telah menemui maut ia tidak akan kembali semula ke dunia.

3. Kehidupan manusia di alam akhirat bergantung kepada kehidupan dunia . Apabila ia membuat amal baik di dunia ia akan mendapat ganjaran dan nikmat yang selama-lamanya dalam kehidupan akhirat. Sebaliknya jika ia langgar perintah Allah ia akan menerima kecelakaan dan kebinasaan.

Seorang yang tertipu dalam kehidupan dunia ini maka ia akan mendapat bala dan azab di kehidupan akhirat yang mana tidak ada seorang pun yang dapat menolongnya. Jika seorang mendapat kedudukan yang tinggi di dunia ini seperti menjadi raja dan ia membawa agama dalam pemerintahannya maka ketika semua manusia dalam keadaan nafsi-nafsi ia akan mendapat kejayaan di sisi Allah s.w.t. Begitu juga apabila seorang fakir bawa agama yang sempurna dalam kehidupannya maka ia akan memasuki syurga 500 tahun lebih awal dari orang kaya yang sama amal dengan dia.

Setiap ummat ini sebenarnya bertanggungjawab untuk membawa manusia menuju kepada kehidupan yang berjaya di kehidupan akhirat.

Maksud hidup orang Islam hari ini rata-rata hanya untuk mendapatkan dunia semata-mata. Oleh itu untuk membetulkannya usaha yang bersungguh-sungguh perlu dibuat. Dengan itu mereka ini perlu dibawa keluar di jalan Allah selama 4 bulan dan 40 hari. Semasa dalam keluar jalan Allah itu manusia akan menambahkan fikir masalah dirinya, keluarganya, jiran-jirannya, apa yang berlaku dalam kubur, fikir untuk mentaati perintah Allah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Apabila jemaah yang sampai di sesuatu tempat itu mereka akan berusaha berjumpa dengan setiap manusia dan bawa mereka ke masjid dan terangkan kemenafaatannya untuk amal agama dan kerugian-kerugian tinggalkan suruhanNya.

Dengan ini apabila seorang keluar 4 bulan dan membuat amalan-amalan ini maka Allah akan menambahkan hakikat kehidupan akhirat kepadanya. Seterusnya ia akan membuat keputusan bahawa usaha dakwah sebagai tugas utama ia lahir di dunia ini dan ia akan menyempurnakan cillah tahunannya 40 hari atau 4 bulan

Apabila seseorang itu telah balik 40hari/4bulan ia akan membentuk jemaah masjid dengan memberi penerangan kepada ahli khariahnya untuk membuat persiapan menghadapi kehidupan akhirat. Jika ia tidak membuat persiapan akhirat ia akan menangis hingga akan mengeluarkan air mata darah dan tiada siapa pun yang dapat membantu mereka dalam kehidupan akhiratnya.

Di samping itu ahli masjid perlu disediakan untuk membuat kerja di marhallah, bagaimana hendak menyediakan orang lain untuk membuat persiapan sebelum menuju kehidupan akhirat. Mereka yang telah bersedia itu perlu dibawa untuk bermesyuarat dan menetapkan gasht pertama setiap minggu dan gasht kedua di masjid jiran. Mereka juga perlu disediakan tiga-tiga orang untuk berjumpa orang di marhallah untuk khususi dan menerangkan kepentingan membuat persiapan akhirat.

Di samping itu perlu ditetapkan pembacaan ta’alim fadhail di masjid dan targhib juga untuk mereka menghidupkan ta’alim harian di rumah masing-masing dan tetapkan keluar tiga hari setiap bulan. Semua amalan itu perlu dibuat dengan bermesyuarat

Semasa membuat ummumi gasht perlu dibuat dengan zihin. Masa dan waktu gasht ditetapkan iaitu waktu mana lelaki yang akhil baligh paling ramai berada di rumah masing-masing.

Persiapan hari gasht ummumi perlu dimesyuaratkan sehari sebelum hari gasht atau selepas solat Asar hari gasht tersebut. Dalam mesyuarat itu ditetapkan siapa yang akan mengambil bahagian dalam gasht. Semua karkun dipastikan dapat datang dalam sembahyang Asar di marhallah mereka jika gasht dibuat di antara Asar hingga Isyak. Iklan perlu dibuat dengan jelas selepas solat Asar akan kepentingan gasht supaya mengingatkan orang tempatan untuk mengambil bahagian dalam gasht. Targhib perlu dibuat kepada ahli jemaah yang hadir dalam masjid. Jika ia mempunyai takazah, sediakan supaya ia korbankan takazah untuk sama-sama membuat usaha ziarah. Jika ia tidak sedia maka jangan biarkan dia balik tanpa ada hubungan dengan usaha dakwah. Beritahu orang awam selepas mereka kembali ke rumah supaya cepat-cepat datang semula ke masjid untuk sama-sama membuat gasht. Jika bilangan karkun yang mengambil bahagian ramai, bentuk 4 atau 5 jemaah selepas lantik amir jemaah. Lantik seorang rahabah dan muzakarah dengan rahabah dan mutakallim cara apa yang perlu dicakapkan semasa gasht.

Percakapan adalah seperti berikut, “Tuan, kami datang berjumpa tuan semata-mata kerana Allah. Kami hendak memberitahu satu usaha yang sangat tinggi sedang diadakan di masjid iaitu bagaimana hendak membuat usaha atas iman. Iman adalah satu perkara yang sangat penting. Seorang yang mati membawa iman sebesar zarah, Allah akan memberi syurga sepuluh kali besar dunia ini. Untuk maksud itu tuan kami ajak ke masjid sekarang juga”.

Di dalam masjid ada yang takrir dan berzikir dan seorang istiqbal. Apabila azan, majlis takrir dihentikan. Selepas sembahyang seorang beri iklan. Mereka yang hadir sembahyang pujuk dengan senyap-senyap orang itu untuk bergerak kepada orang yang bercakap (bayan). Orang yang bayan ia bolehlah bercakap kepentingan amal agama dan kerugian tinggalkan agama. Terangkan kebesaran Allah dan kepentingan keluar ke jalan Allah. Mereka yang telah sedia mesyuaratkan tarikh ia keluar sama ada 3 hari, 40 hari atau 4 bulan. Dalam bayan gasht mingguan, selepas bayan diadakan juga targhib kepentingan usaha tempatan termasuk usaha di kalangan wanita dan anak-anak. Jika kita buat seperti ini selama 6 bulan, maka 100% agama akan hidup di marhallah kita. Usaha dakwah ini seperti musim. Jika musim sejuk tiba semua akan menerima rasa sejuk. Jika amalan jemaah masjid kuat sama ada di kalangan lelaki dan wanita, maka orang yang melanggar perintah Allah juga akan terkesan dengan suasana itu dan mereka akan bertaubat seterusnya mendokong semua perintah Allah.

3 perkara jika ada dalam hati orang Islam, perjalanan hidup manusia akan betul :

1. Orang Islam perlu menanamkan di dalam hati bahawa perkara iman adalah mustahak. Semua perintah Allah diturunkan di Madinah kecuali sembahyang yang diturunkan di Mekah. Iman ialah menanamkan keyakinan di dalam hati hanya Allah yang berkuasa dan selain daripada Allah tidak boleh berbuat apa-apa.

2. Masalah akhirat adalah perkara yang pasti berlaku dan semua manusia akan menempuhi sama ada dia sedia atau tidak.

3. Perlu mewujudkan di dalam hati orang Islam cuma berharap kepada Allah.

Untuk menyelesaikan masalah hidup di dunia Allah telah turunkan agama yang sempurna iaitu keseluruhan perintah Allah dan cara yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Baginda telah menunjukkan cara bagaimana membuat usaha atas iman. Usaha agama dihidupkan dengan mengajak manusia datang menghidupkan jemaah masjid. Untuk membangunkan jemaah masjid targhib perlu dibuat pada hari gasht dalam bayan selepas tashkil. Jemaah tunai 3 hari, 40 hari, 4 bulan perlu ditarghib dengan kasih sayang. Rakan seusaha memberi masa 2½ jam setiap hari pergi berjumpa dengan jiran-jiran di marhallah kita dan targhib bagaimana mereka boleh menghidupkan ta’alim di rumah bersama isteri dan anak-anak. Mereka juga ditarghib dapat melibatkan diri dengan ta’alim di masjid. Menyempurnakan tasbih 300 pagi dan 300 petang dan dapat hadir gasht pertama awal dan melapangkan masa bersama-sama gasht kedua. Seterusnya memberi masa 3 hari setiap bulan untuk pergi ke masjid atau surau lain bagi membawa usaha agama di situ. Seterusnya ditarghib juga supaya mereka dapat bagi masa setiap hari membaca Al-Quran.

Dalam membuat ziarah rumah ke rumah semasa 2½ jam, bentuk fikir kepada ketua keluarga rumah itu akan kepentingan amalkan agama. Targhib untuk datang sembahyang jemaah di masjid dan faedah jikalau ia dapat menghidupkan amalan itu. Seterusnya targhib bagaimana ia dapat menghidupakan ta’alim di rumah bersama-sama isteri dan anak-anak mereka. Seterusnya sediakan ketua keluarga itu dapat membuat usaha agama dan penjelasan perlu dibuat dengan mudah. Begitulah ziarah perlu dibuat dari rumah ke rumah. Apabila lelaki dan wanita mengamalkan kehidupan suci murni Baginda Rasulullah s.a.w ia akan memberi kesan kepada orang-orang fasik sehingga orang itu akan bertaubat dan mereka akan menjadi wali Allah. Karkun perlu menjadi bunga dan jangan menjadi duri. Dengan ini orang-orang yang belum melibatkan diri dalam usaha dakwah akan terkesan dan bersedia memberi masa untuk sama-sama membuat usaha di marhallah kita.

Maksud mengadakan ummumi gasht ialah untuk menjelaskan kepada orang kampung kita bahawa setiap orang perlu membuat persiapan untuk hari akhirat.

Agama telah sempurna dengan kedatangan Baginda Rasulullah s.a.w. Untuk kejayaan manusia di dunia Allah telah turunkan agama yang sempurna. Sebahagian besar orang Islam hari ini hidup bebas dan ini satu masalah yang besar. Untuk menyelesaikan masalah itu 6 prinsip perlulah dipasakkan di dalam hati setiap orang Islam supaya sebati dengan kehidupannya. Maulana Ilyas rah. memberitahu kalau manusia menghabiskan masanya untuk belajar iman walaupun sampai ia meninggal ia tidak akan berakhir.

Tiga perkara usaha atas iman:
1. Dakwah kebesaran Allah
2. Dengar dengan penuh perhatian kepada orang yang bercakap kebesaran Allah.
3. Berdoa seperti orang fakir bahawa kita perlu kepada iman.

Semua perintah Allah s.w.t diberikan melalui Jibrail a.s tetapi perintah sembahyang Allah beri kepada Rasulullah s.a.w dengan menjemput ke Sidratul Muntaha sehingga malaikat Jibrail sendiri tidak dapat berjumpa Allah ketika anugerah sembahyang diberikan kepada Rasulullah s.a.w.

3 jenis usaha membaiki sembahyang:

1. Apabila melihat orang Islam meninggalkan sembahyang kita perlu sedih dan usahakan sehingga mereka dapat menunaikan sembahyang

2. Betulkan zahir sembahyang dan batin sembahyang. Dari zahir kita betulkan pembacaan Al-Quran yang dibaca dalam sembahyang dan tanya alim ulamak mengenai masa’il sembahyang. Manakala bagi membetulkan batin sembahyang kita perlu usaha dua perkara : Seolah-olah melihat Allah s.w.t atau Allah s.w.t melihat dan memerhati kita

3. Selepas sembahyang kita bersyukur kerana kita diberi taufiq untuk menunaikan perintah Allah yang sangat besar. Seterusnya kita perlu beristighfar kerana kita tidak dapat menunaikan sembahyang dengan sempurna.

Letakkan kepentingan dan kedahagaan di dalam hati untuk mendapatkan ilmu fadhail dengan lapangkan masa duduk di dalam majlis pembacaan fadhail amal di masjid bagi kaum lelaki dan majlis pembacaan fadhail amal di rumah bagi kaum wanita.

Kita perlu luangkan masa untuk mengingati Allah pagi dan petang. Dengan ini kita akan dapatkan takluk kepada Allah. Jika ini wujud maka kita akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Seterusnya kita perlu sediakan orang lain dapat berzikir 300 pagi dan 300 petang.

Memuliakan seseorang di atas darjah iman yang ada pada diri seseorang di mana seseorang yang mempunyai iman sebesar zarah ia akan mendapat syurga 10 kali dunia. Kita perlu melatih diri kita untuk melihat kebaikan seorang Islam. Apabila di hati kita ada nilai orang yang beriman maka ia akan mengutamakan hati orang Islam dan seterusnya ia akan memberi kesan kepada orang bukan Islam.

Iman akan sempurna bergantung kepada keikhlasan. Sebelum membuat sesuatu amalan kita perlu semak amalan kita bahawa kita buat semata-mata kerana Allah. Jikalau ini dapat diwujudkan maka kita akan digolongkan sebagai seorang mukhlisin. Usaha untuk ikhlas sentiasa dibuat dan didakwahkan kepada orang lain untuk melakukannya dan doa kepada Allah sebagai seorang yang fakir bahawa kita perlu berikhlas.

Diri dan harta setiap orang Islam adalah bukan milik dirinya tetapi Allah telah beli dengan syurga. Apabila ada takazah untuk meninggikan risalah Allah setiap orang Islam perlu mengambil tanggungjawab bagaimana hendak meninggikan kalimah Allah. Setiap golongan manusia sama ada dia sebagai pekedai, petani, pekerja atau majikan perlu keluar ke jalan Allah bagi meninggikan risalah Allah. Setelah ia menyempurnakan tanggungjawab itu, kita perlu penuhi keperluan madrasah agama, janda dan anak yatim, masjid. Selepas itu barulah ia boleh melihat keperluan dirinya.

Seterusnya setiap orang Islam perlu mengimarahkan masjid-masjid mereka dengan lima amal iaitu menghidupkan dua gasht iaitu gasht pertama dan gasht kedua setiap minggu, menghidupkan ta’alim di masjid dan di rumah setiap hari dan fikir harian di masjid dan keluar 3 hari setiap bulan. Oleh itu kita perlu berdoa semoga Allah terima kita dalam membuat usaha ini. Jika Allah terima kita seperti Allah terima niat seorang perempuan tua untuk membebaskan Nabi Yusuf a.s dari penjara itu pun sudah mencukupi untuk kejayaan kita yang gilang-gemilang dalam kehidupan akhirat.

Iman adalah satu anugerah Allah yang khusus kepada orang yang Allah sangat sayangi tetapi anugerah pangkat dan wang ringgit adalah nikmat umum. Dengan iman manusia akan mendapat kerehatan yang sempurna dalam kubur dan hari akhirat. Satu lagi nikmat yang khusus ialah nikmat membuat kerja agama. Ini nikmat yang sangat istimewa. Seterusnya kita perlu berdoa kepada Allah semoga Allah tidak sia-siakan usaha kita.

Maulana Ilyas memberitahu usaha dakwah yang dianugerahkan kepada beliau adalah ibarat mutiara kurun pertama yang dianugerahkan kepada Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a.   

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir