mesyuarat malaysia 1997 - maulana ibrahim
09/09/97
Allah s.w.t menjadikan manusia sebagai ciptaan Allah s.w.t yang paling mulia. Kehidupan manusia di dunia adalah sementara, tetapi dalam masa kehidupan sementara inilah yang menentukan kejayaan dalam kehidupan akhirat. Samada kubur seseorang itu menjadi taman syurga atau lubang neraka, samada ia dapat melintas titian sirat, samada mendapat buku catatan amal dengan tangan kanan dan samada dimasukkan ke syurga atau neraka. Semuanya akan ditentukan dalam kehidupan di dunia yang sementara ini.
Semua makhluk-makhluk Allah menghabiskan masa kehidupan tersebut termasuk binatang, burung dan lain-lain makhluk Allah. Bagi makhluk-makhluk ini kehidupan mereka dihisab berbeza dengan manusia. Oleh kerana manusia adalah ashraful makhlukat dan melaksanakan kerja naib-nabi maka kehidupan di dunia ini akan diperkira oleh Allah s.w.t.
Allah s.w.t adalah khaliq, Allah s.w.t telah turunkan agama yang sempurna melalui nabi-nabiNya. Dalam Al-Quran, Allah s.w.t menyatakan kejayaan manusia bukan pada harta tetapi sejauh mana manusia mentaati perintah Allah s.w.t secara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Al-Quran adalah kumpulan ratusan perintah-perintah Allah. Jika manusia mempunyai hubungan dengan Al-Quran, maka keseluruhan perintah Allah mudah baginya mematuhinya. Setiap kehidupan manusia dan perintah-perintah Allah ke atasnya telah Allah terangkan dalam Al-Quran. Al-Quran adalah cara hidup yang sempurna, oleh itu manusia tidak perlu kitab-kitab lain untuk mendapat kejayaan. Sejauh mana kadar Al-Quran dapat dihayati oleh manusia begitulah tahap kejayaannya di dunia. Untuk membawa Al-Quran datang dalam kehidupannya, sahabat-sahabat telah berkorban habis-habisan.
Suatu ketika sahabat bertanya Saidatina Aishah r.a bagaimana akhlak Rasulullah s.a.w. Aishah r.a memberitahu akhlak Rasulullah s.a.w adalah Al-Quran.
Banyak perintah Allah s.w.t dalam al-Quran, memberitahu orang beriman supaya berjaga-jaga dari salah faham bahawa harta dan diri kamu bukan milik kamu, wahai orang-orang beriman jangan mengumpat, tunai hak, jangan memfitnah, jangan menipu, semuanya Allah s.w.t telah nyatakan dalam Al-Quran. Oleh itu jika ummat Islam hari ini tidak membuat usaha atas iman maka kehidupan Al-Quran telah tekubur dalam kehidupannya. Manusia yang tidak menghayati Al-Quran seperti jasad yang tidak ada roh. Apabila jasadnya tidak ada roh maka ratusan ulat dan kuman akan menghancurkan jasad itu. Sebaliknya jasad yang ada roh maka ia boleh mendatangkan menafaat kepada manusia yang lain.
Usaha dakwah tabligh bukan sekadar menghidupkan 5 amal masjid sahaja, tetapi penghayatan keseluruhan perintah Allah s.w.t. Hari ini kita belum faham hakikat kerja ini. Angin tabligh pun kita belum rasai. Walaupun begitu kita perlu istiqamah dalam membuat semua amalan yang ditertibkan . Hari ini kita membuat amal dakwah turun-naik, kadang-kadang kita buat, kadang-kadang tidak. Kita sebenarnya belum menghayati hakikat dakwah tabligh.
Hari ini kita perlu datangkan Al-Quran dalam kehidupan kita. Untuk membina kehidupan yang sempurna, Allah s.w.t telah terangkan semuanya dalam Al-Quran. Kefahaman Al-Quran sebenarnya berbeza di antara seseorang manusia. Oleh itu bagi memberi faham Al-Quran maka Allah s.w.t datangkan Nabi. Dalam setiap perkara Nabi adalah sebagai contoh. Semua kehidupan kita jikalau mencontohi kehidupan Nabi akan mendatangkan kesempurnaan dalam kehidupan.
Untuk membawa kehidupan yang sempurna kita perlu mempunyai iman yag kukuh. Hari ini oleh kerana iman kita lemah, maka kehidupan kita terkesan dengan suasana. Orang kampung yang hidup simple, apabila pergi ke bandar telah berubah cara pakaian dan cara hidup mereka.
Maulana memberitahu, untuk membina iman, semua percakapan, bayan, ta’alim perlu berlandaskan 6 prinsip. Sesungguhnya diri, harta dan masa orang Islam bukan milik mereka tetapi amanah dari Allah s.w.t. Hari ini apabila manusia tidak mengusahakan 6 prinsip dalam kehidupan mereka, maka diri, harta dan masa orang Islam telah menjadi asbab membawa manusia mengeluarkan perintah-perintah Allah s.w.t dalam rumah dan kehidupannya.
Sahabat-sahabat telah bina iman yang sempurna dalam kehidupan mereka. Oleh itu, perintah-perintah Allah s.w.t yang diturunkan seperti perintah larangan minuman keras, perintah larangan riba, senang sahaja mereka laksanakan. Kehidupan manusia bukan bergantung pada harta, pangkat, kuasa tetapi bergantung pada iman. Jika iman manusia kukuh dan kuat maka kehidupannya sentiasa dalam rahmat dan bantuan Allah s.w.t.
Sejauh mana Al-Quran datang dalam kehidupan, sejauh itu Allah beri kejayaan dan kemakmuran kehidupan kita dan anak-anak kita. Sebagai contoh bagaimana dengan ehwal Saidina Abbas, suatu ketika beliau telah sediakan air wudhuk dan miswak sebelum Rasulullah s.a.w datang berwudhuk. Rasulullah s.a.w seterusnya berdoa untuk Saidina Abbas r.a semoga Allah lebih beri faham kepada kamu. Kesan doa Rasulullah s.a.w itu, beliau lebih memahami ayat-ayat Al-Quran berbanding sahabat-sahabat ikram yang lain. Anak-anak Saidina Abbas yang lain iaitu Abdullah bin Abbas juga Allah s.w.t telah beri kejayaan, di mana dari pagi hingga petang orang-orang datang belajar agama di rumah Saidina Abbas. Anaknya Abdullah bin Abbas dan Fadzli bin Abbas telah memberi makan kepada orang-orang tersebut. Dengan contoh ini Allah telah beri agama dan dunia kepada sahabat dan keturunannya.
Dalam Al-Quran, Allah s.w.t juga telah jelaskan perkara yang halal dan haram. Riba adalah haram. Hari ini manusia tidak hendak mengelakkan diri dari mengambil riba kerana mereka yakin kejayaan dalam harta. Oleh itu kita perlu buat usaha untuk iman, supaya keyakinan kita betul bahawa kejayaan kita bukan pada harta, pangkat dan kuasa tetapi mentaati semua perintah Allah dalam kehidupan.
Kerosakan ummat ini berlaku kerana ummat telah salah gunakan diri dan harta mereka. Oleh itu, kehidupan ummat perlu diubah. Ummat perlu dibawa dan dikumpulkan di masjid untuk buat amalan, bukan berkumpul di bazar atau kedai-kedai kopi atau hotel. Kehidupan sahabat rata-rata dibina di masjid.
Orang yang membuat usaha agama ada juga melakukan dosa, maka Allah s.w.t tarik kefahaman agama darinya. Oleh itu kita perlu berwaspada dengan tipu daya syaitan, kita perlu berikhlas dalam membuat usaha agama dan memohon taufiq supaya kita membuat usaha agama dalam jalan yang diredhai Allah s.w.t.
Dalam membina kehidupan, kita perlu membawa diri kita dan membina ummat seluruh dunia seluruh alam kepada kehidupan Nabi s.a.w. Bagaimana Rasulullah s.a.w sembahyang kita perlu sembahyang, apa kerisauan Nabi menjadi kerisauan kita. Seterusnya kita perlu banyak beristighfar kerana kita buat tabligh ikut kemahuan diri sendiri. Kita masih tidak gunakan diri, harta dan masa mengikut kehendak Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.
Comments
Post a Comment