mesyuarat malaysia 1994 - hj mukib

Fadhilat salam iaitu dari pagi hingga petang jika beri salam paling kurang 20 orang pada individu atau jemaah jika mati, wajib syurga, begitu juga dari petang hingga pagi esoknya.

Amalkan amalan ini maka seseorang itu akan masuk syurga sambil tertawa iaitu : 
1.        Sebarkan salam
2.        Sentiasa menjamu makan
3.        Bercakap dengan lemah lembut
4.        Qiam (solat) ketika orang lain tidur

Kata Maulana Ubaidullah ketika di Mekah, ketika Jibrail a.s turunkan wahyu, Nabi s.a.w menggerak-gerakkan lidahnya yang mulia. Kata Jibrail a.s, “Adalah menjadi tanggungjawab Allah untuk masukkan dalam hatimu dan gerakkannya pada lidah mu”.

Penumpuan itu penting ketika bayan dijalankan. Walaupun kita tidak faham bahasa itu. Apabila hak mendengar ditunaikan maka kefahaman yang sempurna dianugerahi Allah s.w.t. Caranya adalah dengar dan taat. Bukannya faham baru taat. Barulah kefahaman yang sebenarnya datang.

Syukurlah kita dilibatkan dengan kerja yang tinggi ini. Walaupun ramai yang berkualiti di Malaysia. Sebenarnya kefahaman agama hanya diberi pada yang dikasihi Allah s.w.t sahaja. Manusia kini mabuk dunia dan jatuh cinta pada dunia.

Nabi s.a.w dihantar untuk buat kerja ini. Untuk buang kebesaran dunia dari hati ummat agar kebesaran Allah s.w.t wujud dalam sanubari mereka.

Kita dihantar atas maksud yang sama. Tambahkan korban bagi karkun lama. Kita bertanggungjawab pada keselamatan ummat ketika di alam lain nanti. Kita adalah wakil Nabi s.a.w untuk selamatkan ummat ini. Iman adalah keyakinan sepatutnya yang dikehendaki Allah s.w.t.

Satu contoh: Nabi Ibrahim a.s dibakar oleh Namrud, seurat rambut pun tidak hangus walaupun tali pengikatnya habis hangus terbakar. Malaikat datang tawarkan bantuan, ditolak Nabi Ibrahim a.s, menolaknya kerana beliau yakin akan menerima bantuan dari Allah s.w.t sendiri.

Menolak segala keyakinan selain dari Allah s.w.t itu keluar dari hati kita, itulah iman. Yakin yang penuh dalam hati ini memberi kesan yang kuat pada orang yang mendengar penerangan kita. Kita juga mesti bawa ummat pada tahap ini. Nilai Iman mesti di fahami.

Satu kisah: Abdullah Huzaifah r.a ditawan oleh Raja Rom. Ia ditawarkan untuk dikahwinkan dengan Puteri Raja Rom dan diberikan separuh dari kerajaan Rom jika ia memeluk Kristian.
Kata Abdullah r.a, “Walau sekelip mata pun aku tidak akan tinggalkan iman jika kau serahkan anakmu dan seluruh kerajaan Rom”.
Raja Rom ingin takutkan mereka lalu semua jemaah diikat pada pokok dan dipanah oleh pemanah-pemanah yang handal untuk melukai mereka sahaja.
Abdullah r.a dan jemaahnya tetap tidak berganjak dari keyakinan mereka.
Lalu raja Rom memerintah mendidihkan air dan kemudian dicampak salah seorang daripada jemaah itu dalam air yang mendidih itu.
Salah seorang dari pegawai Rom nampak Abdullah r.a menitiskan air mata.
Raja pun memanggil Abdullah r.a dan menanyakan sama ada beliau mahu menerima tawaran yang dibuat tadi.
Abdullah r.a berkata bahawa, “Ia tidak akan berganjak dengan keputusan tadi”.
Raja Rom bertanya dengan hairan mengapa Abdullah r.a menangis.
Jawab Abdullah r.a bahawa, “Aku menangis bukan kerana takut tetapi kerana sedih kerana aku hanya dikurnia oleh Allah s.w.t satu nyawa sahaja. Jika nyawaku sebanyak bulu roma di tubuh ku nescaya akan aku korbankan semuanya”.
Raja terpegun dengan keyakinan yang luar biasa itu begitu mengesan hatinya. Terus raja itu memeluk Islam.

Buatlah usaha sehingga nilai Iman yang sebenarnya dianugerahkan pada kita. Ketaatan kepada Allah s.w.t yang tiada tolok bandingnya perlu diwujudkan. Kecintaan pada sunnah Nabi s.a.w sebagaimana cintanya Sahabat r.a pada sunnah mesti di contohi.

Satu kisah: Abdullah bin Omar r.a adalah seorang yang amat mencintai setiap yang Nabi s.a.w lakukan. Nabi s.a.w mempunyai satu kebiasaan iaitu berbaring dibawah sepohon pokok. Apabila Nabi s.a.w wafat, Abdullah bin Omar r.a telah menjaga pokok itu dengan baik supaya beliau dapat berbaring di situ seperti kebiasaan Nabi s.a.w.

Keduanya, tentang solat. Bawalah ke seluruh alam. Sentiasa beritahu orang tentangnya, amalkan dan doakan supaya semua orang dapat amalkannya. Solat adalah zahir yakin atas iman. Setiap solat hendaklah ada roh kerana itulah asbab kepada kejayaan.

Dalam solat berkali-kali kita sebutkan bahawa Allah s.w.t adalah pemelihara kita. Usahakan agar roh solat sentiasa di tingkatkan kerana tanpa solat kita seperti tidak berkepala. Terangkan nilai solat yang begitu tinggi dan bawa kefahaman ini pada ummat.

Jangan ketinggalan seorang pun. Sentiasa berdoa agar Allah s.w.t memberi kita hidayat dan menjadi perantaraan hidayat untuk ummat.

Amalan yang ikhlas akan diberi kekuatan untuk memberi kesan pada sesuatu yang lain. Seperti kisah tiga orang yang terperangkap di dalam gua. Melalui amalan ikhlas mereka Allah s.w.t selamatkan mereka dari terperangkap.

Saya telah buat gasht di Amerika suatu ketika dulu, seorang perempuan telah terkesan dan bertanya kamu dari agama apa atau pun gereja mana? Inilah sedikit sebanyak Allah s.w.t telah memberi kesan pada hati mereka dan suasana disana. Mereka tidak lagi bertanya tentang negara tapi tentang pegangan.    

Comments

Popular posts from this blog

kepentingan dakwah

Bayan maghrib : kapt nuruddin

Tongi 2001 - bayan asar maulana zubir