jor KL 1999 - bayan maghrib mufti zainal abidin (1)

26/05/1999 - sri petaling

Untuk dapat kejayaan di dunia dan akhirat, hanya satu sebab utama sahaja, iaitu hukum-hakam Allah s.w.t. Hanya melalui tunaikan perintah-perintah Allah s.w.t. kita akan dapat kejayaan di dunia dan akhirat. Kekuatan untuk mengamalkan perintah-perintah Allah s.w.t. datang daripada dalam diri manusia sendiri.

Perintah-perintah Allah s.w.t begitu banyak yang mana kita tidak dapat kira. Tidak ada satu masa pun, tidak ada satu keadaan pun yang mana tiada perintah Allah s.w.t. Pada setiap masa dan pada setiap keadaan ada sahaja perintah-perintah Allah s.w.t yang manusia perlu tunaikan.

Sepertimana tidak ada satu tempat pun yang tidak ada udara. Tidak ada tempat, tidak ada masa yang mana tidak ada udara. Maknanya di mana pun, bila-bila masa pun ada udara. Walaumacamanapun kita tutup satu tempat itu, udara akan masuk. Kalau udara ditahan untuk beberapa ketika, manusia akan mati. Begitu juga dengan perintah-perintah Allah s.w.t. Bila-bila masa pun, mana-mana tempat pun ada perintah Allah s.w.t untuk ditunaikan oleh makhluk.

Walaupun di baitul-khalaq iaitu tandas. Pada zahirnya di tandas tidak perlu ada perintah Allah s.w.t kerana tempat yang kotor dan najis tetapi di situpun ada perintah Allah s.w.t. Dalam tandas pun ada perintah Allah s.w.t dengan cara Rasulullah s.a.w. Doa sebelum masuk tandas, masuk dengan kaki kiri, keluar dengan kaki kanan dan doa selepas keluar tandas, jangan kita mengadap kiblat dan jangan kita membelakangkan kiblat. Ini adalah perintah Allah s.w.t mengikut cara Rasulullah s.a.w yang dikatakan darjah wajib.

Jenis-jenis perintah Allah s.w.t begitu banyak, kita tidak dapat mengira dan pada malam ini kita hanya akan berbincang tentang beberapa jenis perintah Allah s.w.t yang besar. Allah s.w.t perintahkan supaya kita wujudkan dalam diri kita akhlak Allah s.w.t. Ini adalah satu sifat Allah s.w.t. Ini satu perintah untuk kita bawa dalam diri kita kerana kita adalah khalifah Allah s.w.t. Sebagai khalifah Allah s.w.t, sebagai naib kepada Allah s.w.t kita telah diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk bawa akhlak Allah s.w.t dalam diri kita. Apabila Allah s.w.t hendak jadikan Adam a.s sebagai khalifah di permukaan alam ini dan sebelum Allah s.w.t istiharkan perkara ini, Allah s.w.t wujudkan dan letakkan sifat-sifat dan kebolehan-kebolehan yang perlu untuk menjadi khalifah dalam diri Adam a.s.

Allah s.w.t adalah Basir, maha melihat, ini adalah antara sifat-sifat Allah s.w.t. Allah s.w.t telah beri sebahagian daripada sifat ini pada Adam a.s kerana dia adalah khalifah Allah s.w.t dijadikan untuk menjalankan khilafat. Tanpa diminta, tanpa dipohon, Allah s.w.t telah pun anugerahkan banyak daripada sifat-sifatNya pada hambaNya.

Tanpa diminta, tanpa dipohon, Allah s.w.t sendiri telah memberi sebahagian daripada sifat-sifatNya. Allah s.w.t maha melihat dan Allah s.w.t jadikan hambaNya orang yang melihat. Allah s.w.t maha mendengar, Allah s.w.t anugerahkan pendengaran pada hambaNya. Allah s.w.t maha mengetahui segala-galanya, Allah s.w.t maha berilmu, maka Allah s.w.t anugerahkan pada hambaNya ilmu daripada ilmu Allah s.w.t. Bapa kita tidak minta, emak kita tidak minta, kita sendiri pun tidak minta tetapi Allah s.w.t dengan limpah kurniaNya telah anugerahkan sifat-sifat ini pada hambaNya.

Allah s.w.t melihat, khalifahNya pun melihat, hambaNya pun melihat, perbezaannya ialah hambaNya manusia/khalifah, hanya dapat melihat satu masa, satu tempat sahaja. Kalau lihat ke depan : kiri-kanan-atas-bawah-belakang tidak nampak. Tetapi bila Allah s.w.t melihat, Allah s.w.t melihat segala-galanya, bila-bila masa pun, tidak ada satu tempat pun yang terkeluar dari penglihatan Allah s.w.t. Allah s.w.t maha melihat dan beri sebahagian dari sifat ini pada hambaNya. Manusia punya penglihatan terhad, Allah s.w.t punya penglihatan merangkumi segala-galanya, maha sempurna.

Allah s.w.t adalah haiyu-qaiyum iaitu wujud dulu, wujud sekarang dan bila-bila pun wujud. Allah s.w.t beri sebahagian dari sifat ini pada manusia. Allah s.w.t jadikan manusia untuk selama-lamanya, tidak akan binasa tetapi selain dari manusia, semua dari ciptaan-ciptaan Allah s.w.t akan dibinasakan pada satu masa nanti.

Mengikut hadith, selepas Israfil a.s meniup sangkakala, semua makhluk ciptaan Allah s.w.t akan binasa. Allah s.w.t akan panggil Izrail a.s. dan tanya “Siapa yang hidup sekarang?” Izrail a.s akan berkata “Ya Allah, zat Engkau yang wujud selama-lamanya dan kami empat malaikat yang besar, Jibrail, Izrail, Israfil, Mikhail dan malaikat-malaikat yang menjunjung Arash Allah s.w.t. Ini sahaja yang hidup, lain semua telah binasa”. Allah s.w.t perintahkan Izrail a.s pergi ambil semua ruh-ruh malaikat yang menjunjung Arash Allah s.w.t, mereka pun dimatikan dan ketiga-tiga malaikat yang besar pun dicabut ruh mereka dan dimatikan. Allah s.w.t tanya Izrail a.s “Siapa yang masih hidup lagi (baki)?”, maka Izrail a.s akan berkata “Ya Allah, zat Engkau yang hidup selama-lamanya, Engkau wujud dan saya” . Allah s.w.t akan perintahkan pada masa itu juga “Izrail kamu juga mati”. Dia pun pada masa itu juga akan mati, maka semua ciptaan Allah s.w.t mati, hanya tinggal zat Allah s.w.t sahaja.

Khalifah diciptakan oleh Allah s.w.t untuk hidup selama-lamanya, baki makhluk-makhluk Allah s.w.t diciptakan dan akan dibinasakan satu masa nanti. Perbezaan antara wujudnya Allah s.w.t selama-lamanya dan wujudnya manusia selama-lamanya ialah Allah s.w.t telah pun wujud dulu dan wujud sekarang dan akan wujud bila-bila masa pun selama-lamanya. Khalifah Allah s.w.t diciptakan dengan tanganNya sendiri dan akan kekal selama-lamanya selepas diciptakan, dulu tidak wujud, diwujudkan oleh Allah s.w.t, yang lain-lain makhluk Allah s.w.t dijadikan dengan perintah Allah, kun (jadi) fayakun (maka jadilah).

Perpindahan akan berlaku kepada khalifah Allah s.w.t ini, dulu wujud di alam arwah sebagai ruh selepas itu dipindahkan kepada bapa dan daripada bapa dipindahkan ke rahim ibu, daripada rahim ibu dipindahkan ke alam dunia ini, daripada dunia ini akan dipindahkan ke alam barzakh iaitu alam kubur , selepas itu dipindahkan ke alam mahsyar dan dari padang mahsyar dipindahkan ke titi sirat dan dari titi sirat ini kalau manusia telah jalankan kehidupan dengan cara yang betul, maka dia akan masuk ke dalam syurga Allah s.w.t selama-lamanya, kalau dia tidak ikut cara hidup yang betul akan masuk neraka selama-lamanya. Dalam kedua-dua keadaan, manusia akan kekal selama-lamanya.

Allah s.w.t telah beri pada kita sebahagian dari sifat-sifatNya iaitu melihat, mendengar dan perintah Allah s.w.t mengenai sifat-sifat ini ialah kita hendaklah sentiasa berwaspada. Kita hendaklah wujudkan dalam diri kita keyakinan pada sifat-sifat ini iaitu yakin Iman.

Sebagaimana yang telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w dan sepertimana yang telah dipohon oleh Rasulullah s.a.w “Allahumma inni as aluka imanan da yak dad” “Ya Allah, bagilah saya Iman yang mana Iman ini sentiasa ada dalam diri saya dan saya tidak akan undur daripada iman ini”. Rasulullah s.a.w juga telah doa “Allahuma inni as aluka imanan da iman” , “Ya Allah, bagilah Iman yang kekal abadi selama-lamanya dalam diri saya”. Kita kena usaha untuk tanamkan dalam diri kita perasaan bahawa Allah s.w.t sentiasa melihat kita, Allah s.w.t sentiasa mendengar segala-galanya. Bila-bila masa pun, dalam apa keadaan pun Allah s.w.t melihat, Allah s.w.t mendengar. Kita kena usaha untuk dapatkan yakin pada sifat ini dalam diri kita. Perkara ini bukan susah, dengan sedikit usaha, insya’Allah kita akan dapat yakin pada perkara ini.

Cerita berulang-ulang kali, kita bawa dalam diri kita bahawa Allah s.w.t sedang melihat kita, Allah s.w.t sedang mendengar kita, maka Allah s.w.t akan bagi kita keyakinan ini. Allah s.w.t tidak akan mewajibkan sesuatu di luar kemampuan dan kebolehan kita. Memang kita ada kebolehan dan kemampuan untuk mendapat keyakinan yang telah dituntut oleh Allah s.w.t, sepertimana yang telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w.

Apa yang telah diberitahu, inilah perintah Allah s.w.t yang sangat-sangat besar. Lain-lain perintah Allah s.w.t ada masanya kena buat, ada masanya tidak kena buat. Solat, puasa, haji dan lain-lain perintah Allah s.w.t ada masanya kena buat, ada masanya tidak kena buat. Tetapi Iman ini, yakin ini, hendaklah sentiasa ada dalam diri kita.

Semasa bangun atau tidur, semasa jalan atau duduk, apa keadaan pun, bila-bila masa pun, 24 jam, Iman ini sentiasa kena ada dalam diri kita. Iman ialah yakin atas segala sifat-sifat Allah s.w.t, atas zat-zat Allah s.w.t. Ianya hendaklah sentiasa ada dalam diri kita.

Oleh sebab itu, iman-yakin adalah perintah yang paling besar. Apabila kita telah dapat menghasilkan perkara ini maka kita telah dapat tunaikan perintah Allah s.w.t.  Walaupun kita tidak tunaikan perintah-perintah Allah s.w.t yang lain, walaupun kita tidak sembahnyang satu rakaat pun, tetapi kita ada yakin pada Allah s.w.t dan kita mati, kita akan terus masuk ke dalam syurga Allah s.w.t.

Inilah perintah Allah s.w.t yang paling besar kerana tidak ada perkara yang lebih penting untuk bawa manusia ke jalan yang betul dan cara hidup yang betul. Tidak ada perkara, tidak ada asbab yang lebih penting, yang lebih besar daripada perkara ini. Apabila kita telah dapat mengawal dan membawa dalam diri kita tentang iman-yakin ini, maka dalam kehidupan dunia ini kita akan dapat ikut jalan yang lurus dan jalan yang betul. Dalam kubur, di padang mahsyar dan di titi sirat pun kita akan dapat ikut jalan yang betul. Dalam setiap keadaan kita akan dapat ikut jalan yang lurus sepertimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Bila iman ini datang dalam diri kita, maka mudah untuk kita amalkan segala yang baik dan tinggalkan segala yang tidak baik. Segala yang tidak baik akan keluar dari kehidupan kita. Segala yang baik akan datang dalam kehidupan kita.

Satu kisah, seorang bapa di zaman/kurun yang dahulu, telah hantar anak dia untuk belajar di satu madrasah. Selepas beberapa bulan, sibapa telah pergi ke madrasah, dan beritahu pada ustaz, “Saya nak ambil balik anak saya”. Ustaz tidak benarkan kerana anak dia seorang yang baik dan pandai dan mereka pun baru mula usaha atas dia. Zaman/kurun dahulu, mereka tidak mengajar alif, ba, ta dulu pada anak-anak murid yang masuk madrasah, mereka belajar Iman dulu, tetapi perkara ini sudah tidak dibuat di zaman sekarang.

Mereka belajar Iman dulu, baru belajar Quran. Ustaz telah pujuk bapa supaya jangan ambil anak dia balik rumah. Mereka baru ajar dia Iman, belum lagi mula belajar Quran tetapi bapa dia hendak bawa balik juga. Sebenarnya dia hendak ajar pekerjaannya pada anak itu. Bapa dia seorang pencuri, maka dia telah bawa anak dia pergi mencuri di satu rumah. Dia suruh anak tadi tunggu di satu tempat yang sesuai yang mana anak dia boleh lihat kalau ada sesiapa yang lalu dan bagi isyarat iaitu dengan membuat sedikit bunyi. Dengan isyarat itu, bapa akan tahu ada orang melihat dan akan terus keluar dari rumah tersebut. Bapa pun mula panjat tembok, nak masuk rumah dan mencuri. Baru dia nak mula panjat tembok sahaja, anak dia telah bagi isyarat bunyi, bapa pun terus turun dari tembok dan dua-dua terus lari, bapa lari didepan, anak ikut belakang kerana ada orang melihat. Lari dan lari dan bapa pun tengok belakang. Biasanya bila ada orang nampak pencuri maka mereka akan kejutkan semua orang lain dan menjerit “Pencuri! Pencuri!” dan semua orang lelaki dan wanita akan terjaga dan kejar pencuri itu. Sambil berlari, bapa tengok belakang, tidak ada sesiapapun yang kejar. Bapa tanya anak dengan perasaan marah, “Tadi kamu bagi isyarat ada orang melihat, siapa yang melihat?” Jawab anak, “Allah melihat”. Selama 6 bulan di madrasah dia sudah belajar Iman. Sudah masuk dalam hati dia Allah s.w.t maha melihat, maka apa yang ada dalam hati dia telah keluar daripada mulutnya “Allah melihat”. Dia telah pun belajar Iman, dia telah di bentuk di madrasah dengan yakin kepada Allah s.w.t. Perkara ini ada dalam hati budak itu, bahawa Allah s.w.t melihat dan benda yang ada dalam hati dan keluar dari mulutnya dan terus masuk ke dalam hati bapanya. Bapanya sudah dapat yakin bahawa Allah s.w.t maha melihat. Mereka berjalan balik ke rumah, mandi dan ambil wudhuk dan sembahyang 2 rakaat taubat dan mulai hari itu bapa kata “Saya tidak akan mencuri lagi”.

Kalau Iman telah masuk dalam hati kita, telah mantap dan sebati dalam hati, maka akan ada kekuatan dalam percakapan. Bila cakap mengenai Iman akan masuk dalam hati orang yang mendengar. Kalau Iman belum lagi dibentuk, belum lagi sebati dalam hati kita, bila bercakap, ia hanya setakat di bibir sahaja dan akan masuk dalam telinga orang yang mendengar tetapi tidak dalam hati orang itu.

Adalah menjadi fitrah manusia, sifat semulajadi manusia, manusia ini tidak boleh buat apa-apa keburukan kalau ada orang melihat. Sentiasa kalau hendak buat apa-apa perkara yang tidak baik, dia akan lihat kiri dan kanan, tiada orang melihat baru dia buat. Satu orang yang hendak berzina, kalau ada seorang budak 8 tahun lihat pun, dia tidak akan berzina.

Allah maha melihat segala-galanya dan masih lagi kita buat bermacam-macam perkara buruk, curi, bunuh, dusta, bohong. Kita buat segala-galanya yang salah walaupun Allah s.w.t melihat. Kenapa? Kerana Iman tidak ada lagi. Walaupun ada 2 malaikat yang melihat kita, sentiasa memerhatikan kita, masih lagi kita buat segala kejahatan. Kalau ada orang lain tengok atau lihat, kita tidak buat. Oleh itu satu jalan yang paling mudah, dan beritahu pada pemerintah, jangan jadi buta, kamu amalkanlah cara Rasulullah s.a.w, bawalah manusia pada Iman ini, usahakanlah cara Rasulullah s.a.w dan berilah peluang pada semua orang untuk belajar Iman, sepertimana yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Amalkan cara Rasulullah s.a.w untuk mengajar Iman pada semua manusia, maka semua akan datang pada cara yang betul. Polis, tentera dan segala yang telah kita wujudkan dan belanjakan ribuan, jutaan wang ringgit atas semua perkara ini yang tidak ada apa-apa hasil dan tidak ada apa-apa kesan maka tidak payahlah kita hendak ikut jalan-jalan itu semua, datanglah kembali kepada cara Rasulullah s.a.w.

Bila belajar dan mengajar Iman pada semua manusia, amalkan dan sebarkan cara Rasulullah s.a.w maka semua manusia akan sampai kepada matlamat iaitu kepada cara hidup suci murni yang telah wujud di Madinah. Belajar Iman ini bukan setakat kita dengar dan cakap sahaja. Belajar maksudnya kena masukkan ke dalam hati.

Apa yang diamalkan di seluruh dunia, bukanlah jalan yang boleh menyelesaikan masalah, sebaliknya ia adalah jalan yang menambahkan kesusahan. Baru-baru ini, Mufti dalam perjalanan di Afrika, satu orang yang dia kenal telah bawa dia ke kedainya untuk berkat, selepas itu dia suruh pekerja dia tutup kedai. Tutup kedai dengan 30 mangga (kunci). Mufti tanya, “Sekarang dah puas hati ke kecurian tidak akan berlaku”. Dia kata masih lagi tidak tenang, masih lagi ada ragu-ragu, mungkin kecurian boleh berlaku. Mufti kata, “Memang macam itu, memang kita tidak ada kepercayaan dalam sistem/kehidupan/amalan yang ada dalam dunia ini”. Datanglah kepada cara Rasulullah s.a.w sepertimana di Madinah. Bukan kata hendak mangga, hendak letak selak pun tak perlu. Pondok yang buruk, takkan nak letak mangga yang besar, selak pun tak perlu. Tak ada siapa hendak curi. Tiada satu orang pun yang mencuri di Madinah

Kehidupan Nabi s.a.w di Mekah berapa tahun? Di Madinah, tidak ada jenayah. Kenapa? Apakah yang telah digunakan oleh Nabi s.a.w untuk menghapuskan jenayah di Madinah. Rasulullah s.a.w tidak gunakan polis. Apa yang Nabi s.a.w telah buat? 13 tahun di Mekah, Nabi s.a.w telah ajar Iman dan dakwah kepada Iman, Nabi s.a.w telah ajarkan hukum-hakam pada sahabat-sahabat. Oleh kerana kekuatan Iman ini, tidak ada jenayah di Madinah. Nabi s.a.w tidak tambahkan bilangan polis atau askar tiap-tiap tahun untuk mengawal jenayah atau mengurangkan jenayah. Nabi s.a.w telah usaha atas Iman. Hanya dengan usaha atas Iman ini jenayah telah dihapuskan.

Berlaku jenayah di Madinah yang tidak disengajakan, seorang lelaki dan seorang wanita telah buat satu kesalahan. Lelaki itu yang telah melakukan zina, telah datang berlari berjumpa Nabi s.a.w di masjid dan berkata, “Sucikanlah aku ya Rasulullah, sucikanlah aku ya Rasulullah”. Nabi s.a.w nampak orang ini telah bertaubat. Taubat yang sebenar-benar taubat kerana selepas dia buat kesalahan itu dia telah datang berlari jumpa Nabi s.a.w, maknanya dia minta diberi hukuman mati. Hukuman mati adalah hukuman untuk orang yang sudah kahwin yang melakukan zina. Dia datang dan serahkan diri untuk hukuman mati tersebut.

Apa yang telah bawa orang itu pada Nabi s.a.w untuk jalankan hukuman? Adakah polis yang telah tangkap dan bawa dia? Tidak. Dia telah buat satu kesalahan yang tidak sengaja kerana kelemahan dia dan kekuatan Iman telah bawa dia kepada Nabi s.a.w yang telah menyebabkan dia bertaubat sehingga dia punya darjat dahulu dan selepas dia bertaubat, seratus kali ganda tingkatan di sisi Allah s.w.t. Ini adalah kerana kekuatan Iman yang ada dalam diri dia. Bila dia datang pada Nabi s.a.w dan kata sucikanlah saya Rasulullah. Rasulullah s.a.w palingkan muka dia kerana orang ini telah datang, maknanya dia telah bertaubat dan Nabi s.a.w tak mahu jatuhkan hukuman ke atas dia. Kalau dia selamat dari hukuman itu lebih baik.

Seorang hakim syariah tidak akan jatuhkan hukuman dengan hanya mengaku salah sekali dan tidak ada saksi. Dia sendiri yang mengaku dan sekali mengaku sahaja tidak wajib atas hakim tadi jatuhkan hukuman. Maka Nabi s.a.w telah palingkan muka dia ke kiri. Orang ini tidak puas hati kerana dia rasa tidak layak untuk hidup dalam dunia ini kerana Allah s.w.t melihat, depan Allah s.w.t, depan malaikat-malaikat dia telah melakukan perkara yang hina, telah langgar perintah Allah s.w.t. Tiga kali dia telah kata sucikanlah saya Rasulullah. Satu orang yang telah mengaku salah tiga kali depan hakim maka adalah wajib hakim kena jatuhkan hukuman. Banginda telah beri hukuman hudud ke atas dia.

Ada satu lagi peristiwa yang sama yang telah berlaku pada seorang wanita di zaman Nabi s.a.w. Seorang wanita yang baik tetapi telah melakukan zina. Kekuatan Iman dia telah bawa dia kepada Nabi s.a.w dan berkata, “Sucikanlah aku”. Dia telah mengandung kerana perzinaan tersebut. Nabi s.a.w suruh balik, lahirkan anak, selepas itu datang kembali kerana dalam keadaan mengandung tidak boleh jalankan hukuman hudud. Wanita itu telah datang kembali setelah melahirkan anak kerana kekuatan Iman dan rasa tidak layak hidup dalam dunia ini dan malu dengan Allah s.w.t. Nabi s.a.w suruh balik sehingga anak itu boleh makan benda yang keras, sekarang ini anak masih menyusu lagi. Bila datang kali kedua, Nabi s.a.w tidak hantar polis untuk tangkap dia. Bila datang kali ketiga dengan anak pegang sedikit roti dan beritahu Rasulullah s.a.w, anak sudah boleh makan roti, sucikanlah saya. Tiga kali dia telah mengaku salah di depan Nabi s.a.w maka terpaksa Nabi s.a.w jatuhkan hukuman. Hukumannya ialah rejam sampai mati. Bila direjam telah terpancut darah dan darah itu telah kena pada baju seorang sahabat dan sahabat itu telah keluarkan satu perkataan yang kesat yang menghina wanita itu. Nabi s.a.w nampak dan dengar dan berkata jangan kamu cakap sesuatu yang menghinakan dia kerana dia begitu suci dan jika taubat dia dibahagi-bahagikan di seluruh Madinah, Allah s.w.t akan ampunkan semua dosa-dosa orang berzina.

Inilah caranya, bukan dengan mengejar orang yang buat jenayah. Di seluruh kehidupan Madinah, jenayah yang berlaku hanya tiga kisah sahaja. Tidak perlu kejar orang yang buat jenayah atau zina atau rompak. Kita sekarang kena ikut Rasulullah s.a.w dan betulkan Iman dan yakin kita. Baginda s.a.w telah tunjuk satu jalan yang baik, yang suci murni untuk seluruh dunia.

Atas maksud itu, kita kena bertaubat atas apa yang telah kita lakukan, kita kena keluar jalan Allah s.w.t untuk 4 bulan, 6 bulan, untuk belajar cara Rasulullah s.a.w, untuk belajar Iman dan yakin ini dan supaya cara ini dapat dihidupkan di seluruh alam.

Hendaklah kita ikut cara Rasulullah s.a.w yang suci murni, cara ini ada dalam kitab-kitab kita, ada dalam masjid-masjid kita, ada dalam mimbar-mimbar kita. Cara ini, hendaklah kita bawa dalam kehidupan kita. Bawa kehidupan kita cara Rasulullah s.a.w, hindarkan cara-cara orang lain. Jangan ikut orang-orang yang merompak, berzina dan sebagainya, tinggalkan mereka dan ikut cara Rasulullah s.a.w.

Kalau kita masih lagi ikut orang-orang yang tidak betul itu, itulah kufur. Oleh itu, datanglah kepada cara Rasulullah s.a.w. Jalan ini akan bawa semua manusia di seluruh alam. Nabi s.a.w adalah rahmatullilalamin. Semua manusia di seluruh alam akan datang kepada ketenangan, kebahagiaan, kesenangan, kemuliaan, harta, diri dan maruah setiap orang akan selamat apabila kita amalkan cara Rasulullah s.a.w.

Hanya 13 tahun sahaja Nabi buat usaha di Mekah dan jalan untuk semua manusia di seluruh alam sampai qiamat telah dibuka oleh Allah s.w.t. Jalan yang penuh dengan ketenangan, kebahagiaan, kejayaan dan kemuliaan. Kita sekarang ini kena bawa diri kita kepada jalan itu. Oleh itu perlu beri pengorbanan diri, masa dan harta. Sebagaimana pengorbanan yang telah diberi oleh orang-orang Islam di Mekah dan Madinah. Kita tidak boleh hendak tunjuk walaupun satu orang di Madinah, yang lahir di Madinah, yang tinggal di Madinah, yang meninggal dunia di Madinah yang tidak keluar di jalan Allah s.w.t untuk usaha atas Iman, bertaubat dan bawa orang lain kepada taubat, belajar Iman, menyebarkan Iman. Semua mereka telah korban dan keluar ke jalan Allah s.w.t.

Maka kita pun kena buat perkara yang sama, kena belajar, bawa orang lain kepada Iman, kita bertaubat, kita bawa orang lain kepada taubat. Kita kena buat usaha, pengorbanan diri, masa dan harta sebagaimana yang dibuat oleh para-para sahabat.

Di padang Arafah dan juga di Mina, Rasulullah s.a.w telah bagi khutbah, kalau tuan-tuan datang kepada perkara yang saya beritahu, kalau tuan-tuan datang kepada yakin ini, datang kepada cara ini, pada Iman ini, maka akan didapati, satu orang wanita muda, seorang diri, wanita yang cantik, yang penuh dengan barang-barang kemas intan berlian yang jalan dari satu negara ke satu negara, maka tidak akan ada satu orang pun yang akan pandang dia dengan pandangan jahat dan kotor.

Dengan cara ini, dengan jalan ini, setiap jiwa dan raga kita selamat. Harta dan maruah akan selamat. Tinggalkanlah cara-cara yang lain yang akan bawa kita kepada kebinasaan, kerosakan, kehinaan, ketidaktenteraman. Datanglah kepada cara Rasulullah s.a.w yang ada keselamatan, perlindungan, kejayaan, kebahagiaan, kemuliaan dan sampai ke mana sahabat-sahabat telah sampai. Untuk ini kita kena bertaubat dan tinggalkan jalan yang dulu, jalan orang-orang yang telah rosak, orang-orang yang telah dimurkai oleh Allah s.w.t. Tukar jalan dan tukar arah hidup. Sebagaimana satu orang yang naik satu bas yang ada air-cond dan selesa dan suruh orang berdoa supaya dia sampai ke destinasinya. Orang lain kata, macamana nak sampai ke destinasi tersebut kerana bas ini pergi ke tempat lain. Saya tahu bas ini tak pergi tapi bas ini selesa, bas yang lain itu susah/tidak selesa/tiada air-cond. Maka pasti dia tidak akan sampai ke tempatnya kerana bas yang dia naik pergi tempat lain. Oleh itu kena tukar jalan, buat keputusan sekarang bahawa saya akan tukar jalan kepada jalan Rasulullah s.a.w.  

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir